May 9, 2014

Bertolak Dari Idea, Bermula Dari Kata

-->
BBB, 08 Rajab 1435 = 08 Mei 2014 (Khamis):

Setelah membicarakan tentang karya-karya yang berunsur Islam, Penulis akan memfokuskan kepada `Apa itu Sastera Islam` dengan melihat definisi dan pendapat yang telah diutarakan oleh mereka yang terlibat atau yang berminat dengan sastera Islam, melihat ketepatan atau kekurangan, membandingkan dengan karya-karya yang telah diterima atau disifatkan sebagai karya sastera Islam dan menambahbaikan seharusnya bagi sastera Islam.


Sebelum dari itu dari mana sebenarnya sumber bahasa yang antaranya melahirkan sastera dan segala jenis persuratan ?

Lahirnya bahasa dan sastera adalah merupakan peringkat `penetasan` bagi yang melahirkannya. Dalam kata yang lain ia bukan pada peringkat permulaan. Sebelum berlaku pada peringkat `penetasan` ini, ianya sudah berada pada peringkat minda yang mungkin telah lama telah ditanggapi dan tersimpan di dalam minda atau secara spontan terlintas dalam minda sebelum berlaku proses penglahirannya (penetasan) yang dikenali dengan bahasa dan sastera. Sebelum berlaku penetasan kepada yang bersifat kata sebenarnya telah berlaku proses pembelajaran dan penyebutan yang diajar oleh ibu bapa dari peringkat ringkas kepada penyebutan sempurna sesuatu perkataan. Proses penyebutan ini diikuti oleh proses penyusunan kata kepada ayat yang bersifat ringkas. Kata Za`ba:

``Menyusun perkataan hendak membuat satu-satu ayat.``
(Za`ba, Ilmu Mengarang Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1965: 1).

Berbahasa memerlukan khalayak yang menerima walaupun seorang. Orang tidak berbahasa (bercakap) secara sendiri. Bila berbahasa melibatkan komunikasi.
Berbalik kepada `Bertolak Dari Idea Bermula Dari Kata` adalah benar bila melihat secara terhad, iaitu melihat kepada individu yang mendepani sesuatu peristiwa, tetapi bila mau diexpresikan sememangnya melalui `kata` dan kata yang dilafazkan adalah sesuatu yang boleh difahami oleh penerima, secara tidak lain melibatkan tahap penyusunan kata (mengarang) yang sekian masa dipelajari dari ibubapa dan masyarakat kelilingnya. Kata Za`ba:

Mengarang itu ertinya membuat beberapa ayat yang berhubung-hubung dengan betul menceritakan darihal satu-satu perkara.``

(Za`ba, Ilmu Mengarang Melayu, 1965: 1).

Persoalan yang boleh ditimbulkan ialah, dari manakah pemilik yang darinya bertolak idea
mengexpresikan bahasanya dan boleh dilanjutkan dengan sasteranya yang menggambarkan misalnya tentang kemalangan jalanraya yang dilihat yang diexpresikan dengan ayat yang bercampur unsur duka dan hiba hingga yang mendengarnya turut menjadi sama duka dan sedih (sudah ada elemen sastera) ?

Sampai di sini kita dapati manusia secara autonomous dari segi cetusan idea tersendirinya (bukan ikutan), tetapi tidak asli dari segi menggunakan alat bagi menexpresikannya. Ia semestinya meminjam dari perbendaharaan bahasa dan budaya masyarakat keliling yang ditimba darinya. Penerimaan adalah berbeza-beza dan bertingkat-tingkat berdasarkan taraf dan kualiti masyarakat. Seorang yang tinggal di kampung di tepian sawah padi mempunyai perbendaharaan kata berhubung dengan kehidupan kampung yang diterima dari keluarga dan masyarakat di sekelilingnya. Seorang yang tinggal di tepi laut mempunyai perbendaharaan kata berhubung dengan laut dan perkara yang berhubungan dengan masyarakat nelayan yang mempengaruhi kehidupannya. Seorang yang hidup dalam masyarakat Bandar tidak sama dengan masyarakat yang hidup di luar bandar. Pertambahan maklumat akan terus berlaku diakibatkan oleh pembelajaran dan pengalaman yang dialami seseorang. Menurut pendapat:

``Mempelajari sesuatu bererti memperoleh perbendaharaan kata dan sistem rumus-rumus tatabahasa yang berkenaan dengannya.`` (Tham Seong Chee, Bahasa dan kognisi: Satu aspek pengajaran bahasa yang diabaikan, Dewan Bahasa, Januari, 1980: 9).

Belajar memperluaskan ruang fikiran yang boleh mencetuskan berbagai-bagai idea yang dengan belajar juga idea yang tercetus disambut dengan kata yang terhasil dengan pembelajaran menjadi permulaan kata yang boleh diolah secara luas dan panjang lebar berdisiplin yang idea itu boleh dikembang menjadi ilmu dan boleh juga dikembangkan menjadi karya sastera kreatif bernilai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment