May 21, 2014

Puisi Penulis `Universiti Kebangsaan Malaysia` Diterbitkan Dalam Buku `Gagasan Perjuangan Penubuhan UKM`

-->
UKM, 19 Rajab 1435 = 19 Mei 2014 (Isnin):

Ketika menghadiri Sambutan 44 Tahun UKM di Persada UKM pagi ini dan membuka buku kecil yang diletak di atas setiap kerusi para tamu, Penulis dapati puisi Penulis berjudul `Universiti Kebangsaan Malaysia` diberi penghormatan dipilih dan diterbit pada bahagian permulaan buku `Gagasan Perjuangan Penubuhan UKM (hlm. 6) selepas index kandungan.


Dari segi penulisan sebenarnya sebagaimana penulis nyatakan bahawa Penulis menulis sejak 1960an dan kecintaan Penulis pada penulisan ini diteruskan bila Penulis diterima menjadi mahasiswa sulung UKM. Dalam masa belajar di UKM Penulis terus menulis, bahkan hingga Penulis bersara dari UKM dan hingga kini terus menulis. Oleh kerana Penulis belajar dan berkhidmat di UKM hingga 1999, maka secara langsung atau tidak langsung banyaklah bahan-bahan penulisan, khususnya puisi yang bertemakan UKM terhasil. Bahkan sebelum bersara (1999) Penulis telah menghimpun sebuah kumpulan puisi berjudul `Madu Ilmu` dipersembahkan kepada UKM sempena persaraan Penulis. Kumpulan puisi diterbitkan oleh Jabatan Persuratan Melayu UKM (1999) tempat Penulis bertugas sebelum bersara. Kandungan puisi ini melibatkan masa 30 tahun dengan puisi terawal dalam Kumpulan Madu Ilmu ialah `Universiti Kebangsaan` (puisi lain dari yang dipilih) dihasilkan di Kg. Raja, Besut Terengganu 16 September 1968 semasa Penulis sebagai guru dan mendukung perjuangan mendirikan Universiti Kebangsaan dan bercita-cita menyambung pengajian ke Universiti Kebangsaan (sedang belajar bagi mengambil peperiksaan STPM). Puisi terbaru dalam `Madu Ilmu` bertarikh 20.12.1998 (Harummu  dan puisi Waktu Menuntut Pengunduran Itu).


Dilihat kepada kandungan puisi `Madu Ilmu` yang berjumlah 144 buah puisi (termasuk bahagian kulit), maka sejumlah 33 buah daripadanya adalah langsung bertemakan UKM, maka puisi yang dipetik dari Madu Ilmu ke dalam buku `Gagasan Perjuangan Penubuhan UKM` oleh Hood Mohd. Salleh dan 4 lagi penyunting adalah satu daripada 33 buah puisi tersebut. Antara puisi lain yang bertemakan UKM ialah, Universiti Kebangsaan Malaysia Menjejak ke Tiga Dekad Usia (hlm. 1-2), Setelah Dua Dekad Berlalu Aku Masih Mencarimu (Sempena 20 Tahun UKM) (hlm.19-20), Perpustakaan II (35-36), Universiti (37-38), Grupemuisi Sedekad Usia (45), Madu Ilmu (56-57), Dalam Tafakur Kami Mengenangimu (69-70), Belumkah Kautemui Apa Yang Kaucari ? (71), Universiti Kebangsaan Malaysia (Sempena 10 Tahun Usia) (73-74), Perpustakaan Tun Seri Lanang (75-76), Dewan Canselor Tun Abdul Razak: Satu Penyaksian (77-79), Kampus UKM Di Lembah Pantai (103), Kampus UKM (108), Timbang Terima PMUKM (111) dan seterusnya.

Puisi yang dipilih adalah sebagaimana berikut:

Universiti Kebangsaan Malaysia

UKM
Lahir daripada aspirasi pribumi
Taufan kemahuan meredah jalan
Tangan-tangan pejuang mengemudi kejayaan
Melaksana Dasar Pelajaran Kebangsaan.

UKM
Gigih berdiri membina identiti
Mengombak kebangkitan
Generasi berkesedaran
Di tanah pertiwi
Berbahasa kebangsaan.

UKM
Permata kesayangan
Memancar falsafah rukun pegangan
Keyakinan dijunjung
Ilmu didukung
Kehidupan diharung.

UKM
Semaraklah berkembang
Meneroka ilmu
Membina peradaban
Masyarakat rahmat
Dalam perpaduan.

Shafie Abu Bakar
Jabatan Persuratan Melayu
5 Julai 1980.
Madu Ilmu, 1999:72 dan
Gagasan Perjuangan Penubuhan UKM, 2014: 6).


Berhubung dengan buku Gagasan Perjuangan Penubuhan UKM prakata dan pengenalan bagi buku ini mencatat:
``Buku ini bertujuan memberi tumpuan kepada latar belakang gagasan perjuangan ke arah menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ia mengandungi pengenalan bermula dari tahap kesedaran dan cetusan sehingga membawa kepada kelahiran sebuah universiti Kebangsaan. Dalam penulisan ini terkandung antara lainnya senarai nama penderma Tabung Penubuhan Universiti Kebangsaan dan salinan keratan surat khabar mengenai sambutan rakyat pelbagai lapisan masyarakat. Bagi mengenang jasa Jawatakuasa Penaja Penubuhan Universiti Kebangsaan (JPPUK) senarai nama kehadiran jawatankuasa pada perjumpaan Perisytiharan Penubuhan Jawatankuasa Penaja Universiti Kebangsaan yang diadakan pada 25 Ogos 1968 turut dipaparkan. Buku ini amat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan kepada sejarawan, alumni UKM, warga universiti, para mahasiswa UKM dan masyarakat umum dalam menelusuri sejarah universiti yang istimewa ini.

(Gagasan Perjuangan Penubuhan UKM, Suntingan Hood Mohd. Salleh dll., Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2014, hlm. Kulit Luar-Belakang).

Apa yang Penulis hasilkan di dalam kumpulan `Madu Ilmu` adalah sebahagian dari sentuhan kepuisian yang Penulis tanggapi dan hayati dari taman dan lurah kehidupan. Terima kasih kerana memetik sekuntum dari bunga di taman berkenaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment