BBB, 17 Rajab 1435 = 17 Mei 2014 (Sabtu):
Khutbah yang wujud sebelum Islam dan berkembang pada zaman
Islam adalah diterima sebagai medium penting di dalam komunikasi sehingga
khutbah diangkat dan menjadi sebagai sebahagian dari aspek ibadat.
Di dalam Islam rukun Islam yang menjadi kewajipan asasi
ialah lima
perkara yang antaranya ialah `Mendirikan Solat`
berdasarkan ayat Qur`an dan Hadith Rasulullah.
Antara ayat Qur`an bermaksud:
``Hendaklah kamu mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan
rukuklah bersama mereka yang rukuk.`` (Al-Baqarah: 43).
Hadith Rasulullah s.a.w. bermaksud:
Berkata kepadaku Abi Umar bin al-Khattab, katanya:
Sedang kami bersama Rasulullah s.a.w pada satu hari, datang
kepada kami seorang lelaki sangat putih bajunya, bersangatan hitam rambutnya,
tidak kelihatan padanya kesan persafiran, tidak seorang kami mengenalinya,
hingga dia duduk menghampiri Nabi s.a.w. Dia mengenakan dua lututnya kepada
lutut dan dia meletakkan dua tapak tangannya ke atas kedua peha Baginda, lalu
berkata, ``Wahai Muhammad, khabarkan daku tentang Islam. Maka bersabda
Rasulullah s.a.w., ``Islam ialah engkau mengucap bahawa tiada Tuhan melainkan
Allah dan Muhammad Rasulullah s.a.w., engkau mendirikan solat, engkau mengeluarkan
zakat, engkau puasa pada bulan Ramadhan dan engkau menunaikan haji, jika engkau
berkuasa sampai kepadanya``. Maka dia berkata, ``Benar engkau`` … Hingga akhir Hadith.
(Sahih Muslim, Jil. Awwal, Imam Abi al-Husayn Muslim, Beirut , Lubnan, 1412/1992:
37).
Seorang Islam wajib menunaikan solat lima waktu, iaitu zohor, `asar, maghrib,
isya` dan subuh. Bagi hari Jumaat, maka diwajibkan seorang muslim mendirikan
solat jumaat berdasarkan ayat Al-Qur`an bermaksud:
Wahai orang-orang beriman apabila diseru kepada Jumaat, maka
hendaklah kamu berusaha segara kepada mengingati Allah dan tinggallah berjual
beli (Al-Jumuat, 9).
Menurut kitab Al-Iqna` oleh Abu Shuja`, difardukan Jumaat
sejak zaman Makkah lagi, tetapi tidak dapat didirikan kerana kekurangan jumlah
dan dalam keadaan tekanan dari kuffar Qurasy. Syarat wajib Jumaat tujuh, iaitu
Islam, baligh, berakal, merdeka, lelaki, sihat dan bermastautin. Manakala
syarat sah pada melakukannya tiga iaitu,
dalam kawasan Bandar atau kampung (al-balad), jumlah 40 orang daripada ahli
Jumaat dan dalam waktu zohor. Adapun fardunya pula tiga.
1) Membaca
(menyampaikan) dua khutbah
2) Solat
dua rakat
3) Berjamaah
Jelas dua khutbah bersifat fardu yang tanpa dua khutbah
berkenaan tidak sah Jumaat. Demikianlah begitu pentingnya kedudukan khutbah.
Ini adalah berdasarkan kepada Hadith sahih bermaksud:
Daripada Ibn Umar adalah Rasulullah s.a.w. berkhutbah pada
hari Jumaat dua khutbah, baginda duduk antara keduanya dan keadaan keduanya
sebelum solat – Dengan Ijma`
(Muhammad Sharbini al-Khatib, Al-Iqna` fi Hall Alfaz Abi
Shuja`, Juz` 1, Maktabat wa Matba`at Muhammad al-Huda, Thailand , tt.: 152-157).
Adapun rukun khutbah lima :
1) Memuji
Allah Ta`ala
2) Salawat
ke atas Rasulullah s.a.w.
3) Wasiat
kepada bertaqwa kepada Allah
4) Baca
ayat Qur`an di dalam salah satu dari dua khutbah
5) Do`a
kepada mukminin dan mukminat.
Muhammad Sharbini al-Khatib, Al-Iqna` , Juz` 1, tt.
157-158).
Khutbah juga dilakukan pada solat dua hari raya, Idul Fitri
dan Idul al-Adha, solat gerhana matahari dan bulan dan Solat Memohon Hujan.
(Muhammad Arshad bin Abdullah al-Banjari, Sabil al-Muhtadin
li Al-Tafaqquh fi Amr al-Din, Juz` 2, Maktabat Nur al-Thaqafah al-Islamiyyah, Jakarta , tt.: 57-64).
Khutbah juga disampaikan oleh Juru nikah selepas aqad nikah
perkahwinan dan dibaca diperkuburan yang dikenali dengan istilah khusus
`Talqin`.
Selain dari khutbah digunakan di dalam ibadat, adalah
menjadi ciri persuratan Islam bahawa pada permulaan bagi sesebuah karangan
seperti kitab, maka bagi pemulaan karangan pengarangnya memulakan dengan
khutbah, iaitu dengan Bismillah, Hamdalah (pujian kepada Allah), salawat kepada
Rasulullah, syukur dan terima kasih atas kesempunaan karangan, tujuan karangan,
Menyentuh kandungan sepintas lalu dan penutup dengan doa.
Khutbah sedemikian sebagai adab dan identiti bagi
karangan-karangan yang bersifat Islam – baik tradisi atau moden yang antaranya
bagi khutbah diistilahkan sebagai muqaddimah. Sesungguhnya bagi orang Islam
`Pandangan Wujudnya` tidak pernah terputus atau terpisah dirinya dengan Maha
Pencipta, apa yang dapat dilakukan, khususnya kerja-kerja yang baik seperti mau
menghasilkan apa lagi berjaya menghasilkan karangan tidak lain daripada hidayah
dan pertunjuk Allah dan rahmat yang diterima melalui Rasulullah. Sebagaimana
zikir-ingatannya demikian do`a-harapannya kepada Allah tidak lekang dari minda
seorang mukmin.
Berikutan dari khutbah sebagaimana telah dibayangkan di
dalam kandungan khutbah wujudnya bab-bab dan fasal kandungan bagi sebuah kitab
– karangan. Misalnya bagi kitab fiqh bermula dengan bab – Kitab Taharah diikuti dengan pecahan
fasal-fasal misalnya tentang, air, najis, wudu`, mandi dan seterusnya diikuti
dengan, Kitab Solat dan fasal-fasal, Zakat dan fasal-fasal, puasa dan
fasal-fasal dan Haji dan fasal-fasal. Begitulah kitab-kitab di dalam
bidang-bidang yang lain seperti aqidah, tasawuf dan sebagainya. Sebagai
karangan-karangan yang berhubung dengan Islam, maka pada kebiasaan di dalam
pembicaraan terdadap istilah-istilah keislaman yang berhubung dengan
bidang-bidang yang dibicarakan, maka jika karangan atau kitab yang lain dari
bahasa Arab, maka dengan demikian, iaitu dengan masuknya istilah-istilah
keislaman sedemikian memperbanyak dan memperkayakan bahasa tersebut. Contoh jika
bahasa tersebut bahasa Melayu, dengan penerimaan istilah-istilah maka bahasa
tersebut kaya dengan istilah keislaman yang diterima dari keilmuan Islam
berkenaan.
Demikianlah, khutbah yang asalnya merupakan kemahiran
berucap menjadi penting di dalam penyampaian maklumat dan keilmuan Islam. Ianya
menjadi sebahagian dari aspek ibadat, bahkan menjadi sebahagian daripada
tradisi persuratan Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment