BBB, 03 Rajab 1435 = 03 Mei 2014 (Sabtu):
Setelah memilih puisi-puisi berunsur Islam dari sejumlah
melebihi 10 penyair dan beberapa novel dan cerpen pertandingan yang dapat
mewakili di dalam pembicaraan mengenai sastera Islam, timbul kesedaran bahawa
tidak ada pemilihan puisi dari penulis-penulis muslimat. Sebenarnya melihat
kepada kandungan buku Biografi Seratus Penulis (DBP, 1981) hanya ada enam
penulis wanita dan seorang sahaja adalah penyair, manakala dalam Jambak 1 – 4
(DBP, 1993-1995) hanya 4 penulis wanita yang dua daripada mereka adalah penyair.
Jelaslah tidak ramai penulis wanita di dalam persuratan kita. Ketiadaan dari
kalangan muslimat menjejaskan penilaian dan berlaku ketidakseimbangan. Dari
segi perpuisian memang kita mempunyai penyair-penyair dari kalangan wanita,
tetapi bila meneliti karya-karya mereka agak mengecewakan. Lebih banyak
bersifat alamiah dan isu-isu biasa yang kurang mengaitkan dengan nilai-nilai
keislaman.
Dr. Zurinah Hassan lulusan USM & Universiti Malaya Penyair
terkenal, sejak diwujudkan Hadiah Sastera Malaysia (1971) boleh dikatakan
beliau sering memenangi hadiah tersebut. Beliau juga memenangi Hadiah Utama
Sayembara Puisi Putra II (1983). Kumpulan puisi persendiriannya ialah Sesayup
Jalan (1974), Di Sini Tiada Perhentian (1977). Keberangkatan (1985), Kuala Lumpur and Other
Places (1988) dan Pujangga Tiada Bernama (1994). Namun kita tidak menemui di
dalam kumpulan-kumpulan puisi pembicaraan aspek keislaman. Namun kita mengambil
dari aspek-aspek nilai yang menjadi nilai Islam. Misalnya kasih dan taat kepada
suami, nilai setia, membenci kepada kekotoran, bahkan wujudnya rasa kemanusiaan
dan sebagainya.
Antara puisi Zurinah beliau suka menggunakan unsur,
ironi, logic dan kontradik. Daripadanya
kita melihat nilai-nilai yang diperkatakan di atas. Contoh dalam kumpulan Keberangktan
tentang suaminya seorang yang jernih (maksudnya begitu baik), kata Zurinah:
Aku menemuimu
Bagai sebuah kolam yang terlalu jernih
Kejernihan itu membuat aku malu
Kerana ia membayangkan
Kekeruhan di tubuhku.
(Zurinah Hassan – Wawancara oleh Shafie Abu Bakar, dlm.
Jambak 2, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993: 245).
Lihat pula elemen kontradik dan ironi diguna oleh Zurinah
tentang seorang lelaki bila berumah tangga:
Seorang lelaki membebaskan diri
Untuk membataskan pilihan
Seorang perempuan membataskan pilihan
Untuk membebaskan diri.
(Zurinah Hassan, Wawancara, Jambak Dua, 1993: 246).
Begitu juga dengan ungkapan berikut yang ironi:
Kita tidak usah berjanji untuk setia
Kerana kita tidak mau setia kerana janji
Kita akan setia kerana cinta
Hanya kerana cinta.
(Tambah Zurinah tentang perkahwinan – ironi dan kontradik)
Perkahwinan kadang-kadang mengajar kita
Melupakan cinta
Untuk belajar hidup bersama.
(Zurinah Hassan, Wawancara, Jambak 2, 1993: 246).
Mengenai kehidupan dengan suami kata Zurinah:
Catatan Untuk Suami (2)
Maafkan aku
Jika aku meninggalkanmu
Kerana sesekali
Aku ingin kembali
Menyambung mimpi.
Maafkan aku
Jika menjauhkan diri
Kerana sesekali
Aku ingin kembali
Kepada diri.
(Zurinah Hassan, Pujangga Tidak Bernama, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, 1994: 72).
Dari segi kesetiaan dan derhaka, contoh berhubung dengan
pertikaman Tuah-Jebat, Zurinah
menggunakan logic, kontradik dan ironi dalam puisinya berjudul
Dilema Seorang Melayu
….
Alangkah sukarnya membuat keputusan
Untuk setia kepada raja yang zalim
Dan menzalimi kawan yang setia.
Bukan mudah untuk membuat pertimbangan
Di antara membantah seorang tuan,
Dan pentingnya mempertahankan ketuanan
Melawan karenah seorang raja
Dan memelihara sebuah kerajaan.
(Zurinah Hassan, Pujangga Tak Bernama, 1994: 3).
Zurinah juga memberi pendapat tentang episode raja menyuruh
Bendahara membunuh Tuah:
Bendahara, Tuah dan Jebat,
Aku Selalu Bertanya
I
Bendahara,
Bila kau menyembunyikan Tuah
Tidak membunuhnya seperti perintah raja
Kau telah memulakan satu keberanian
Untuk mengingkari kezaliman
Dan memberi peluang kepada kebenaran.
Tetapi Bendahara
Bila Jebat menderhaka dan raja dalam bahaya
Kau sepatutnya tidak membuka rahsia
Yang Tuah masih ada
Mengapa kau tidak berani
Membiarkan seorang raja
Terhukum oleh kekhilafannya ?
(Pujangga Tidak Bernama, 1994: 40).
Zurinah kaya dengan rasa kemanusiaan serta membela alam
sekitar dan secara halus mengecam tabiat buruk warga kota yang mencemarkan sungai,
Sungai Kelang
….
Sungai Kelang
Mengheret beban ke muara
Sesekali ia bertanya warga kota
``Tidakkah kau melihat peribadimu
Yang tercermin pada kekeruhan
Tidakkah kau melihat dosamu
Pada hanyir bangkai ikan ?``
(Zurinah Hassan, Pujangga Tidak Bernama, 1994: 9).
Zurinah simpati pada mereka yang bekerja, tetapi tidak
terlepas dari lingkaran kemiskinan, misalnya kehidupan peneroka Felda di Sungai
Tiang.
Sungai Tiang
….
Rumah-rumah berderet entah berapa
Telah didirikan dari belantara raya
Setia, tekad dan keringat
Menagih sekeping tanah FELDA
Kulitmu kau berikan kepada mentari
Keluargamu kepada hutan-hutan luka
Kerana di sini ada harapan
Pendapatan lebih tiga ratus sebulan.
(Zurinah Hassan, Sesayup Jalan, Universiti Sains Malaysia,
Pulau Pinang, 1974: 35).
Begitu juga simpatinya pada nelayan Tanjung Dawai yang
diperah `orang tengah`,
Tanjung Dawai
….
Namun siang malam memberi nyawa di sini
Mereka pergi kelam dingin membeku tubuh
Mereka pulang pada lintah menghisap darah
Tetap memanjang di pantai memanjang keluh
Kerana mereka hanya tau menyerah
Dan menyembah untuk berumah.
(Zurinah Hassan, Sesayup Jalan, 1974: 37).
Sebuah puisi Zurinah tentang seorang hamba Allah di
tengah-tengah kesebokan Kuala Lumpur ,
sedang minikmati makanan di warung:
Senja Di Kuala Lumpur
….
Tiba-tiba dikejutkan oleh suara azan
….
Dia pun cepat-cepat menghabiskan nasi di pinggan
Lalu berjalan ke arah Masjid Jamek
Di antara gamitan papan-papan iklan
Dan suara panggilan peniaga jalanan.
Dia membasuh mukanya dari debu godaan
Dia mencuci tangannya dari daki pencarian
Dia menyapu kepalanya dari berat persoalan
Dia membasuh kakinya dari karat perjalanan.
Selepas sembahyang dia pun berdoa
``Ya Allah
Di sini ada senja kehilangan warna
Dan aku adalah di antara jutaan kelkatu
Tanpa-Mu aku kehilangan arah
Tanpa-Mu akau kehilangan pelabuhan.``
Demikian ada cetusan keinsafan yang digambarkan oleh Zurinah
terhadap seorang hamba Allah, di tengah kota
raya, walau sesebok mana, tetapi tidak melupai Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment