BBB, 16 Rajab 1435 = 16 Mei 2014 (Jumaat):
Khutbah sudah menjadi budaya komunikasi terutama bagi
kepimpinan di dalam masyarakat Arab sebelum Islam lagi. Budaya yang dari segi prinsip
khutbah tidak bercanggah dengan Islam diteruskan di dalam Islam, tetapi diisi
dengan nilai-nilai Islam. Rasulullah s.a.w. antaranya menggunakan medium
khutbah bagi menyampaikan perutusan kepada khalayak dan umat. Ada beberapa khutbah terkenal Rasulullah
s.a.w. yang dicatat dan menjadi warisan umat sebagai panduan. Namun formet
khutbah di dalam Islam mempunyai formet beridentiti Islam dengan
perutusan-perutusan keislaman. Antaranya bermula dengan salam, basmalah,
hamdalah, salawat ke atas Nabi, bila membicarakan tentang agama digunakan
bukti-bukti dengan ayat Quran dan Hadith dengan kandungan yang bersesuaian
sebagaimana dicerminkan di dalam pembukaan dan sekali lagi ditutup dengan puji
kepada Allah dan salawat dan salam.
Antara khutbah Nabi s.a.w. terkenal, ialah Khtbah Hajjatul
Wada` di Padang Arafah kepada jamaah berjumlah 140,000 orang dari kenderaan
untanya yang kemudian daripada itu Rasulullah pulang ke Madinah dan wafat. Antara
kandungan khutbah Baginda adalah bertemakan mengenai pokok-pokok pengajaran Islam, iaitu larangan melakukan aniaya,
larangan membunuh dan larangan merampas harta milik orang lain. Baginda mengingatkan
supaya amanah, tidak melakukan riba, berwaspada dari tipu daya syaitan, berbuat
baik kepada kaum wanita, berpegang teguh pada kitab Allah dan menunaikan
hak-hak persaudaraan sesama Islam. Sebelum itu dalam ucapan itu Baginda memberi
isyarat:
``Wahai sekalian manusia, dengarkanlah dengan saksama apa
yang hendak kusampaikan kepada kalian !
Aku tidak tahu, boleh jadi sesudah musim haji tahun ini, aku tidak
berjumpa lagi dengan kalian di tempat wuquf ini, untuk selama-lamanya. Pada
hari Arafah tahun 10H. itu Rasulullah menyebutkan wahyu Allah yang diturunkan
bermaksud:
``Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu, dan
telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah ku-ridhai Islam itu jadi agama
bagimu.`` (Al-Ma`idah: 3).
Setelah mendengar ayat yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w.
itu, Umar Ibn al-Khattab menangis. Para jamaah
menjadi terkejut dan antaranya bertanya, ``Apa yang membuat Anda menangis wahai
Umar ?`` Umar yang berminda tajam itu menjawab ``Tidak ada yang muncul selepas
kesempurnaan kecuali ketidak-sempurnaan.``
Tanda-tanda lain yang mengisyaratkan kepada maksud yang
ditanggap oleh Umar ialah, ketika dilokasi jamarah Rasulullah s.a.w. bersabda,
`` Ambillah dariku tata cara kalian menunaikan manasik haji ! Boleh jadi
sesudah musim haji tahun ini, aku tidak menunaikan haji lagi.`` (Hadis riwayat
Muslim).
(Muhammad Al-Hasyimi Al-Hamidi, Sejarah Hidup Dan Peta
Perjalanan Nabi Muhammad Rasulullah, Rabitatha Press, Durem Sawit, Jakarta
Timur, 2007: hlm. 394-398).
Pimpinan selepas Rasulullah s.a.w. diteruskan oleh Khulafa`
al-Rashidin Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali radiya Allah `Anhum yang masing
melakar sejarah dan meninggalkan kesan yang penting di dalam mengukuh dan
memperkembangkan Islam.
(Abdul Latip Talib, Khalifah-Khalifah Yang Benar, PTS Litera
Utama Sdn. Bhd., Batu Caves, Selangor, 2010: 770hlm.)
Khutbah turut digunakan oleh khalifah-khalifah. Antaranya
Khalifah Abu Bakar al-Siddiq. Beliau terkenal sebagai seorang yang fasih
bercakap dan mendalam. Khutbah terkenalnya – Yawm al-Saqifah, selepas
Rasulullah s.a.w. wafat, berlaku kekeliruan. Pihak Ansar menolak untuk dilantik
khalifah dari kalangan mereka, begitu juga dengan pihak Muhajirin. Abu Bakar
menyampaikan khutbah untuk menjernihkan keadaan, katanya:
Pujian kepada Allah dan aku memuji-Nya, wahai manusia, kami
dari Muhajirin, seawal yang menerima Islam, semulia turunan, sederhana kediaman
dan sebaik kedudukan. Kebanyakan dilahirkan di tanah Arab, mendapat rahmat dari
Rasulullah s.a.w. Kami menerima Islam sebelum kamu, kami kemukakan Al-Qur`an
kepada kamu. Firman Allah s.n.w.t. bermaksud (Yang lebih dahulu dan lebih awal
daripada kalangan Muhajirin dan Ansar dan yang mengikut mereka itu dengan
baik).
Kami orang Muhajirin dan kamu orang Ansar saudara seugama
kami dan sama menerima bahagian habuan, menolong kami dalam menghadapi seteru,
kamu lindungi dan jaga kami. Allah membalas kamu dengan kebaikan, kami umara`
kamu wuzara`, tidak terhutang budi melainkan kepada kehidupan Quraisy.
Janganlah kamu berpecah ke atas saudara kamu dari kalangan Muhajirin yang telah
di beri Allah kelebihan. (Abu Bakar dimubayaah menjadi Khalifah). Tatkala
menerima bay`ah, kata Abu Bakar:
Wahai manusia, Aku dipilih oleh kamu, bukanlah aku terlebih
baik daripada kamu. Kalau kamu melihat aku di atas kebenaran, maka tolonglah
aku. Kalau kamu lihat aku di atas kebatilan, maka perbetulkan daku. Taatkan
daku selama aku mentaati Allah. Kalau aku bercanggah, maka janganlah kamu taat
kepadaku. Ingatlah yang kuat dari kalangan kamu daif disisiku sehingga aku
mengambil baginya dan selemah kamu disisiku adalah kuat sehingga diambil hak
daripadanya.
Dan khutbah-khutbah Abu Bakar yang lain.
(Ahmad al-Hashimi, Jawahir al-Adab, Juz` 2, Al-Maktabat
al-Tijariyyah al-Kubra, Misr, 1386/1969: 112-114).
Khalifah Umar ibn Al-Khattab juga terkenal sebagai khatib
yang mendalam dari segi ucapan bercampur dengan hikmat. Umar berkhutbah, bila
menerima tugas Khalifah, antaranya katanya selepas naik mimbar, selepas memuji
Allah:
``Wahai manusia, aku penyeru (dakwah) maka terimalah, aku
ini keras, maka perlembutkan daku selari dengan ketaatan engkau yang membetuli
kebenaran, mencari keredaan di Wajah-Mu di akhirat … Wahai Tuhan rezekikanku
kerendahan sayap, kelembutan bersama orang mukminin. Wahai Tuhan aku pelupa,
maka ilhamkan daku mengingati-Mu di dalam segala hal, mengingati maut dalam
segala hal. Tuhanku aku lemah beriku kekuatan dan kecergasan dengan niat yang
baik … Wahai Tuhan kurniakan daku tafakkur dan tadabbur daripada apa yang
kubaca dari kitab Engkau, memahaminya,
mengerti maknanya dan melihat keajaibannya dan beramal dengannya seumurku.
Sesungguhnya Engkau Berkuasa di atas segala sesuatu.
Dan khutbah-khutbah Umar al-Khattab yang lain.
(Ahmad al-Hashimi, Jawahir al-Adab, Juz` 2, 1386/1969:
115-116).
Khalifah `Uthman bin Affan khatib yang mendalam dari segi
balaghah, padat dari segi ucapan, luas makna. Antara khutbahnya katanya:
Adapun kemudian daripada itu, Allah s.n.w.t. memberi kau
dunia untuk kamu menuntut akhirat. Dia tidak memberi dunia untuk kamu cenderung
kepadanya. Dunia fana, akhirat kekal. Maka janganlah terpesona dengan yang fana
dan jangan juga sebok kerananya. Terkesanlah dengan yang kekal di atas yang
fana. Sesungguhnya dunia terputus, perkembalian hanya kepada Allah. Takutlah
kepada Allah, kerana taqwa adalah perisai dari petakanya dan jalan baginya.
Beringatlah dengan Allah bersamalah dengan jamaah dan jangan jadi berpuak
(Firman-Nya: Ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu berseteru, maka
dijinakkan antara hati kamu, maka jadilah kamu dengan nikmat-Nya bersaudara).
Dan khutbah-khutbah Khalifah `Uthman bin Affan yang lain.
(Ahmad al-Hashimi, Jawahir al-Adab, Jil 2, 1386/1969: 119).
Adapun Khalifah Ali bin Abi Talib sefasih tokoh selepas
Rasulullah s.a.w., mendalam dari segi keilmuan. Imam bagi semua khatib. Antara
khutbahnya semaswa dia dilantik di Madinah:
``Diriku dengan apa yang aku katakan menjadi pertaruhan. Aku
dengannya memimpin. Siapa dibuka kefahaman dengan ibarat menangkap.
Melindunginya oleh takwa dari mengharungi syubuhat. Ingatlah yang dibalakan,
kembali kepada keadaan asal dihari dibangkitkan Allah nabi kamu salla Allah
`alaihi wa sallam. Dialah yang membangkitkannya dengan hak selepas kamu
berbalah. Hingga kembali yang di bawah ke atas dan yang atas ke bawah. Yang
berusaha mendepani tapi kurang, yang kurang menjadi ke hadapan …
Aku berkata di dalam percakapan ini yang dekat dari aspek
ihsan yang tidak sampai kepada tempat istihsan …Dan tidak siapa mengetahui apa
yang aku kata, melainkan mereka yang
memahaminya dengan hak dan berari padanya pengertian (Tidak memahaminya
melainkan mereka yang alim).
(Nahj al-Balaghah, Huraian Muhammad `Abduh, Dar al-Kutub
al-Ilmiah, Beirut, 1410/1990: 37-38).
Antara khutbahnya Khalifah Ali k.w. mengecam Talhah dan
Zubair yang memasalahkan dari segi politik pentadbiran, memberi semangat kepada
anaknya Muhammad bin Hanafiah ketika menyerahkan bendera di hari peperangan
Jamal, Dia mengecam penduduk Basrah dan juga penduduk Sham (tempat Mu`awiyah),
Baginda berkhutbah selepas peristiwa Tahkim, Menentang pandangan golongan
Khawarij mengenai pertikaiannya dengan Muawiyah dan pengikutnya. Khutbahnya di
Hari Siffin dan juga Peperangan `Al-Jamal` dan banyak lagi.
Jelas khutbah adalah cara komunikasi penting digunakan oleh
Rasulullah s.a.w. dan khulafa` al-Rashidin di dalam menyampaikan amanat dan
pengajaran. Contoh sebagaimana khutbah Rasulullah pada Hajjatul Wada`. Dari
khutbah yang disampaikan dapat dilihat kebijaksanaan penyampainya dan identiti.
Dengannya mengukuhkan pimpinan dan pengikut mendapat panduan. Khutbah
berkembang dari ciri lisan kepada tradisi persuratan yang penting dalam Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment