May 29, 2014

Sempitnya Kampus UKM Di Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur

-->
BBB, 28 Rajab 1435 = 28 Mei 2014 (Rabu):

UKM yang memulakan sesi pengajian mulai 18 Mei 1970 dengan mahasiswa seramai 197 orang dan jumlah ini makin bertambah tahun demi tahun dan selepas 5 tahun jumlah bertambah dalam lingkungan 1,500 orang. Ini tidak termasuk tenaga pengajar dan pekerja-pekerja. Setengah mahasiswa senior sudah digalakkan tinggal di luar kampus. Selain dari menyewa rumah sewa seperti di Kampung Abdullah Hukum, Kg. Kerinci dan perumahan sekitar PJ. antara mereka tinggal di Asrama Yayasan Pelajar Mara, Bungsar. Pada masa itu sudah ada persatuan OMLA (Organisasi Mahasiswa Luar Asrama) yang mewakili mereka di dalam persatuan di Kampus.


Sementara itu kampus yang luasnya lebih kurang 10 ekar yang asalnya menampung 3 bangunan 5 tingkat dengan satu Auditorium (ODT) serta sebuah kolej 7 tingkat dan sebuah padang sudah tidak kecukupan tempat bagi menampung ruangan pelajar dan kakitangan. Sebahagian mahasiswa dari Fakulti Islam dan sebahagian dari Fakulti Sains menggunakan Kampus Kolej Islam di Seksyen 16, Petaling Jaya. Lima buah bangunan kayu sementara di tambah  – sebuah masjid didirikan berdekatan Dewan Malik Faisal. Manakala di Kampus Jalan Pantai Baru, pada halaman depan kolej dekat court Tenis dibina bangunan kayu sementara untuk sebahagian pensyarah dan untuk pejabat pemerosesan data yang menggunakan komputer kaedah lama dan memakan ruang. Di Sebelah kiri di atas teres bukit juga turut dibina bangunan kayu sementara. Namun masih tidak dapat menampung ruang pengajian dan pejabat pentadbiran. Setelah lebih kurang 5 tahun berkembang dan keperluan ruang mendesak, maka pihak Pentadbiran UKM terpaksa mendirikan bangunan 10 tingkat di pinggir bukit di belakang Pejabat Pentadbiran bagi mengatasi kesesakan.


Sebagai seorang pelajar yang rimas dengan kesesakan Penulis sendiri tersentuh dengan suasana sedemikian dan mencatat dalam puisi:

Kampus UKM

Tiap inci bumi terisi
Itu bangunan bersesak
Kotak-kotak batu berasak
Di tanah-tanah lapang
Rumah-rumah panjang
Di lereng bukit sama bertenggek
Begitu sempit.

Betapa sakitnya hati
Bila kereta motor mendaki
Dan berhenti
Lentang kalang
Kami yang berjeringkit
Bersama beban menghimpit
Lemas di bilik-bilik.

Kampus UKM
Indahnya menghilang
Dalam sesak kepanasan
Daun pohonan berguguran
Persis rambut siswanya
Melayang jarang.

Kolej Pertama, UKM
23 September 1972.
(Madu Ilmu, 1999: 108).

Sesungguhnya kesempitan ruang Kampus UKM di Jalan Pantai Baru itu amat terasa, ianya amat mengganggu dari segi keselesaan pembelajaran dan ketenangan fikiran. Gangguan ini membuat Penulis bukan saja mencatat di dalam puisi di atas, tapi juga di dalam sebuah puisi yang lain, Penulis mengungkapkan:

Kampus UKM Di Lembah Pantai

Seharus letaknya tidak begini
Bukit-bukit di sini terlalu lebar kakinya
Mengasak ruang-ruang terhimpit
Hingga kami bertenggek-tenggek di tepi bukit.

Di ruang yang sempit ini
Kotak-kotak batu berempat penjuru
                                ----- terbaring
                                Putih lesu
Lurus kaku
Seharusnya bukan di situ
Kami mau kelawasan
Untuk membuang beban.

Di lembah yang cetek ini
Seharusnya tiada di sini
                          Pagar-pagar besi
                          Parit-parit basi
Kerana denyut di kepala kami
Cukup menyesak diri.

Seharusnya di sini
Sebuah hutan kecil
Sebuah kali berlari
Sebuah kolam sepi
Buat kami semadi.

Di lembah yang sempit ini
Terlalu banyak ingin diisi
Kepala kami tiada daya menanggung lagi.

Kuala Lumpur
Jun, 1973.
(Madu Ilmu, 1999: 103).

Dalam usaha mengurangkan kesesakan sebuah kawasan lurah tanah memanjang antara tepi bukit UKM dan Bukit Pantai yang pada jangkaan tidak sesuai dijadikan kawasan perumahan, tapi mulai pertengahan Jun 1972 diteroka untuk didirikan lebihkurang 10 buah rumah kondomian PKNS 6 tingkat yang kemudiannya sekitar 1974 kesemuanya disewa oleh UKM sebagai sebahagian dari kampusnya. Rumah-rumah berkenaan Penulis mengimaginasinya sebagai `mahkota`, kata Penulis:


Ratu Kota

Sejuring tanah hutan
Terhimpit antara bukit-bukit
Dengan resam berkerawang
Adalah reja-rejaan.

Di kota ini
Kebanjiran manusia
Dan di tanah reja
Merangkak caterpillar
Meregut umbi-umbi pohonan
Dengan gigi-gigi tajam
Dan kaki-kaki bukit bertelanjangan
Kemudian berkasut semin-semin padu
Ratu bertrophy rumah batu.

Dari bukit ke bukit
Berderet ratu-ratu cantik
Menjunjung mahkota
Kemegahan kota.

Kolej Pertama UKM
22 Jun 1972.
(Madu Ilmu, 1999: 115).

Pada masa itu Penulis melihat Jalan Pantai yang sebahagian dari Kuala Lumpur sudah dipenuhi:

Hutan-Hutan Batu

Di kota ini
Lembah dan pamahnya penuh berisi
Kini bukit-bukit bertukar menjadi
Batang-batang mati gelempang di bumi
Memutih tumbuh cendawan-cendawan
Hutan-hutan batu
Tegak meluru.

Di sana sini
Sungai-sungai hitam berarus songsang
Tanpa hulu tanpa muara
Pasang sepanjang dengan kenderaan
Di hutan-hutan batu
Manusia memburu dan terburu
Siang ke malam malam ke siang
Antara gerak horizontal dan tegak vertical
Terserempak mereka dengan ketegangan
Resah sepanjang.

Hutan-hutan batu
Tugu-tugu
Di sini tegaknya peradaban
Di atas kehilangan-kehilangan.

Wilayah Persekutuan
Februari 1974.
(Madu Ilmu, 1999: 100).


Berhubung dengan rumah-rumah kondo 6 tingkat yang didirikan di lembah antara UKM Jalan Pantai dengan Bukit Pantai, sebagaimana disebut pihak UKM menyewa kesemua untuk berbagai Fakulti dan jabatan yang sudah bertambah. Pihak Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) mendapat sebuah bangunan. Pada masa itu Penulis sudah berjawatan sebagai tutor (pengajar) di IBKKM dan mendapat sebuah bilik yang agak selesa, ditingkat enam – bilik terkanan- hujung. Penulis rasa lebih selesa dan lebih banyak masa berada di sini membaca dan menulis dan membimbing pelajar. Bila malam baru pulang ke rumah sewa (sewa bersama kawan-kawan) di Paramount Garden, Petaling Jaya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment