Bandar Baru Bangi, 30 Jamadil Akhir 1435 = 30 April 2014
(Rabu):
Datuk A. Aziz Deraman (lahir 1948) lulusan Universiti Malaya
(1971) adalah pegawai tadbir dan diplomatic. Kelulusan dan keterlibatannya di
dalam pentadbiran terutamanya di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sebagai
Pengarah (1981-1987), Pengarah/Setiausaha Bahagian Kebudayaan, Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (1987-1989) dan terakhir sebagai Ketua
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (1994-2008) merapatkan A. Aziz Deraman dengan
bidang kebudayaan dan sastera (puisi). Tulisan-tulisannya banyak berhubung
dengan kebudayaan. Antara bukunya tentang kebudayaan ialah Masyarakat dan Kebudayaan
Malaysia (1975), Islam dan Kebudayaan Melayu (ed. 1978), Perayaan Malaysia Kita
(1987) dan Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia (1992). Keterlibatannya
dengan Dewan Bahasa dan Pustaka mencetus minatnya dalam penulisan puisi dan
minatnya ini berterusan hingga kini. Antara kumpulan puisi yang pernah
dihasilkan ialah Kau dan Aku (DBP, 1994) dan Bahtera Madani (DBP, 2001).
Sebagaimana latar belakangnya, maka kandungan di dalam kedua-dua kumpulan puisi
menyentuh soal kebudayaan, politik dan perkembangan semasa, peristiwa global
dan setempat yang antaranya menggunakan loghat daerah (Kelantan).
Di dalam kedua-dua kumpulan puisi ini terdapat di sana-sini
tema-tema yang bercirikan Islam. Kau Dan Aku bagi tajuk kumpulan puisi (60
puisi) adalah merujuk kepada Ketuhanan, di samping aku sebagai kehambaan. Kata
A. Aziz Deraman:
Kau dan Aku
Demi satu kewajipan
Kita tidak akan berjauhan
Meskipun aku bersendirian
Kerana sinar itu sudah cukup terang
Sebagai tanda kebenaran.
…
(A. Aziz Deraman, Kau
dan Aku, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994: 10).
Puisi-puisi yang lain yang membawa tema-tema keislaman ialah
seperti Kematian, Dalam Dua Kalimah, Sepohon Kemboja, Dua Kalimah, Tasbih
Seorang Tua, Aku Bisa Hanya Memohon, Doa, Dosa, Ya Allah, dan Tuhanku.
A. Aziz Deraman membicarakan tentang Kalimah Syahadah Dalam
Dua Kalimah
Dalam Dua Kalimah
Tuhanku
Dalam aku berserah pada-Mu
Bukan saja aku
Terungkai segala dalam dua kalimah
…
(Kau dan Aku, 1994: 18).
Judul yang hampir sama:
Dua Kalimah
Aku baca
Dengan menyebut nama-Mu yang menciptakan
Segala ilmu langit dan bumi,
Biarpun milikku sezarah hanya dari lautan ilmu-Mu
Menjadikan aku patuh, sujud pada-Mu – cukuplah
Di bawah-Mu aku berlindung
Berserah sebagai hak-Mu.
(Kau dan Aku, 1991: 26).
Cuma wajar disebutkan bahawa sebuah puisi Islam, bukan
setakat hanya menampilkan fakta-fakta berunsur Islam tanpa elemen estetika yang
melayakkannya dikategorikan sebagai puisi. Pengucapan ala prosa terasa di dalam
puisi Dalam Dua Kalimah dan Dua Kalimah di atas. Contoh lagi:
Siapa Kita
Di antara kita
Pernahkah siapa bertanya
Siapa kita
Dari mana ke mana ?
….
(Kau dan Aku, 1991: 35).
Puisi Sepohon Kemboja ada elemen metaphor dan estetika,
walaupun masih bersifat prosa:
Sepohon Kemboja
Kembojaku
Sengaja kuabadikan dikau di depan mata
Di laman teratakku menghias jiwa,
Setiap di sisimu mengingatkan aku halmu
Tegak di kuburan antara nisan-nisan bertaburan
Setiap di sisimu mengingatkan aku hayatku
Tegak di bumi antara kehidupan dan kematian.
Julai 1979.
(Kau dan Aku, 1991: 22).
Kumpulan puisi Bahtera Madani (82 puisi) membawa persoalan
yang dicerminkan oleh puisi Bahtera Madani:
Bahtera Madani
Bahtera Madani bahtera harapan kita
Untuk kita belayar ke benua kencana
Tentang kehidupan seluas samudera sejahtera
Muatannya manusia dan seisi dunia
Membawa tafsir kalimat madani
Menggubah tamadun kehidupan sejati.
….
(A.Aziz Deraman, Bahtera Madani, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur, 2002: 57).
Saudara A.Aziz Deraman nampaknya terpengaruh dengan slogan
politik yang mau membangun masyarakat sivil sebagai masyarakat maju dan
dinamik. Lantaran itu kita dapat melihat puisinya membawa tema-tema seperti
Pentas Bangsa, Bayang Merdeka, Lagu Setiakawan, Forum Meja Bulat, Rindu Singapura, dan sebagainya.
Ketara puisi-puisi berkenaan berbau politik sezaman termasuk isu Kosovo yang
dibicarakan oleh penyair.
Berbanding dengan Kumpulan Kau dan Aku, maka puisi-puisi
bertemakan keislaman di dalam Bahtera Madani adalah agak sedikit. Antara
puisi-puisi bertemakan keislaman seperti Jalan, Citra Mukmin, Penyaksian, Dua
Kota Hati Kita, Kesyukuran, Ma Rabbuka, dan Masjid Al-Haram.
Kata A. Aziz Deraman
Jalan
Ya Allah
Ya Rasulullah
Lihatlah kami kegawatan
Kehilangan pedoman kehidupan
Di gelanggang pertarungan
…
(Bahtera Madani, 2002: 25).
Dan puisi:
Penyaksian
Kalimah syahadatain
Lailahaillallah
Muhammadur Rasulullah
Dua kalimat yang ringan di bibir
Terlalu berat menjadi ucapan zikir
Dalam qadak dan takdir
Bagi yang tidak kikir
Hidup batin zahir
Mohonku menjadi ucapan akhir.
Mina, Arab Saudi,
7 April 1998.
(Bahtera Madani, 2002: 75).
Sebagaimana puisi-puisi di dalam Kau dan Aku
ungkapan-ungkapan agak prosaic, demikianlah di di dalam Bahtera Madani.
Sebagaimna di dalam Kau dan Aku banyak menggunakan ulangan seperti puisi Tasbih
seorang Tua yang menggunakan ulangan subhanallahi walhamdulillah1-walailahaillallahu-wallahu
akbar sebanyak dua halaman (Kau dan Aku, 1994: 32-33), penggunaan hanya kalimah
Ya Allah sehalaman (Kau dan Aku, 1994: 57).
Cara yang sama juga digunakan di dalam Bahtera Madani
seperti Cucu (Bahtera Madani, 2002: 26) Tirai Malang (Bahtera Madani, 2002: 43) yang kita faham
memang disengajakan, tapi tidakkah boleh digunakan teknik yang lain yang lebih
padat.
Kita dapati puisi-puisi baik di dalam Kau dan Aku dan
Bahtera Madani adalah mementingkan mesej daripada mementingkan elemen seni dan
estetik. Penyair juga tidak bertujuan untuk menulis puisi bertemakan Islam
keseluruhan, apa yang terakam adalah pancaran elemen berkenaan bila tersua
dengan tema keislaman berkenaan dalam kehidupan yang berpelbagaian.
Sekian.
No comments:
Post a Comment