April 30, 2014

Arifin Arif `Penyair Anak Angkat` Penulis

-->
BBB, 29 Jamadil Akhir1435 = 29 April 2014 (Selasa):

Sekitar akhir 1980an pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mewujudkan projek bimbingan `Penulis Anak Angkat`. Melalui projek ini penulis yang berbakat di dalam satu-satu bidang kreatif dipilih oleh pihak DBP dan dilantik seorang pembimbing berpengalaman yang bersesuaian dengan bidang `Penulis Anak Angkat` yang dipilih. Pada pertengahan 1980an perbincangan mengenai sastera Islam lumrah di dalam perkembangan sastera tanahair. Secara kebetulan Penulis antara yang turut membicarakan sastera Islam, menulis tentang sastera Islam, mengajar di Jabatan Persuratan Melayu di dalam bidang Penulisan Kreatif. Penulis juga menjadi ahli Panel Penilai Hadiah Sastera Malaysia (1986-1999). Melalui tugas sebagai Panel Hadiah Sastera Malaysia ini dalam tempoh berkenaan semua hasil penulisan bagi semua bidang kreatif tanahair sampai ke tangan Penulis (dibekalkan oleh DBP) sebagai salah seorang penilai. Pendek kata perkembangan tulisan kreatif penulis-penulis baik yang veteran atau penulis muda dikenali Penulis melalui tulisan-tulisan mereka.


Bila Projek Bimbingan `Penyair Anak Angkat` diwujudkan ada penyair yang lumrah mengungkapkan puisi-puisi Islam yang berbakat, antara yang terpilih ialah saudara Arifin Arif dari Sabah. Pembimbing yang dianggap sesuai bagi Arifin Arif ialah Penulis.
Sebenarnya sebelum Penulis dilantik selaku pembimbing `Penyair Anak Angkat` ini Penulis telah mengenali Arifin Arif ini melalui tulisan-tulisannya yang ternyata berbakat. Selain dari mengenali melalui puisi-puisinya, Penulis mengenalinya secara peribadi, kerana pernah menemuinya melalui kegiatan-kegiatan sastera di Sabah, sama ada melalui kegiatan persatuan penulis dan kerjasama DBP Cawangan Sabah dan kegiatan agama yang dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) seperti sambutan Maulid al-Rasul dan pembicaraan mengenai sastera Islam dan pembacaan puisi Islam. Saudara Arifin Arif yang baru pulang dari pengajian di Mesir baru berkhidmat dengan MUIS. Beliau bergiat menulis sebelum dan sejak di Mesir dan berterusan bergiat sepulangnya dari pengajian di sana. Angkatan penulis muda Sabah yang menempa nama sezaman dengan saudara Arifin Arif ialah seperti Saibil Madun yang terkenal berbakat, Hasyuda Abadi, Jalidar Abd. Rahim, Jasni Mat Lani, Hussain Kasau, Juri Durabi, Matlin Dullah, Noorjannah M.A., Saee Dris dan lain-lain. Nama-nama mereka ini sering kedapatan di dalam antologi-antologi dihasilkan seperti Jalan Ke Hujung Taman (DBP, Cawangan Sabah, 1991), Al-Kahfi (DBP, Cawangan Sabah, 1992) dan dalam majalah-majalah dan akhbar-akhbar. Saudara Arifin Arif `Penyair Anak Angkat` bagi penulis juga menghasilkan puisi-puisi di dalam kedua-dua kumpulan puisi berkenaan, bahkan nama bagi antologi Al-Kahfi adalah diangkat dari salah sebuah puisi Arifin Arif yang berjudul al-Kahfi.


Kaedah bimbingan yang dilakukan terhadap puisi-puisi `Penyair Anak Angkat` - Arifin Arif, ialah dengan beliau diminta menghantar sejumlah puisi yang dihasilkan kepada Penulis dari masa ke masa. Penulis akan menilai, memperbaiki dan mencadangkan pembaikan-pembaikan melalui komunikasi surat. Antaranya saudara Arifin Arif datang sendiri menemui penulis bila beliau datang ke Kuala Lumpur dan ke Bangi bila ada pertemuan penulis-penulis atau seminar-seminar sastera dan juga atas urusan kerja beliau.
Melalui beberapa tahun bimbingan dan kegigihan saudara Arifin Arif puisi yang dibincang dibedah dan dibaiki pada akhirnya puisi-puisi beliau dapat dihimpun dalam satu kumpulan yang diberi judul:

Api Laut Merah

Judul adalah dari peristiwa sejarah yang berlaku di Makkah pada zaman pra dan Permulaan Islam. Api Laut Merah mengandungi 81 buah puisi.

Penulis yang membuat kata Pengantar bagi kumpulan puisi Api Laut Merah antaranya menyatakan:


``Setelah membaca dan meneliti kumpulan puisi berjudul Api Laut Merah karya Arifin Arif ini, sebagai pembimbing, saya yakin Arifin Arif mempunyai kekuatan dan keistimewaan sendiri,`` tambah Penulis kekuatan Arifin Arif ialah pada ungkapan-ungkapan bagi puisi-puisi ringkasnya, Arifin kurang dapat mengawal idea dan kelancaran kata bila mengungkapkan puisi dalam bentuk yang lebih panjang. Puisi-puisi Arifin Arif banyak bertemakan keislaman di samping tema-tema tempatan.
(Arifin Arif, Api Laut Merah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1999: IX-X).

Contoh puisi ringkas Arifin yang mengesankan

Di Makam Syafie

Pada kunjungan ini
Kaukembali dengan setanggi rohmu
Menyantun salamku penuh kasih Izzati
Kembang fikri mewangi sepanjang hari
Nenda, puspa rindu mekarnya jauh
Kutabur kini
Kutabur syahdu di pusaramu.

Kaherah,
1985.
(Api Laut Merah, 1999: 2).
Arifin mengambil kisah dari al-Qur`an (Cerita Nabi Yusuf dan Ayub) sebagai imej dalam puisinya – Warkah,  meluahkan isi hatinya kepada ibunya:

Warkah
(Untuk Ummi)

Tentang Zulaikha
Dan gadis-gadis
Yang menghiris jemari itu
Usahlah dirisaukan
Aku akan selalu
Mencontohi kesabaran
Daripada Yusuf.

Tentang Laila
Dan segala keputusannya
Yang menestapakan itu
Juga, usahlah difikirkan
Aku masih berguru
Menggali ketabahan
Daripada Ayub.

Ummi
Takku pernah
Mendendaminya
Kerana sedari kecil
Kau tak mengasuhku
Mewarisi tabiat Qabil

Kaherah,
1988.
(Api Laut Merah, 1999: 18).

Cerita Nabi Yusuf dan Zulaikha yang menarik memang banyak memberi ilham kepada penulis termasuk Arifin Arif. Dari cerita Nabi Yusuf juga beliau mengungkap puisi di bawah yang mendekati bentuk `prose poetry`:

Bunyi Sepatu

Dengarkan baik-baik bunyi sepatu
Yang makin mendekat itu. Jangan-jangan dialah Zulaikha yang mengetuk tengah malam
Semalam. Ah ! Pintu, sampai subuh baru kita singkirkan palangnya. Kali ini, bagaimana pula jika Yusuf tidak juga pulang…

Kaherah 1988.
(Api Laut Merah, 1999: 25).

Begitu imaginasi dan kreativiti Arifin Arif, manarik dan kaya dengan estetik.

Nampaknya puisi-puisi yang dihasilkan semasa di Mesir, di dalam kumpulan Api Di Laut Merah ini lebih kental dari puisi-puisi yang dihasilkan di tanahair. Sebagai seorang yang terdidik di dalam bidang Islam Arifin Arif, memhami aspek-aspek yang berhubung dengan falsafah dan kerohanian, contoh:

Makrifat

Ada rahsia terhijab mata lahir
Ilmu mengenal kasih ke dasar batin
Kilau wajah abadi pada cermin peribadi
Selamat menuju hakkul yaqin ….

Papar
(Api Laut Merah, 1999: 70).

Arifin Arif penyair berbakat dan berkecenderungian menghasilkan puisi-puisi keislaman. Sebagai `Penyair Anak Angkat` Penulis mempunyai harapan tinggi mau melihat Arifin Arif meneruskan kreativiti kepuisiannya. Namun selepas selesai menjadi pembimbing Penulia terputus hubungan. Namun kegiatan sasteranya sekali sekala kedapatan. Mutakhir termaklum Arifin Arif menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri di Sabah dan dimaklumi juga beliau telah berumah tengga dengan seorang puteri Ketua Menteri Sabah. Namun harapan masih tak padam, semoga Arifin Arif dengan kesebokan tugas dan kehidupan yang makin selesa dan bahagia tidak menyebabkan penanya makin longlai dan puisi-puisinya tersadai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment