April 18, 2014

Karpal Singh Peguam Terkenal Pertahan Kemenangan Calon Pas (1999-2004) Kajang: Takziah Kepada Keluarga Di Atas Kematian `Harimau Jelutong`.

-->
BBB, 17 Jamadil Awwal 1435 = 17 April 2014 (Khamis):


Berita kematian Peguam Terkenal Karpal Singh (1940-2014) pagi ini akibat kemalangan jalanraya di Gua Tempurung dekat Ipoh pagi ini mengejutkan Penulis, lantaran Penulis antara yang terhutang budi terhadap Peguam Karpal Singh. Kemenangan Penulis selaku Adun Kajang pada 29 November 1999 sungguhpun bergembira dan syukur, tetapi tidak terlepas dari gugatan yang menyebabkan Penulis tidak tenteram sepanjang penggal berkenaan.

Oleh kerana kemenangan Penulis dengan majority tipis (37 undi), maka pihak SPR dan Penulis menghadapai petisyen pilihanraya. Penulis menerima petisyen pada 11 Februari 2000 dari pihak lawan – Choong Tow Chong dari MCA dan pada 23 Mac 2000 Penulis menerima surat dari Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa pembicaraan akan dilangsungkan bulan Mei 2000. Seumur hayat Penulis inilah kali pertama menerima paggilan mahkamah dan terasa gentar. Walau bagaimana bagi mempertahankan Dun Kajang yang pertama kali dimenangi Pas di kawasan multirasial, pihak AJK Pas Hulu Langat yang diketuai oleh Dr. Hamirdin pada masa itu mengambil keputusan mengambil peguam terbaik bagi mempertahankan Dun Kajang. Maka pada 24 Mac 2000 Penulis bersama Ustaz Ya`kob Mohd. Nor ke Pudu menempah Mr. Karpal Singh di pejabatnya menjadi Peguam pertahan Dun Kajang.  Pada 27 April 2000 Penulis bersama Dr. Hamirdin dan Ustaz Ya`kob ke Pejabat Karpal Singh di Pudu sekali lagi berunding berhubung soal guaman. Jam 6.30 kami berunding dengan Peguam Karpal Singh bahawa bayaran ialah sebanyak RM20,000. Bayaran RM10,000 hendaklah dibayar dalam minggu itu juga, manakala baki RM10,000 perlu dibayar selepas itu dalam dua kali. (Difahamkan bayaran berkenaan murah, kerana sesama dalam Barisan Alternatif. Kebiasaan untuk buka fail saja dengan Peguam Karpal Singh dikehendaki bayar sebanyak RM50,000).

Perbicaraan pertama yang Penulis rasa gentar ialah pada 15 Mei 2000 bertempat di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Tingkat 7 Bangunan Perangsang. Menemani Penulis memberi semangat ialah Dr. Hamirdin, Tuan Haji Yaakob, Amir Hamzah, Mr. Jong dan ramai lagi. Peguam dari pihak Choong Tow Chong dari MCA ialah Shafie Abdullah. Pihak pempetisyen mempersoalkan jumlah undi tipis berbanding dengan jumlah undi rosak dan beberapa tuduhan yang lain berhubung dengan perjalanan pilihanraya. Manakala tuduhan terhadap Penulis selaku Adun Kajang, kononnya Penulis membelanja makan kepada yang makan semasa kempen pilihanraya di warung hadapan masjid Kajang dan beberapa tuduhan yang lain. Penulis tidak terlibat dengan sebarang bayaran jamuan. Setelah kes dikemukakan, pembicaraan ditangguhkan kepada 31 Mei 2000.

Pada 31 Mei 2000 ini pembicaraan berlaku secara penuh. Pada kali ini Penulis ditemani antaranya oleh saudara Ahmad Sulaiman, Tuan Haji Hussein, Tuan Hj Yaakob, Cikgu Lee Kim Sin dan beberapa yang lain. Pembicaraan dari pagi itu bermula dengan pembelaan terhadap SPR dari pagi hingga jam 11.00, diikuti dengan hujah dari pempetisyen Shafie Abdullah memakan masa antara jam 11.00 hingga 12.00 tengahari. Pembicaraan disambung jam 2.30 oleh Shafie Abdullah hingga jam 4.00 petang. Pembelaan Peguam Karpal Singh terhadap Penulis sebagai Adun Kajang selepas jam 4.00 petang dalam masa lebih kurang sejam. Hakim yang mengendalikan pembicaraan di Bangunan Perangsang itu ialah Dato` Low.

Pembicaraan terus disambung pada 1 Jun 2000 dimulai oleh Peguam Karpal Singh dalam masa setengah jam, diikuti hujah dari Puan Alice dari SPR dan  Shafie Abdullah selama 10 minit. Rumusan dan penutup dilakukan oleh Hakim Dato` Low dengan makluman bahawa keputusan penghakiman akan dibuat pada 9 Jun 2000. Berita pembicaraan ini diberi liputan oleh akhbar-akhbar termasuk keputusan yang dibuat oleh Hakim Dato` Low pada 9 Jun 2000.

Pada hari keputusan diumumkan (9 Jun 2000) ramai penyokong turut hadir termasuklah saudara Ahmad Sulaiman, saudara Hanif dan saudara Harun. Pada hari keputusan ini juga ramai dihadiri lawyer-lawyer lebih dari 15 orang. Karpal Singh yang sering ditemani anak-anaknya yang juga peguam membantunya turut sama hadir. Sebelum keputusan diumumkan Dato` Low bercakap mengemukakan hujah dan fakta hampir satu jam.

Pengumuman ialah ``Petisyen terhadap SPR adalah ditolak, tetapi guaman terhadap Adun Kajang dari pempetisyen diteruskan dan akan dibicarakan pada 12.7.2000.`` Dengan penghakiman itu keresahan yang ditanggung Penulis tidak berakhir.

Walau bagaimana penyokong-penyokong tidak jemu-jemu mengiring dan memberi semangat kepada Penulis. Pada pembicaraan bertarikh 12 Julai 2000 ini Peguam Karpal Singh tidak dapat datang kerana pada hari dan waktu yang sama beliau juga membela Dato` Seri Anwar Ibrahim yang dibicarakan pada hari itu. Tempat Peguam Karpal Singh digantikan oleh Peguam En. Eric. Pada pembicaraan ini Hakim meminta pihak Peguam Karpal Singh mengemukakan hujah bertulis yang mesti dihantar tidak lewat dari 2 Ogos 2000 dan pihak Peguam Shafie Abdullah diminta mengemukakan hujah jawapan bertulis tidak lewat dari 23 Ogos 2000. Penggolongan dan keputusan akan dibuat oleh Hakim pada 22 September 2000. Pada hari keputusan ini ramai yang datang, iaitu lebih kurang 30 orang termasuklah Tuan Haji Yaakob dan Tuan Haji Kalyubi.

Pada jam 11.45 bertarikh Jumaat 22 September 2000 Hakim Dato` Low membaca keputusan menolak petisyen pempetisyen dengan kos.

Walaupun keputusan didapati dalam masa kurang dari setahun, tetapi kes ini, terutama dari segi kos perlu dibayar oleh pihak pempetisyen tidak selesai di situ. Pembicaraan bagi tuntutan ini bersambung dari bangunan Perangsang tingkat tujuh itu ke bangunan Mahkamah Shah Alam yang siap selepas itu, bahkan soal kos ini tidak berselesaian hingga bila Penulis menjadi Adun Bangi mulai 2008, Pempetisyen nampaknya walaupun kalah dalam guaman kerusi Dun Kajang, tetapi berusaha agar tidak dikenakan kos. Penulis dipanggil lagi berhubung dengan tuntutan ini. Pada akhirnya boleh disifatkan kemenangan yang diterima tidak menghasilkan bayaran. Hasrat mau membayar balik kos yang ditanggung parti tidak dapat dibayar balik. Kos sebenarnya turun naik mahkamah dari Bangunan Perangsang Shah Alam ke Mahkamah Baru Shah Alam hingga ke Istana Keadilan di Putraya yang berjumlah lebih kurang 10 kali turun naik mahkamah tentulah memakan perbelanjaan sekali ganda lagi dari kos sebenar RM20,000. Jumlah ini tentulah tidak mencukupi bagi Firma Guaman Karpal Singh, lantaran begitu banyak kali turun naik mahkamah dan memakan masa hampir 10 tahun (1999-2008). Namun tidak ada tuntutan bayaran tambahan dari pihak Firma Guaman Karpal Singh. Demikianlah melibatkan diri dalam politik menempah kesusahan dan kerisauan – Hilang ketenangan.

Walau bagaimana kita mengucap syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Peguam Terkenal Karpal Singh yang membela Penulis selaku Adun Kajang (1999-2004).

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment