April 6, 2014

Terengganu Penyedar Ketara Tentang Sastera Islam

-->
BBB, 05 Jamadil Awwal 1435 = 05 April 2014 (Sabtu):

Dalam soal memulakan penulisan sastera Islam pada masa moden, kita berpendapat secara institusi Kolej Islam dengan Guru dan pelajar-pelajarnya yang melibatkan diri di dalam penulisan sastera adalah pemula bagi kesedaran dan penghasilan sastera Islam (mulai pertengahan 1950an), walau bagaimana ianya tidak mencetuskan kesedaran dan perbincangan bersifat massa. Di dalam hal ini `Penyedar Ketara` dan terawal secara berorganisasi adalah dimulai oleh Kerajaan Terengganu. Timbulnya kesedaran ketara tentang Sastera Islam di Terengganu adalah satu kewajaran di dalam mana negeri itu mempunyai bukti terawal tentang keislaman di alam Melayu, iaitu dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu (702/1303) dan sesuai pula dengan kesedaran tinggi dengan pengajian dan pendidikan Islam di negeri itu. Seminar sengaja diadakan di negeri Terengganu atas kesedaran dengan faktor-faktor ini. Menyebut Kerajaan Terengganu bermaksud badan penulis di negeri itu mengadakan kegiatan dan mendapat sokongan dan tunjangan dari Kerajaan Negeri Terenggnu. Sebuah badan penulis tertua negeri itu yang bergerak sejak 1960an dan mempunyai cawangan-cawangan di negeri itu ialah Persatuan Sasterawan  Terengganu atau lebih dikenali dengan nama PELITA yang ketua utamanya ialah Tuan Haji Abdul Rashid Ngah dan Setiausahanya Tuan Sharif Putera. Badan ini menganjur kursus penulisan, kewartawanan dan peraduan penulisan.


Ada tiga tahap penting di dalam penyedaran tentang Sastera Islam di Terengganu

1)      Penganjuran seminar tentang Sastera & Agama dan sastera Islam
2)      Penganjuran pertandingan penulisan & penghargaan
3)      Hasil-hasil Sastera Islam yang dipertandingkan

Dalam masa bermula dan meningkatnya kesedaran Islam di dalam dan luar Negara, maka kita dapati seawal pertengahan tahun 1973, Kerajaan Negeri Terengganu melalui PELITA dan kerjasama Gapena yang relatifnya baru ditubuhkan (1971) telah menganjurkan seminar Sastera dan Agama pada 28-29 Julai 1973 di Kuala Terengganu. Kertas yang dibentangkan oleh Muhammad `Uthman El-Muhammady berjudul:

Peranan Intelektual (Ulama) Islam Di Malaysia Dalam Pembentukan Kebudayaan

Mewakili pandangan seminar berkenaan yang antaranya mengingatkan bahawa:

Tradisi intelektual dan persuratan yang bersifat akliah dan rohaniah telah wujud di dalam bahasa Melayu yang peranannya dilakukan oleh para ulama terutama pada abad ke 18 dan 19. Seperti yang dilakukan oleh Shaykh Abdul Malik bin Abdullah abad 18, Shaykh Daud bin Abdullah al-Fatani dan Shaykh Abdul Samad bin Muhammad Salih al-Kelantani (Tuan Tabal) dalam abad ke 19. Shaykh Abdul Malik mengarang Hikam Melayu, Shaykh Daud antaranya mengarang Manhal alSafi dan Shaykh Abdul Samad mengarang Jala` al-Qulub bi Dhikri Allah. Ketiga-tiga kitab di atas adalah membicarakan aspek intelektual dan kerohanian.
(Muhammad `Uthman el-Muhammady, Peranan Intelektual (Ulama) Islam Di Malaysia Dalam Pembentukan Kebudayaan, Dewan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Jilid XVII Bilangan 10 Oktober 1973, hlm. 438-439).

Dapat ditambah lagi pada akhir abad 19 di Terengganu juga lahir `Ulama` Sasterawan seperti Syed Muhammad bin Zainal Abidin (Tok Ku Tuan Besar) yang mengarang nazam antaranya Kanz al-`Ula (Sirah), Jawahir al-Saniyyah (Aqidah), Sirah al-Nabawiyyah (Sejarah), Tahliyat al-Wildan (Fiqh) dan Durrat al-Fakhirah (Aqidah), manakala Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad mengarang Ma`arij al-Lahfan (Tasawuf) dan beberapa pengarang lain.
(Shafie Abu Bakar, Peranan Ulama Dan Kesannya Terhadap Sikap Anti Penjajahan Dengan Rujukan Kepada Pengajaran Tasawwuf Syed Abdul Rahman Bin Muhammad (Tok Ku Paloh) Berasaskan Karangannya Ma`arij al-Lahfan, Masyarakat Melayu Abad Ke 19, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991: 188-189).

Fakta-fakta di atas mengingatkan bahawa bila berbicara bahawa Terengganu Penyedar Awal tentang Sastera Islam zaman moden, juga mengingatkan bahawa Terengganu juga merupakan peneroka di dalam menghasilkan kitab-kitab dalam bahasa Melayu di Malaysia seperti dilakukan oleh Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (m. 1736M.) dengan Kitab Hikam Melayu, Kifayah dan Kitab Naql, fakta juga mengingatkan bahawa di Terengganu bukan saja terhasilnya penulisan prosa (kitab) tentang ilmu, tetapi juga menghasilkan karya-karya kreatif (Puisi Nazam) seperti yang dihasilkan oleh Syed Muhammad bin Zainal Abdin pada akhir abad ke 19.

Dengan peringatan di atas, perhatian juga ditarik, bahawa Terengganu bukan saja mempelopori bidang persuratan pada zaman tradisi, tetapi penyedar tentang kepentingan perlunya dihasilkan persuratan moden yang lebih dikenali Sastera Islam. Peranan inilah diambil oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan usaha PELITA dan kerjasama dengan Gapena menganjurkan Seminar Kesusasteraan Melayu Dan Islam sempena Hari Sastera `78` di Kuala Terengganu pada 24-27 Julai 1978 yang dirasmikan oleh YAB Dato` Haji Wan Mokhtar bin Ahmad Menteri Besar Terengganu (kini Tan Sri) pada masa itu. Seminar menyedar dan mencetuskan kegiatan yang menghasilkan persuratan dan Sastera Islam yang antaranya telah menjelaskan.



1)      Islam dibawa Nabi Muhammad dalam masa masyarakat Arab menyanjung tinggi kehebatan sastera dan al-Qur`an kaya dengan bahan sastera yang boleh menjadi panduan para sasterawan muslim (Ingatan YAB Dato` Wan Mokhtar Ahmad dalam ucapan perasmian).
2)      Islam tidak saja memertabatkan bahasa Melayu tetapi memperkenalkan berbagai bentuk prosa dan puisi yang harus dipertahan dan dikembangkan dalam bentuk sastera Moden sesuai dengan cita rasa Sastera Islam.
3)      Mengulas terhadap kertas kerja Penulis berjudul `Sastera Melayu Dan Islam` Shahnon menyeru dan terluah darinya ungkapan, ``Terokalah bidang Sastera Islam demi kerana Allah dan berhikmah untuk kita semua (Shahnon Ahmad, Sastera Melayu dan Islam, hlm. 86).
4)      Islam berperanan di dalam menggarap kehalusan jiwa seni penulisnya dengan ungkapan-ungkapan yang halus melayang dengan makna bercabang dengan mencontohi ramai penyair-penyair terkenal Islam yang dibincangkan (Hashim Musa, hlm. 209-210).
5)      Perlulah dihasilkan sastera Islam di dalam bahasa Melayu bagi mempertingkatkan bahasa dan citra keislaman.

Berikut dari seminar perbincangan tentang Sastera Islam makin meluas dan lahir berbagai pendapat mengenai ciri dan bentuk Sastera Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment