BBB, 11 Jamadil Awwal 1435 = 11 April 2014 (Jumaat):
Peraduan Novel Berusur Islam bertemakan Sirah Rasulullah
s.a.w. bagi Anugerah Sastera Darul Iman II adalah dimenangi oleh naskhah novel
berjudul:
Fajar Di Hujung Malam
Pemenang bagi naskhah ini ialah saudara Hasan Ali. Pemenang Hasan
Ali berprofesyen pendidik berkelulusan Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung
Malim (1948-50) dan Maktab Perguruan Bahasa Bukit Senyum Johor Bahru (1958).
Mengajar di beberapa buah Sekolah di Tapah, termasuklah sebagai Guru Bahasa di
Sekolah English di Tapah dan kemudian menjadi Guru Bahasa di Pusat Bahasa
Universiti Malaya . Bergiat dalam persatuan
penulis termasuklah Pena dan Gapena.
Menulis puisi, cerpen dan novel. Novelnya yang mendapat
Anugerah Pertandingan Novel Dewan Bahasa ialah Musafir (1959) yang mengambil
watak seorang mualaf. Sebuah lagi novel beliau ialah Tugu (1965) yang mengambil
tema kerjaya seorang polis pada zaman darurat. (Wajah, Biografi 100 Penulis,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981: 201-202).
Fajar Di Hujung Malam (1992) ialah novel Ketiga Hasan Ali
yang khusus bertemakan Islam mengenai Sirah Rasulullah secara kreatif. Ia juga
merupakan novel pemenang pertama bahagian Novel Berunsur Islam anjuran ASDI,
Terengganu. Novel ini diterbitkan oleh DBP, 1992, 308hlm.
Judul Fajar Hujung Malam merupakan judul yang bersifat
bahasa perlambangan bermaksud Hidayah datang selepas zaman kegelapan, juga bermaksud
Perutusan Rasulullah s.a.w. sebagai rahmat ke seluruh alam selepas kegelapan
zaman Jahiliyah.
Novel Fajar Di Hujung Malam mengambil tema berhubung dengan
Sirah Rasulullah s.a.w. bermula dari era pra kebangkitan - latar keturunan Rasulullah
s.a.w. khususnya bermula dari Datuknya Abdul Muttalib bin Hashim, perkahwinan
bapanya Abdullah dengan Aminah sehinggalah kelahiran Rasulullah dan pengasuhan
dan kehidupan sebagai anak yatim piatu selepas kematian bondanya Aminah yang
dipelihara oleh nindanya Abdul Muttalib dan kemudian bapa saudaranya Abu Talib.
Kehidupan baginda semasa remaja, keterlibatan baginda ke Sham bersama bapa
saudaranya kerana berniaga dan kemudian perniagaan baginda ke Sham dengan
dagangan Siti Khadijah hinggalah kepada perkahwinan dan baginda menjadi Rasul.
Seterusnya diikuti Era Kebangkitan Rasulullah s.a.w. menjadi
Rasul semasa di Makkah dengan penerimaan wahyu. Dakwah secara sembunyi dan
terang, ancaman dan kepungan dari kuffar Makkah. Kewafatan pembelanya Abu Talib
dan Khadijah. Ancaman untuk membunuhnya dan isyarat wahyu untuk berhijrah.
Era Hijratul Rasul ke Madinah bersama Abu Bakar dan
pembinaan Negara dan pemerintahan Madinah, ancaman-ancaman peperangan –
diplomasi dan perang dan perluasan kawasan dan dakwah. Pembukaan Makkah dan
lengkapnya penerimaan wahyu hinggalah kepada kewafatan Rasulullah s.a.w.
Noval Sirah Rasulullah s.a.w. setebal 308 halaman ini
dipecah kepada 24 pecahan mengikut episode-episode penting dalam sirah
berhubung dengan Rasulullah s.a.w. di atas.
Pendeknya riwayat secara kreatif tentang Sirah Rasulullah
s.a.w. adalah riwayat lengkap dari awal kelahiran Rasulullah s.a.w. sehinggalah
kepada kewafatan Baginda.
Dilihat dari segi teknik nampaknya Hasan Ali
memperpanjangkan jalan ceritanya episode demi episode secara kronologi,
Barangkali jalan ini lebih selamat dari menggunakan berbagai teknik misalnya
secara sorotan dan imbas kembali yang boleh mengelirukan pembaca. Barangkali
cara ini juga memudahkan guru dan pelajar mengajar dan mempelajarinya. Di dalam
karangannya ini Hasan Ali turut menyertakan bukti-bukti dengan ayat al-Qur`an.
Misalnya maksud Surah al-Fil yang burung-burung ababil menggugurkan batu-batu
ke atas tentera bergajah Abrahah yang menyebabkan tenteranya mengalami wabak
cacar (al-Fil, 1 – 5) hlm.16 yang
membawa kepada kematian dan menghalang Abrahah dari meruntuhkan Ka`bah, tentang
keyatiman Muhammad dan di dalam lindungan Allah (al-Duha, 6-7) hlm. 22 dan
banyak lagi.
Kekuatan yang dapat dilihat pada Fajar Di Hujung Malam karya
Hasan Ali ini ialah kekuatan daya
imaginasinya dan diperturunkan ke dalam bahasa yang indah dan kreatif. Banyak
contoh yang dapat dibuktikan. Umpamanya untuk intro bagi menggambarkan suasana alam
di Makkah pra kelahiran Rasulullah digambarkan:
``Bunyi tiupan seruling gembala kambing itu terapung-apung
menuju ke puncak gurun. Daun-daun kurma di sekelilingnya mengepak-ngepak
dipupuk angin petang yang gersang. Sebatang pohon kurma tua terbaring di celah pohon-pohon
muda yang berbuah lebat. Kelihatan pada
pohon-pohon kurma itu bergayutan beberapa tandan buah kurma berwarna merah,
menandakan ia sedang mengkal.`` (hlm. 1).
Di tambah dengan gambaran – Menjelang Fajar – (Kematian
Abdullah ayah Nabi Muhammad):
``Kedamaian keluarga Abdul Muttalib tiba-tiba menjadi
tercalar apabila mendapat berita bahawa Abdullah mendapat keuzuran semasa dalam
perjalanannnya.
Menurut Harith Anak sulung Abdul Muttalib yang pernah
menemani Abdullah dulu, Abdullah telah pergi ke Gaza, kemudian balik semula ke
Madinah untuk menemui keluarga ibunya sambil beristirihat disebabkan
perjalanannya yang berbulan-bulan itu. Harith pulang dulu ke Makkah. Ketika
Harith meninggalkan Madinah, pada waktu itu Abdullah dalam keadaan sihat.
``Harith segera kamu pergi ke Madinah, bawa pulang adikmu
itu.`` Abdul Muttalib menyuruh Harith.
``Baiklah kita ubati dulu, sesudah sembuh, saya akan bawa
dia pulang.`` Harith bersuara hormat.
Sesungguhnya Harith di Madinah, dia ditemui oleh
keluarganya.
``Abdullah sudah meninggal, sebulan selepas kamu pulang.``
Keluarganya memberitahu dengan suara sedih.
Alangkah hampanya Harith mendengar berita itu. Dia segera
pulang ke Makkah menemui ayahnya. (hlm. 10).
Manakala gambaran pada pengakhiran Fajar Di Hujung Malam,
``Walau bagaimanapun, kehendak Allah tetap akan berlaku.
Muhammad Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan dua warisan penting untuk
dihayati oleh seluruh umat Muslimin iaitu al-Qur`an dan Hadith Rasulullah.
Kedua-dua harta warisan ini terus kita junjung tinggi dan hayati sehingga hari
ini. Dengan itu, fajar yang menyingsing di hujung malam akan tetap melimpahkan
sinarnya hingga ke akhir zaman.`` (hlm. 308).
Jelas dari petikan-petikan di atas jalan cerita bukan
setakat menceritakan, tetapi dihidupkan dengan dialog-dialog yang hidup dan
segar.
Sebagai pengakhiran dipetik sebahagian kata-kata panel
penilai (Profesor Dr. Hashim Awang dan Penulis) sebagaimana berikut:
``Novel Fajar Di Hujung Malam mengangkat riwayat hidup Nabi Muhammad s.a.w.
sebagai tema utama untuk dipaparkan kepada pembaca. Daripada kisah benar yang
berlaku pada zaman pra-Islam dan setelah kedatangan Islam di bumi Arab, pembaca
disogokkan dengan pelbagai peristiwa yang memberi banyak pengajaran dan
keinsafan.
Novel ini bermula dari kisah perigi zamzam yang menjadi
lambang kemakmuran kota
Makkah pada zaman Jahiliah. Dari situ penceritaan tentang sejarah Nabi
dipaparkan, peristiwa Abrahah dan kelahiran Nabi serta kehidupan zaman bayi (penyusuan);
Zaman selepas kematian Abdul Mutalib; pemergian nabi ke Syam dan perkahwinannya
dengan Khadijah, peristiwa Hajar Aswad dan kebangkitan Nabi menjadi Rasul,
rintangan-rintangan yang dihadapi, meninggalnya Abu Talib dan Khadijah;
persetiaan Aqabah dan perpindahan ke Madinah; dakwah dan perkembangan Islam di
Madinah; Perang Uhud; Perang Badar; Perjanjian Hudaibiyah; pembukaan Makkah dan
diakhiri dengan kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.
Membaca novel ini, kita dapat melihat keperibadian Nabi
Muhammad s.a.w. melalui peristiwa, dialog dan tindakan atau aksi ahli keluarga
dan sahabat handainya. Inilah satu-satunya novel Melayu yang mengangkat riwayat
hidup Nabi Muhammad s.a.w. lalu diadun ke dalam satu bentuk karya kreatif yang
indah dan menyegarkan (Kulit luar – belakang).
Novel ini sewajarnya disebarkan secara meluas sebagai bahan
bacaan pelajar dan orang dewasa agar sirah Nabi Muhammad s.a.w. menjadi contoh
tauladan dan panduan di dalam kehidupan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment