BBB, 18 Jamadil Awwal 1435 = 18 April 2014 (Sabtu):
Jika penulisan kreatif di dalam bidang novel berhubung
dengan Rasulullah s.a.w, berjaya dihasilkan oleh Hasan Ali dengan judul Fajar
Di Hujung Malam (1992), maka percubaan menghasilkan tentang sirah Rasulullah
s.a.w. di dalam bentuk puisi di dalam persuratan moden dilakukan oleh
Sasterawan Negara A. Samad Said dengan judul Al-Amin (1999).
Jelas Al-Amin sebuah karya bercirikan Islam yang mengambil
Rasulullah s.a.w. sebagai temanya.
Melihat kepada latar belakang A.Samad Said tidak dapat
dinafikan tentang ketokohannya di dalam bidang sastera . Tokoh yang
berkelulusan School Certificate (1956) yang pernah berkhidmat sebagai editor di
akhbar Utusan Melayu dan kemudiannya di Berita Harian ini menerima beberapa
anugerah seperti Tokoh Pejuang Sastera (1976), Anugerah Penulis Asia Tenggara
(1979), Anugerah Sasterawan Negara (1985) dan Anugerah Sasterawan Nusantara
(1999).
Al-Amin adalah sebuah karya sastera panjang (317 hlm.). Di
dalam pengenalan bagi karya Al-Amin ini disifatkan sebagai `Puisi
Liris-Naratif`. Tetapi membaca Al-Amin Penulis dapati ianya adalah karya prosa
yang terlalu diimaginatif sehingga fakta yang mau disampaikan tenggelam di dalam
permainan dan ungkapan kata. Bagi yang sudah tersedia maklum mengenai Sirah
Rasulullah s.a.w. mungkin dapat menanggapi aspek yang mau disampaikan, tetapi
bagi mereka yang tidak mempunyai maklumat dan latar mengenai Sirah Rasulullah s.a.w.
akan tenggelam dalam ungkapan kata yang kreatif dan imaginatif. Bagi Penulis
Al-Amin bukan sebuah karya puisi sepenuhnya, tetapi prosa yang dikreatifkan
yang mungkin lebih tepat dinamakan sebagai `Pros-Puisi` A. Samad Said tentang
Al-Amin – gelaran yang dimaksudkan kepada Rasulullah s.a.w.
Untuk sampai kepada apakah yang hendak dimulakan berhubung
dengan sirah, setelah membaca dan tiba ke halaman ke 4 di tengah ungkapan secara imaginatif barulah
tiba tentang maklumat bahawa masyarakat pra-kelahiran Rasulullah ialah `masyarakat
Jahiliyah`. Ini dapat ditanggapi dari
ungkapan panjang berikut:
``Topan gelita sentiasa bergelora, meredah kafilah dan
menjerit luka, resah dan tak jerih bertanya kepada bumi tentang arah inti,
bertanya manusia di mana khemah damai. Kaum Jahiliyah pecahan nurani,
kesementaraan dan wasangka. Setiap musim semakin ngeri. Hari tenteram hanya
gementar malam yang sayu atau seakan bintang yang mengerdip, tapi tak tahu.
Bertanya dari dalam dan luar keluarga, dan bertanya dari musuh yang sentiasa
ada.
(A.Samad Said, Al-Amin, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur, 1999: 4).
Bagi Penulis bahasa di atas adalah bahasa prosa yang dipuitiskan
secara imaginatif yang terlalu mewah dengan kata bagi menggambarkan zaman dan
antara sifat Jahiliyah’ Setelah menceritakan secara imaginatif-kreatif tentang
keluarga Ibrahim, Hajar, Ismail dan zamzam dan kemakmuran tanah Makkah yang
kepimpinan diwarisi keluarga Abdul Muttalib membawa kepada perkahwinan Abdullah
dengan Aminah, maka diungkapkan tentang kelahiran Rasulullah secara yatim
selepas kematian bapanya di Madinah:
``Ketika bersendiri, antara sayu seruling, kenangan mungkin
berisi – tanya yang inti, wajar bagi yatim yang awal, Abdul Mutalib datuk yang
penyayang, Abdullah, ayah peniaga yang segak, Aminah, gadis pingit keluarga
Zuhrah, asas luar biasa. Kenangan yang berulang, tanya yang inti, Abdullah
dengan harta unta, kambing dan pengasuh Ummu Aiman, kembara niaga ke al-Syam,
berkata nama di Gaza dan ketika berihat sedia ke Makkah, sakit dan meninggal ia
di Madinah. Putera lahir selepasnya, pelukan datuk di Ka`bah Muhammad s.a.w.
ia.``
Sudah tentu gambaran imaginatif agak panjang untuk maklumat
yang agak ringkas.
Ciri penceritaan secara puitis dan imaginatif seperti di
atas berlaku sepanjang cerita hingga ke bahagian terakhir saat kewafatan
Rasulullah s.a.w. digambarkan (Petikan ini lebih jelas berbanding dengan
petikan-petikan yang lepas):
``Dipapah Baginda yang lemah, Ali bin Abu Talib amat berhati-hati,
dan Fadhl bin al-Abbas sungguh berjaga, dan selamat mereka ke masjid; dan Abu
Bakar sedang mengimami solat, dan berundur ia selangkah, perlahan yang sopan,
tapi, Nabi dalam lemah yang syahdu, menyuruhnya meneruskan ibadah. Segala
diperhatikan Usamah, dan setelah amat yakin ia seperti telah sembuh Baginda,
dipinta pulang ke Palestin. Dan Nabi membenar semua kembali bertugas seperti
biasa, sementara, dan rahsia, mengerti dan tahu, dikenang dan dikira, bakal
akhir hayatnya.
Hari panas ketika itu, mentari mempunyai kisahnya sendiri,
dan langit masih penuh rahsia. Hari panas ketika itu, akan mempunyai ceritanya
sendiri, dan gurun masih penuh rahsia. Nabi meminta bejana air, diseluk ke air
dan diusap wajahnya, berkata tenang datangnya ajal dan rela. Di pangkuan isteri
kepalanya, berkata ia sukar diterka dan tengah hari Rabiulawal tahun 11 Hijrah
Nabi yang mulia menghembus nafas akhirnya. Hari panas ketika itu, mentari
mempunyai kisahnya sendiri, dan langit masih penuh rahsia. Hari panas ketika
itu, aduh Nabi sudah tiada.``
(Al-Amin, 1999: 317).
Sebenarnya sebagaimana Penulis pernah bentangkan kertas
panduan menulis novel yang berhubung dengan Rasulullah s.a.w. hingga melahirkan
novel Fajar Di Hujung Malam, bahawa persoalan fakta perlu dijaga agar tidak
mengelirukan, maka demikianlah juga di dalam menulis puisi. Walaupun dalam
menulis puisi yang bersifat kreatif fakta kena dijaga dari segi kebenaran.
Imaginasi dan kreativiti biar bersesuaian hingga tidak menenggelamkan maksud
dan tujuan, apa lagi lebih tidak wajar jika membawa kepada kekeliruan.
Selain dari masalah fakta yang tenggelam di dalam kebanjiran
kata yang kadang-kadang tenggelam dan boleh mengelirukan, Al-Amin karya begitu
panjang 317 halaman bersambung-sambung tanpa bab dan fasal meletih pembaca di
dalam memahami episod-episod yang mau disampaikan. Adalah wajar bagi memudahkan
pembaca merujuk dan mengikuti perkembangan naratif puisi jika dipecah kepada
bab-bab dan fasal-fasal. Misalnya Zaman Jahiliyah, kelahiran Rasulullah,
Muhammad di bawah lindungan Ninda Abdul Mutalib dan Abu Talib, Zaman Remaja,
Berdagang ke Syam, Perkahwinan dengan Siti Khadijah, Kebangkitan menjadi Rasul
dan episod-episod seterusnya. Dengan pemecahan sedemikian tidak merosakkan
konsep `puisi panjang tentang Al-Amin` sebaliknya memudahkan pembacaan,
rujukan, pembelajaran, pengajaran atau petikan-petikan contoh untuk dilagu, dinasyid,
dibaca secara nathar seperti surah Barzanji dan sebagainya.
Satu perkara yang mungkin dianggap kecil, tetapi adalah
menjadi adab dan tradisi di dalam kaedah persuratan Islam, apa lagi berhubung
dengan Sirah Rasulullah s.a.w. bagi pembukaan sesuatu penulisan apa lagi buku,
wajar ditulis selepas Bismillahi`r.Rahmanir-Rahim diungkapkan puji-pujian
kepada Allah dan salawat kepada Rasulullah s.a.w. dan salam kepada
sahabat-sahabat dan tabiin. Ini tidak kedapatan. Sebaliknya selepas Bismillah
diungkapkan:
``Perit dan pedih sungguh hidup saya ketika masih
kanak-kanak. Dalam usia belum pun tujuh tahun sebahagian rumah saya telah dibom
(dan seterusnya mengenai kisah diri penulis – 10hlm.).`` (Al-Amin, 1999: V).
Pada permulaan masuk kepada penulisan tentang Al-Amin, kata
penulis:
``Syahdu awal kata, suci awal hasrat, khidmat awal hajat,
mentari teman pagi terbit, sasau inti diri yang mencari. Rindu benih cinta,
sayu sisa resah, lidah batin suara dari jantung purbakala gedung khazanah
bertanya jiwa hingga ke inti dicari, sampai ke akar digali …``
(Al-Amin, 1999: 1).
Walau apa pun, usaha A.Samad Said menghasilkan sebuah puisi
panjang yang Penulis sifatkan sebagai Pros-Puisi amat kita sanjung dan kagum.
Pada hemat kita inilah puisi moden dalam bahasa Melayu tentang Rasulullah s.
a.w. terpanjang pernah dihasilkan, sesuai dengan novel tentang Rasulullah
s.a.w. juga dihasilkan oleh Hasan Ali (1992). Kita berharap karya-karya seperti
ini tidak setakat menambahkan judul bahan bacaan di perpustakaan, tetapi dibaca
dan menjadi tauladan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment