April 22, 2014

Kembali Kepada Suhaimi, Komitmen Tinggi Dengan Puisi Rohani

-->
BBB, 21 Jamadil Awwal 1435 = 21 April 2014 (Isnin):

Kita telah membicarakan tentang Suhaimi berhubung dengan kemenangannya dalam peraduan Penulisan Puisi Sempena Abad 15 Hijrah. Kemenangannya ialah dengan kumpulan puisi beliau yang berjudul `Di Malam Gelita Ini`. Sebenarnya dengan kemenangan tidak bererti itulah yang terbaik bagi seorang penulis. Kumpulan ini pun hanya menang tempat ketiga. Tidak ada yang memenangi pada peringkat pertama dan tidak ada juga yang memenangi pada peringkat kedua. Apa yang menarik kemenangan ini merupakan `turning point` dan `katalis` bagi Suhaimi kepada menumpukan penulisan puisi yang bercirikan Islam atau yang dikatakan `sastera mistik` yang bermakna juga `sastera sufi` atau kerohanian. Kata Suhaimi:


``Perlu juga saya katakan, saya telah meninggalkan penulisan puisi-puisi mengikut aliran surealisme yang saya sukai dalam tahun-tahun 1950-an, 1960-an dan 1970-an mulai 1980, yakni sebaik saya memenangi Hadiah Puisi Islam yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia dengan kumpulan puisi saya berjudul `Di Malam Gelita Ini` (1981). Mulai daripada saat itu, saya menulis puisi daripada aliran mistik Islam dan kerohanian, dan hasilnya lahirlah beberapa kumpulan puisi daripada aliran ini, antaranya kumpulan puisi Wujud (1997) mengandungi sebanyak 206 buah puisi, kumpulan berjudul Simfoni Perjalanan (1999) mengandungi 108 puisi, Kumpulan At-Tariq(2000) mengandungi 61 puisi, kumpulan An-Nur (2003) mengandungi 200 puisi dan akhir sekali As-Salam (2006) mengandungi 2002 puisi. Semoga karya ini menjadi amal jariah saya kepada semua  kaum muslimin dan muslimat khasnya, dan kepada manusia keseluruhannya.``
(As-Suhaimi, As-Salam Kumpulan Puisi Mistik Dan Kerohanian, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2006: XVIII).

Ada tambahan penghasilan kumpulan puisi Suhaimi selepas dari penghasilan kumpulan-kumpulan puisi di atas, iaitu Asyik (2006) dan Bunga-Bunga Suci (2010).

Menarik perjalanan perpuisian Suhaimi yang melibatkan masa selama 6 dekad. Separuh pertama (1950-1980) Suhaimi berlegar di dalam ruang realisme dan surealisme dan separuh ke dua 1981-2011 ditumpukan kepada puisi-puisi yang bersifat keislaman-kerohanian. Tidak ada salahnya dengan perjalanan perpuisian Suhaimi, bahkan adalah menarik bahawa dapat dilihat perkembangan dan peningkatan perpuisian Suhaimi. Sebagaimana Kemala berkembang dengan perkembangan keilmuan yang dipelajari, demikian juga perkembangan perpuisian Suhaimi ke arah kerohanian adalah hasil dari pengajian beliau – walaupun tidak melalui pengajian melalui institusi formal.  Menurut Mana Sikana, Suhaimi:


``Mempelajari bahasa Arab melalui abangnya  dan beberapa orang guru yang terdiri dari pensyarah-pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Suhaimi juga mempelajari agama Islam seperti ilmu Tauhid, Fiqh, Hadis dan Tasauf, Tafsir dan Tajwid. Akhirnya beliau mendapat ijazah mengamal tarekat Naqsyabandiah daripada Tuan Guru Haji Ma`aruf bin Ya`akub dari Negeri Sembilan pada tahun 1980.``

(Mana Sikana, Puisi Mistik Dan Kerohanian Bunga-Bunga Suci Karya Suhaimi Haji Muhammad Pandangan Takmilah, dlm. Abdul Halim Ali (Penyelenggara), Teori Takmilah Peluasan & Penafsiran, Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Tanjung Malim, 2014: 112).

`Wujud` yang menjadi judul satu daripada kumpulan puisi Suhaimi ialah istilah falsafah Islam yang berhubung ilmu akidah yang sekaligus mencerminkan persoalan yang dibicarakan mengenai kewujudan – secara luas termasuk bidang kerohanian. Suhaimi banyak bermain dengan lambang yang abstrak dan mengulang-ngulang  prasa dan kata yang menjadi antara ciri puisinya contoh:

Burung Gembala

Di padang luas
                Pasir berhamburan
Bertengger
                Burung-burung gembala
Mengisi tangisan
                Manusia
                 Zaman berzaman
Terbanglah burung-burung
                Dari tenggeran
Meninggalkan
                 Kesan
                     Kejatuhan manusia.
(Suhaimi, Wujud, 1997: 23)

Melambangkan roh suci mau meningkat tinggi, sedangkan manusia dalam kekotoran tidak mampu meningkat, bahkan dalam kejatuhan.

Jangan Hairan

Jangan hairan
    Hari ini kuhancurkan piala-piala
         Dan kuletakkan
           Di sudut-sudut kembara.
Jangan hairan
    Hari ini tiada lagi
      Piala-piala indah
         Di sudut-sudut kembara

….
(Suhaimi, Wujud, 1997: 25).
Usaha Suhaimi membersih diri dari keduniaan, antaranya mendekati alam kesufian sebagaimana diungkapkan dalam `Al-Salam`:

Perihal Ahli Sufi

Ada dua perkara yang dijagai oleh Ahli Sufi
Hati yang suci dan amal yang suci
Tanpa keduanya tersisihlah dia dari jalannya ini
Ilahi dijadikannya Kekasih diri

Tidaklah dia mementingkan diri sendiri
Yang dipentingkan ialah kasih sayang Ilahi
Dia melihat segala dengan mata hati

Tidaklah dia menggeletar menahan derita
Tetapi diamlah sahaja dia
Baginya menggeletar bererti tidak reda
Diam itu tandanya reda

Mematikan dirinya itulah sentiasa amalannya
Ilahi tidak pernah lekang daripada dirinya
Dirinya ialah cermin bagi melihat Kekasihnya
Rindulah dia sangat menatap wajah Kekasihnya.

(As-Suhaimi, As-Salam,  Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2006: 20).

Demikian melalui kesufian dapat mendekat diri kepada Allah, bahkan mencintainya. Dalam ulasan mengenai aspek rohani, kata Suhaimi:
``Di dalam rohani inilah terletaknya begitu banyak khazanah yang tersembunyi, khazanah yang indah murni, khazanah yang masih utuh dengan martabatnya yang tinggi, apa lagi jika dihubungkan dengan sifat-sifat dan nilai teologi (Ilmu ketuhanan) dan rabbani, yang ternyata penuh dengan nilai-nilai kekudusannya. Mata kerohanian akan tidak henti-hentinya  menyelidik dan menatap rahsia-rahsia yang terkandung di celah-celah dan lapis-lapis khazanah tersembunyi Ilahi. Ini bersesuaian dengan firman Tuhan dalam hadis Qudsi, ``Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi``, dan bersesuaian pula dengan sifat Tuhan, Yang Zahir dan Yang Batin.``
(As-Suhaimi, Asyik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2006: IX).

Kata Suhaimi:

Dari-Nya Wujud Cinta Abadi

Dari-Nya wujud cinta abadi
Dari-Nya turunlah rahmat
Dan melimpahkan cinta murni-Nya kepada
Para pencinta yang dicintai-Nya
Dan melimpahkan cinta murni-Nya kepada
Sesiapa yang dipilih-Nya
(As-Suhaimi, Asyik, 2006: 44).

Lantaran itu kata Suhaimi dalam Bunga-Bunga Suci (hlm. 47).

Aku ini seorang muslim
Tuhanku Allah
Tuhan Yang Maha Esa
Aku amat merindui-Nya
Aku amat rindu menyaksi wajah-Nya
Aku amat rindu pada kerajaan cinta-Nya..

(Teori Takmilah Perluasan & Penafsiran, 2014: 126-127).

Apa yang dapat dilihat Suhaimi lebih menekankan mesej yang mau disampaikan dan tidak mementingkan ciri bahasa puisi. Ayat-ayat seperti petikan di atas semacam prosa. Yang menjadi tarikan dari puisi ini ialah persoalan dan perluahan perasaan cinta Ilahi.

Suhaimi selama tiga dekad telah menumpukan jiwa raganya terhadap aspek rohani di dalam menyucikan jiwanya, yang diharap dari usahanya dapat memberi manfaat kepada muslimin dan muslimat dan dikira sebagai sadaqah jariah. Kita percaya doa Suhaimi kepada Allah supaya memberinya kekuatan mengejar masa meluahkan ilham dalam penulisan sehingga tulisan terakhir yang kita dapat nikmati, `Bunga-Bungi Suci` dikabul oleh Allah sebelum Allah memanggilnya kembali ke sisi-Nya pada 02 Rabiul Awwal 1435 = 04 Januari 2014.

Sekian.

No comments:

Post a Comment