Firaun moden berwajajah Al-Sisi
Mengetuk meja kehakiman
Dengan tangan berkuku besi
Selepas perbicaraan singkat – dua hari
529 mujahid pendukung Ikhwan
Dihukum mati !
Atas hukum apakah rujukan
Hukuman keldai di padang
pasir
Atau Firaun Pengaku Tuhan
Konon segala kuasa di tangan
Tapi sekukuh mana kekuatan
Bakal tiba kemusnahan
Fana walau seteguh mana
Benteng pyramid didirikan.
Episod kezaliman ini
Lanjutan rampasan kuasa
Terhadap Morsi pemimpin Ikhwan
Pertama dipilih cara demokrasi
Kebangkitan pembelaan dibalas
Dengan tembakan cara ganas
Beribu gugur tanpa belas
Di atas pyramid mayat ini
Al-Sesi mau mendaki ke puncak berdiri
Mengibarkan bendera kezaliman
Firaun moden
Algojo zaman.
Al-Sisi mata rantaian
Sejarah keji mengarus songsang
Perjuangan menegak Islam
Dari Hassan al-Banna ke Syed Qutb
Kini Morsi dan pendukung-pendukung
Berdepan hukuman ke tali gantung
Demi menegakkan kebenaran.
Amat memalukan tanah Mesir
Kecamuk dari segi imej
Sebuah Negara purba tamadun
Kini peruntuh peradaban
Terkenal Penegak revolusi
Tapi perobek demokrasi
Cemerlang Al-Azhar menyebar Islam
Dirosak kewibawaan oleh anak watan
Di mana maruah keadilan
Mencanggah kemanusiaan ?
Pasti ada di sana
yang menginsafi
Merubah segala kemungkaran ini.
Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
28 Rabiul Akhir 1435
30 Mac 2014.
No comments:
Post a Comment