Petaling Jaya, 24 Jamadil Awwal 1435 = 24 April 2014
(Khamis):
Pembaca mungkin masih ingat bahawa ketika AJK Pembinaan
Masjid Al-Umm bertungkus lumus mencari dana bagi membina masjid kedua di Bandar
Bangi dan selepas pelancaran derma 19 Mei 2012 diikuti pelancaran tapak bersama
upacara `Khenduri Kampung` pada 6 Januari 2013 oleh Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri
Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor
yang juga diadakan Majlis Penyampaian derma, maka derma yang dapat dikumpulkan
hingga akhir 2013 ialah hanya sebanyak
RM2.5 juta sahaja. Sedangkan mulai akhir tahun 2013 kerja-kerja tapak mulai
dilakukan. Dengan jumlah sebanyak RM2.5 juta dibimbangi tidak mencukupi bagi
kerja-kerja pembinaan tapak dan pembinaan seterusnya.
Walau bagaimana pada
2 Januari 2014 (Khamis) ketika Majlis Do`a Selamat dan Penentuan Arah Kiblat
yang dilakukan oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din yang beliau selaku Penasihat
kepada AJK Pembinaan Masjid Al-Umm, Tuan Guru memaklumkan bahawa beliau akan
mengusahakan sejumlah RM1.5 juta ringgit dalam masa terdekat. Pengumuman beliau
disambut dengan rasa syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala dan lega kerana
dengan tambahan derma sejumlah itu akan membolehkan kerja-kerja terus dijalankan.
Selang dua hari dari tarikh pemakluman oleh Tuan Guru Dato`
Dr. Haron Din di atas, maka pihak AJK dihubungi untuk mengambil cek bagi Masjid
Al-Umm pada 4 Januari. Pihak AJK ke rumah Yang Berbahagia Dato` Dr. Haron Din,
kami dapati jumlah yang diserahkan bertambah dari yang dijanjikan menjadi
RM1.52 juta. Dengan itu jumlah pungutan yang didapati setakat pada 4 Januari
2014 itu lebih daripada RM4 juta.
Usaha Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din tidak terhenti setakat
itu, bahkan pada 13 Januari 2014 Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din bersama
mengetuai rombongan menemui Y.B. Ustaz Sallehen Muhyi Exco Hal Ehwal Islam di
Pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah merundingkan
kemungkinan mendapat dana bagi pembinaan Masjid al-Umm. Selepas itu Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din
terpaksa dirawat di IJN dan Penulis Selaku Pengerusi AJK Pembinaan Masjid
Al-Umm bersama saudara Azemi Ahmad dan saudara Azizi melawat beliau di IJN pada
27.1.2014. Dalam masa pertemuan singkat itu, topic percakapan beliau adalah
berhubung dengan mendapat dana Masjid Al-Umm, ini menandakan komitmen dan
kesungguhan Tuan Guru dalam usaha mendapat dana tersebut.
Salah satu usaha Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din ialah
mendekati pihak koperat yang mungkin sudi untuk menderma kepada Masjid Al-Umm.
Bagi tujuan ini AJK yang diketuai Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din, walaupun baru
pulih dari masalah kesihatan mengunjungi Yang Amat Mulia Tan Sri Dato` Seri
Anwar Ibn Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di rumahnya pada 6 Februari
2014. Kemesraan dan perbincangan yang berlaku menjadikan kami positif bagi
mendapat dana dari pihak koperat melalui Y.A.M. Tan Sri Dato` Seri Anwar Selaku
Pengerusi Lembaga Zakat Selangor.
Pada petang ini Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din dengan
Isterinya dan anaknya saudara Hamdi dijemput ke rumah Y.A.M. Tan Sri Dato` Seri
Anwar bagi menerima cek bagi Masjid Al-Umm. Hadir sama Penulis selaku
Pengerusi, Tuan Haji Mohd. Nor selaku Bendahari, Tuan Haji Suib selaku
Setiausaha, Tuan Haji Abdul Rahman dan saudara Adham AJK serta saudara Azizi
bahagian Dokumentasi. Menurut jadual kami akan solat Maghrib bersama. Kami
rombongan tiba jam 7.00 petang disambut Y.A.M. Tan Sri Dato` Seri bersama Puan
Seri Datin Seri dan anak-anak. Bersama hadir Dato` Syed Razlan saudara kepada
Tan Sri, Ustaz Farhan, Ustaz Fadhil dan Ustaz Ridhuan Imam & pegawai Masjid
Bukit Jelutong juga Ustaz Tengku Zaid Guru al-Qur`an.
Sebelum tiba Maghrib secara ringkas Y.A.M. Tan Sri Dato` Sri
Anwar menyerahkan cek sejumlah RM1.8 juta itu kepada Tuan Guru Dato` Dr. Haron
Din yang juga diserahkan kepada Tuan Haji Mohd. Nor disaksikan oleh Penulis dan
beberapa yang lain. Selepas penerimaan cek itu Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din
berdoa bersama bersyukur kepada Allah Ta`ala yang memudahkan segala urusan dan
secara rasmi Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din memngucapkan terima kasih di atas
usaha yang dilakukan oleh Y.A.M. Tan Sri Dato` Seri Anwar. Kemudian Penulis
atas nama Pengerusi menyerahkan surat
Terima Kasih kepada Y.A.M. Tan Sri beserta cenderahati sebuah buku. Surat
Terima Kasih dan cenderahati juga Penulis sampaikan kepada Tuan Guru Dato` Dr.
Haron Din.
Dengan penerimaan cek pada petang ini menurut Bendahari
jumlah dana yang dipungut ialah RM6.7 juta dan separuh daripadanya (RM3.32
juta) atas daya usaha dan kegigihan Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din. Tuan Guru
datang pada hari ini secara bercuti dari IJN setelah dua kali tertangguh untuk
datang. Menurut Tuan Guru akan kembali ke IJN. Kami akan berusaha lagi bagi
mendapat dana hingga berjumlah RM12 juta termasuk dari Kerajaan Negeri
Selangor. Penderma-penderma terus dialu-alukan untuk menderma kepada Tabung
Masjid Al-Umm.
Berikut dari acara penerimaan cek ialah solat Maghrib
berjamaah diimami Imam dari Masjid Bukit Jelutong dan doa oleh Tuan Guru. Dalam
keuzuran Tuan Guru memberi tazkirah antara Maghrib ke Isyak yang kemudian
beliau juga membaca doa selapas solat Isya` dikuti dengan jamuan makan malam.
Lebih kurang jam 10.00 malam kami memohon diri dan sekali
lagi Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din dan kami AJK mengucapkan terima kasih kepada
Y.A.M. Tan Sri Dato` Seri Anwar di atas usahanya menambahkan dana Masjid
Al-Umm. Terima kasih kepada keluarga Tan Sri dan semua yang hadir. Y.A.M. Tan
Sri menyatakan hasratnya untuk datang melawat dan melihat tapak masjid Al-Umm
bila berkelapangan – Insya Allah.
Terima kepada semua.
Sekian.
No comments:
Post a Comment