BBB, 11 Jamadil Awwal 1435 = 11 April 2014 (Jumaat):
Untuk Peraduan Menulis Anugerah Sastera Darul Iman (ASDI)
III bagi tempoh masa 1992-1994, maka pihak penganjur, iaitu Negeri Terengganu
dengan Sekretariatnya Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) dengan kerjasama
Gapena memilih bidang untuk peraduan kali ini ialah menghasilkan `Kumpulan
Puisi` perseorangan yang temanya bertemakan keislaman. Peraduan ini adalah
selepas dua kali peraduan di dalam bidang novel, maka untuk kali ketiga ini
diberi peluang bagi yang berbakat munulis bidang puisi. Sebagaimana bidang
novel diberi tempoh dua tahun untuk menghasilkannya, maka demikianlah dengan
bidang puisi. Penulis dikehendaki menghasilkan dalam lingkungan 40 buah puisi
yang relatifnya baharu.
Rahimidin dilahirkan di Peringat, Kota Bharu pada 28 Mac
1968. Menerima pendidikan di Kota Bharu dan Pulau Pinang (Mengikuti kursus
Penulisan Kreatif di USM). Menulis puisi, cerpen, esei, drama dan noval. Kemala
yang mengikuti perkembangan penyair ini semasa bekerja di DBP melihat potensi
penyair ini sejak awal yang bergerak bersama persatuan penulis dan mengikuti
kegiatan-kegiatan penulis di Kelantan dan menghasilkan penulisan, kumpulan dan
antologi permulaan bersama kawan-kawan penulis. Pernah memenangi Hadiah Pertama
Peraduan Menulis Sajak Remaja anjuran DBP pada tahun 1986, memenangi Hadiah
Penulis Muda terbaik dalam bidang cerpen anjuran Esso-Gapena VIII pada tahun
1991, memenangi dua Hadiah Puisi Kebangsaan Shahpadu-Gapena 1995 dan beberapa
hadiah yang lain. Puisinya juga termuat di dalam beberapa antologi, di samping
beberapa kumpulan puisi perseorangan seperti Lakaran Kampung (1987- Sajak),
Cempaka Putih (1994 – Cerpen) dan Pewaris (1995 – Noval). Kini Rahimidin berkhidmat
sebagai Pegawai di Istana Budaya, Kuala
Lumpur .
Sekepal Tanah adalah terpilih dari 67 kumpulan puisi yang
disertai penulis dari Indonesia ,
Singapura dan Malaysia .
Panel berpendapat Sekepal Tanah yang menerima Hadiah Utama bernilai RM15,000
ini, berjaya memasuki wilayah puisi Islam yang ideal dengan berkesan. Penyair
secara pasti menggali makna kewujudannya dengan akar ketauhidan. Suaranya suara
yang pasrah terhadap kebesaran Ilahi, menghargai alam, makhluk, faham kepada
aliran sirah Islami, menilai dan menghargai figura-figura Islam masa lalu dan
mutakhir. Dia merenungkan peristiwa yang signifikan dan mentafsirkannya.``
Seterusnya menurut panel:
``Penyajak Sekepal Tanah dapat mengangkat kata-kata biasa
menjadi ungkapan yang jitu dengan metafora yang segar dan mengesankan. Peka
kepada pengalamannya sejak kecil, dia menimba kasih sayang kekeluargaan dengan
`datuk` dan `nenek`, `ayah ibu` `isteri` dan `anak`. Nilai kasih sayang yang
dikecap itu dihayati dan mendekatkan dirinya sebagai insan muslim kepada ``Kebesaran
Allah dan kemuliaan RasulNya``. Panel berpuashati dengan mutu Sekepal Tanah.
(Sekepal Tanah, DBP, 1995: xxii)
Sebagai contoh dapat dihayati puisi pertama dalam Sekepal
Tanah yang merujuk kepada pengalaman Penyair di kampung yang bukan saja
bersifat nostalgic, tetapi mendalam dari dari segi metafora dan makna:
Kebun
Kembali ke kebun
Masa kecil,
Ingatkah kau
Rumah kampung
Almarhum neneka,
Tempat kaulahir
Dan dibesarkan
Di halamannya
Kembang mawar
Dan harum cempaka
Merpati putih
Berpasang-pasang
Di belakangnya
Kunyit dan halia
Lengkuas dan peria
Merimbun pagar.
Bukankah di kebun itulah
Ayahmu menabur huruf
Kemudian Alif pun tertanam kejap
Dalam dirimu.
(Sekepal Tanah, hlm. 1)
Ruang ini telah Sunyi
Ruang ini telah sunyi
Halaman yang kautinggalkan
Telah tumbuh rumput-rumput meliar
Daun-daun gugur bersepahan
Dan bunga-bunga yang kau sayang
Gugur di beranda
(Fragmen, hlm. 9).
Sebahagian dari puisi sekepal tanah mengambil tema ketuhanan.
Contoh:
Rabb, Di Anjung Masjid-Mu
Aku Luluh ke dalam Doa
Dalam kesebokan ini
Dalam kebohongan ini
Aku debu
Aku piatu.
Kutimang Rindu
Kauhunjam Kalbu.
Aku melompat
Aku mencakar
Rabb, di anjung masjid-Mu
Aku luluh ke dalam doa.
(hlm.22).
Manakala sebahagian bertemakan tokoh-tokoh Islam seperti
Al-Faruqi (11), Asiah (26), Muawiyah bin Yazid (32), Sumaiyah (33), Anis Alifah
(38), Adam (39). Tetapi banyak daripada puisi bersifat nostalgic menyusuri
zaman kecil Penyair di dalam kehidupan keluarga, khususnya dikampung termasuk
puisi `Sekepal Tanah` puisi terakhir dalam kumpulan puisi yang diangkat menjadi
judul kumpulan puisi:
Sekepal tanah
Kugenggam sekepal tanah
Yang bakal bersatu
Dengan diriku.
Nenda Ismail, benar
Seperti kata akhirmu:
Kita sentiasa dekat
Cuma terpisah
Oleh ruang yang lain.
Burung terbang
Pulang ke sarang
Nafas kembara
Pulang ke rongga
Kau pergi
Menuju abadi.
Aku di sisimu,
Menggenggam sekepal tanah
Yang bakal bersatu
Dengan diriku.
(hlm. 40).
Dengan peraduan-peraduan penulisan kreatif berunsur Islam
yang dianjur oleh kerajaan negeri Terengganu, maka dapatlah dikatakan dengan
penghasilan novel Fajar Di Hujung Malam oleh Hasan Ali dan kumpulan puisi
Sekepal Tanah oleh Rahimidin Zahari, walaupun tidaklah dapat dikatakan sebagai
karya agung, tetapi dapatlah dikatakan hasrat menghasilkan karya-karya kreatif
berunsur Islam sebagai mencapai matlamat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment