April 24, 2014

Hadiah Buku Teori Takmilah Untuk Koleksi Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam: Pendekatan Bagi Membina Peradaban Dan Tamadun Bagi Baldah Tayyibah

-->
Shah Alam, 22 Jamadil Awwal 1435 = 22 April 2014 (Selasa):

Sempena jemputan yang dibuat oleh pihak Perpustakaan terhadap Penulis  bagi menyertai himpunan `Jom Baca Bersama 10 Minit` pagi ini, maka pada minggu lepas bila pihak  Perpustakaan bertanya sama ada akan hadir atau tidak pihak Penulis memaklumkan akan hadir dan sempena kehadiran ini pihak Penulis berjanji pada hari himpunan Jom Membaca ini akan menghadiahkan buku-buku terbaru untuk menambahkan koleksi buku-buku di Perpustakaan. Sebenarnya menyerahkan buku-buku terutama yang dihasilkan oleh Penulis kepada perpustkaan adalah biasa, lantaran melalui perpustakaan buku kita dibaca serta diambil manfaat dan kekal tersimpan. Misalnya pada 24.5.2012 Penulis menghadiri Mesyuarat AJK Induk Pesta Buku Negeri Selangor sempena Hari Ilmu 2012 bertempat di Bilik Mesyuarat Tingkat 4, Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam jam 10.00 pagi, maka Penulis telah menghadiahkan buku Bangi Bandar Ilmu (4 naskhah) dan Madu Ilmu – Puisi (2 naskhah) kepada Puan Mastura Pengarah Perpustakaan.


Bertolak pagi ini dari Kajang Utama bersama saudara Azizi dan tiba jam 9.40 pagi. Sebaik masuk ke ruang kaunter perpustakaan Penulis bersua dengan Puan Mastura Pengarah Perpustakaan dan Puan Suziliana Timbalannya, maka sebagai menunaikan janji maka di situ juga Penulis menyerahkan 5 naskhah buku Puisi Puncak Rindu dan 5 naskhah buku Teori Takmilah, Perluasan & Penafsiran. Di samping itu Puan Mastura akan menyampaikan dua buku berkenaan (tambahan) kepada Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor sebagai cenderahati, sebuah buku Teori Takmilah berkulit mewah (jilid tebal) dan sebuah buku Puisi Puncak Rindu. Ketika cenderahati disampaikan oleh Puan Mastura termasuk 2 buku yang Penulis sertakan, exco-exco dan adun-adun yang duduk di baris hadapan bertanyakan Penulis, tidak adakah buku-buku berkenaan untuk mereka. Sebenarnya memang Penulis bawa extra dan dapat dibahagiakan 2 buku berkenaan kepada Y.B. Dr. Halimah Ali, Y.B. Puan Radziah Ismail, Y.B. Puan Nor Hanim dan Y.B. Ustaz Shafie Ngah.


Buku Puncak Rindu (2013) adalah kumpulan puisi dihasilkan dalam masa 20 tahun (1974-1994). Bagi Penulis ia adalah kumpulan terakhir (setakat ini) dan mungkin terbaik berbanding dengan dua kumpulan puisi Penulis yang lain iaitu Wajah Diri (1995) dan Madu Ilmu (1999).

Manakala buku Teori Takmilah, Perluasan & Penafsiran

Mempunyai significant yang tersendiri:

1)      Esei-Esei yang terkumpul di dalam buku ini (diselenggarakan oleh saudara Abdul Halim Ali) adalah ditulis oleh pelajar-pelajar Penulis  dari UKM, UM, UPM dan UPSI yang kini sedang berkhidmat di universiti-universiti berkenaan dan juga di Institut-Institut Pendidikan di Negara ini. Penulis berterima kasih kepada mereka di atas penghormatan yang diberi kepada Penulis.
2)      Dari tulisan-tulisan mereka berhubung dengan Teori Takmilah dan aplikasinya, Penulis teroja mengetahui bahawa begitu ramai sudah pelajar-pelajar yang menggunakan Teori Takmilah di dalam kajian mereka pada peringkat Ph. D, Sarjana dan Ijazah pertama. Mereka juga mengguna dan mengajar teori tersebut di dalam pengajaran mereka. Penulis sebenarnya dapat mempelajari dari mereka kaedah pendekatan dan pengolahan yang mereka gunakan.
3)      Sejak Penulis menerima Penobatan Tokoh Persuratan Dunia Nusantara Melayu Raya (NUMERA) 2013 pada 20 November 2013 di Dewan Bahasa dan Pustaka lantaran menghargai dan mengiktiraf sumbangan Penulis kepada Persuratan dengan Teori Takmilah, maka Penulis menganggap ia adalah satu kepercayaan dan amanah yang besar terhadap Penulis dan menuntut Penulis lebih meneliti dan mendalami Teori Takmilah agar lebih banyak sumbangan yang dapat dijana daripadanya dan lebih banyak dimanfaat oleh pengkaji-pengkaji yang mendalaminya.
4)      Wacana Teori & Kritikan Sastera Kedua 2014 yang diadakan di UPSI pada 27 Mac 2014 Anjuran Persatuan Penulis Budiman Malaysia (Budiman) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) dan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI di Kampus UPSI memberi peluang kepada Penulis membentangkan wawasan baru tentang Teori Takmilah, bahawa Teori Takmilah tidak saja dapat diaplikasi terhadap bidang sastera, tetapi boleh dijana dan diaplikasi kepada bidang-bidang seni yang lain, pada wacana itu Penulis menyebut boleh diaplikasi bagi seni kaligrafi, seni bina, seni lagu & muzik dan permuziuman.
5)      Dengan perluasan fungsi Teori Takmilah, maka jika sebelum ini Penulis memfokus Teori Takmilah kepada seni sastera sahaja, seolah-olah penulis hanya berdepan dengan sebuah tasik kecil di taman sastera, maka dengan perluasan ini Penulis berdepan dengan lautan yang luas dan dalam menuntut Penulis merentasi dan mendalami bagi mengeluarkan permata keilmuan dan mutiara keindahan yang berkait dengan bidang-bidang berkenaan.

Secara lebih lengkap, maka Teori Takmilah dapat diaplikasikan kepada bidang-bidang seni berikut, (tambahan dari apa yang dibentangkan di UPSI):


I)  Takmilah Sastera

Bidang sastera ini fokus utama dan terawal bagi Teori Takmilah. Kajian terhadap bidang ini diteruskan dan akan terus diperluaskan

II)  Takmilah Seni Al-Qur`an Dan Kandungan

Takmilah di sini dimaksudkan kepada diri pengkaji dan khalayak, bukan kepada Al-Qur`an yang sudah sempurna – Kalam Allah.
Bayangkan  betapa luasnya kajian ini yang menuntut kefahaman dari segi bahasa, sastera – cerita-cerita di dalam al-Qur`an dan ciri-ciri estetikanya,  tafsir, balaghah, tajwid, aqidah, fiqh, tasawuf, sirah dan sebagainya.

III)  Takmilah Dari Segi Khat (Kaligrafi)

Mempelajari dan memahami asal usul huruf Arab dan naskhah-naskhah yang diwarisi dalam peradaban Islam, kehadiran huruf-huruf berkenaan ke Alam Melayu yang dikenali sebagai huruf Jawi. berbagai bentuk khat dan kaedah menulisnya, ciri seni dan perbezaan antara berbagai bentuk. Kaedah menulis di atas berbagai-bagai objek dan peralatan tradisi dan moden serta kegunaannnya. Priority dari segi pemilihan ungkapan yang menimbulkan rasa halus, qudus dan fungsi khat-khat berkenaan.

IV)  Takmilah Bidang Seni Bina (Architecture)

Satu bidang yang luas dan menarik yang melibatkan seni bina masjid, bangunan pentadbiran, rumah kediaman, premis perniagaan dan lain-lain. Semua harus besesuaian dengan tempat dan iklim setempat. Contoh masjid di tengah kawasan kediaman. Bagaimanakah semuanya mampu dibina menurut perspektif keislaman ?

V) Takmilah Pada Landscaping Dan Seni Taman

Permukaan kawasan kediaman hendaklah dipilih menurut kesesuaian, misalnya di kawasan yang lebih tinggi, di kawasan hijau dan sunyi dari gangguan bunyi. Tidak di perlembahan atau tepi sungai untuk mengelak dari banjir dan tidak di cerun antara dua bukit untuk mengelak dari runtuhan tanah. Kediaman rumah haruslah berjauhan dari industri untuk mengelak dari kesan bunyi dan habuk. Jalan pula teratur dan tenteram. Terletak di kawasan hijau berbukit dan bertasik.
Bagaimanakah landscaping dan seni taman yang dapat membangunkan sebuah kawasan idaman yang harmoni yang selaras dengan kehendak Islam ?

VI)  Takmilah Perfileman

Maksud film di sini bukan saja yang ditayangkan dipawagam, tetapi termasuk lakunan yang dikenali dengan drama dan seumpamanya yang ditayang kepada khalayak sama ada melalui alat telekomunikasi seperti tv, radio dan alat-alat canggih yang baru yang banyak mempengaruhi masayarakat moden. Sebagai bidang yang berpengaruh ianya hendaklah diguna bagi mendidik khalayak masyarakat. Bidang ini adalah luas dan perlu kefahaman dan pendekatan yang bersifat pendidikan, antaranya melalui Teori Takmilah.

VII)  Takmilah Seni Suara Dan Muzik

Bidang yang agak kontroversi, tapi ia adalah sebahagian dari alam dan kehidupan. Dia dapat mengharmoni, bahkan merosakkan. Kalangan muda-mudi amat meminati bidang ini dan kita tidak boleh mengabaikannya. Apakah pendekatan terbaik bagi kedua bidang berkenaan ? Juga perlu ditangani melalui pendidikan. Kini banyak lagu-lagu yang bersifat keagamaan yang banyak mempengaruhi masyarakat. Perlu digalak dan diperluaskan.

VIII) Takmilah Seni Lukis, Grafik dan Animasi

Ia adalah gambaran dan salinan dari fenomena alam yang kita alami dan menjadi sebahagian dalam kehidupan berkomunikasi kita. Bidang ini begitu berpengaruh dan perlu didekati secara keislaman yang mampu mempengaruhi dan mendidik masyarakat. Perlu menanganinya sebaik mungkin dan selari dengan aspirasi keislaman.

IX)  Takmilah Seni Kraf Dan Anyaman/Tenunan

Ianya adalah merupakan hasil kegiatan budaya setempat dan murni. Bahan-bahan adalah dari tumbuhan dan keluaran setempat. Budaya setempat ini perlu dipertahan dan dikembangkan sebagai identity warisan dan daya tarikan pelancongan, juga sumber pendapatan.

X)  Takmilah Permuziuman Sebagai Aspek Seni dan Pembelajaran

Pusat koleksi budaya tampak dan nilai yang bersifat kepurbaan. Usaha mengembalikan yang rosak atau hilang kepada keaslian adalah satu seni. Muzium adalah merekonstruksi kembali kesilaman yang sebahagian sudah hilang kepada kekinian agar dapat dihayati masyarakat kini dan bermegah dengan kewujudan artifek-artifek dan warisan berharga sebagai identity masyarakat dan warga. Muzium adalah `Sekolah Pendidikan`  yang difahami dan dihayati secara langsung yang tidak semestinya melalui tulisan.


Demikianlah 10 bidang yang dapat dilihat dan diaplikasi dan dikaji dengan Teori Takmilah bagi mengolah dan meningkatkan bidang-bidang berkenaan secara ilmiah. Dengan pengutaraan bidang-bidang berkenaan ketara luas peranan takmilah dan lebih luas lagi bidang-bidang dikaji (10 bidang). Untuk mencapai tahap takmilah yang sempurna di dalam bidang-bidang berkenaan sudah tentulah diluar dari kemampuan tenaga dan pemikiran berseorangan. Ianya memerlukan institusi dan kelompok pengkaji yang melibatkan semua bidang berkenaan agar matlamat visi dan misi dapat dicapai secara maksimim.

Antara tujuan pendekatan Teori Takmilah di atas ialah menggunakan kaedah ilmiah dan teratur bagi memahami dan meningkatkan perspektif, kualiti dan penggunaan bidang-bidang berkenaan. Teori Takmilah tidak berdiri secara persendirian, bahkan melengkap dan menyempurnakan bidang-bidang yang diaplikasikan. Pada akhirnya ia adalah  berperanan menyumbangkan ke arah kualiti hidup masyarakat secara berperadaban dan bertamadun di dalam sebuah negeri atau Negara yang disifatkan sebagai Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur.

Sekian.

No comments:

Post a Comment