April 27, 2014

Puisi Islam Tidak Semesti Melambak Istilah Keislaman: Contoh Beberapa Puisi Latiff Mohidin

-->
BBB, 26 Jamadil Akhir 1435 = 26 April 2014 (Sabtu):

Kita telah membicarakan tokoh-tokoh yang menerima anugerah penulisan yang bercirikan Islam dan beberapa tokoh yang menghasilkan kumpulan puisi yang kuat dengan ciri keislaman, tetapi penulisan yang bercirikan Islam tidak semestinya dari pemenang atau tokoh yang identik dengan Islam atau yang melonggakkan ke dalam karya dengan istilah-istilah keislaman, sedangkan mutunya tidak sampai sebagai sebuah puisi bercirikan Islam. Sebaliknya dengan pengluahan rasa dan keluhuran jiwa yang menyentuh rasa kemanusiaan yang tinggi, bahkan menyentuh jiwa tentang kebesaran Pencipta, tanpa menyebut kalimah Allah dan istilah keislaman mampu membawa tema-tema keislaman yang bernilai. Ianya tidak semestinya diluahkan oleh mereka yang dikenali tinggi dengan pembawaan keislaman sahaja.


Mari kita baca puisi ini:

Gerimis Tumbuh

Pada dinihari
Gerimis tumbuh
Dari langit ke bawah
Menjunjung benih basah
.
Esok hari
Bunga-bunga hujan
Akan membiak di sana
Akarnya melata melengkar
Ke pintu ke ruang jendela
Menggelapkan pandangan.

Di saat itu
Mengertilah kami
Gerimis tumbuh
Dari langat ke bawah
Menjunjung perintahMu.
(Latiff Mohidin, Pesisir Waktu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981: 3).

Membaca puisi di atas tidakkah terasa keindahannya ? Memang puisi di atas begitu indah. Penyairnya menggambarkan suasana di waktu dinihari secara metaphor. Penggunaan kata `gerimis tumbuh` adalah lebih indah dari menggunakan istilah `hujan turun` yang merupakan kata biasa yang mungkin ungkapan yang sudah klisye. Penyair mengungkapkan maksud turun kepada `dari langit ke bawah` dan bagi hujan diungkapkan secara metaphor `menjunjung benih basah` yang memaksudkan bukan setakat maksud hujan, tetapi membawa maksud lebih jauh daripada itu yang bererti `sumber kehidupan, atau `rahmat` bukan saja bagi manusia, tetapi bagi hewan dan memaksudkan menumbuhkan benih-benih pokok dan pohon. Begitu indah disebutkan `menjunjung benih basah. Adalah sesuatu di luar jangkaan, bila pengarang begitu kreatif mengungkapkan ungkapan yang lebih luas dapat ditafsirkan dari ungkapan yang konotatif di bawah:

`dan meletakkannya
Di tengah-tengah halaman rumah kami.`

Para dua menggambarkan tentang rahmat dari Pencipta dengan menurunkan hujan menyuburkan tanaman dan hidupan

Para akhir penyair menggambarkan dengan `gerimis tumbuh` adalah mencerminkan kekuasaan Allah.

Di saat itu
Mengertilah kami
Gerimis tumbuh
Dari langit ke bawah
Menjunjung perintahMu.

Puisi ini walaupun tidak menyebut secara langsung tentang kekuasaan Allah, sebenarya membawa mesej yang kukuh tentang kekuasaan dan keagungan Allah dan rahmat yang diterima daripadaNya.

Latiff Mohidin adalah penyair/pelukis terkenal tanahair. Berkelahiran di Seremban, anak bekas Syeikh Haji, berkelulusan School Certificate di Sekolah King George Seremban. Menyambung pelajaran di University of Fine Arts di German (1960). Banyak mengermbara sambil menghasilkan karya dan pameran lukisan. Antara kumpulan puisinya Sungai Mekong (1972), Kembara Malam (1974), Wayang Pak Dalang (1977), Pesisir Waktu (1981 ), Sajak-Sajak Dinihari (1983), Rawa-Rawa (1992) dan lain-lain. Memenangi berkali-kali Hadiah Puisi Malaysia, iaitu pada tahun 1971, 1972, 1973, 1974, 1975 dan 1976. Pemenang Anugerah Puisi Putra I (1980) dengan kumpulan puisinya Pesisir Waktu.
(Wajah Biografi Seratus Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981: 14-17).

Puisinya yang bernilai Keislaman yang juga tidak sangat membawa istilah-istilah keislaman ialah berjudul:

Kaabah Kuyup

Hening pun datang
Meniupkan
Cahaya cakerawala
Ke telingamu
Lalu ke matamu.
….
Saksikanlah kini
Kau yang berada di Baitul
Bagaimana doa para arwah
Tumpah dengan lebatnya
Ke bumi        ke bumi.

Padang Arafah memutih
Kaabah kuyup
Di bawah hamparan salji
7 Mac, 94.
(Latiff Mohidin, Sajak-Sajak Dinihari, Ma`ruf Publisher & Distributors Sdn. Bhd., Kajang Selangor, 1983: 42).
Puisi di atas menggambarkan suasana di Arafah pada musim haji.


Dan puisi di bawah yang merakamkan kematian seorang penyair:

Waktu Telah Memanggil Kau Pulang
(Buat Seorang Penyair)

Waktu telah memanggil kau pulang
Dan anginpun menggoncangkan tingkap

Kolam gementar di belakang rumah
Seekor anak ikan tiba-tiba menggelepar

Di langit awan berenang perlahan
Meninggalkan lautan rembang

Dan kaupun meletakkan penamu
Berjalan keluar ke padang luas
….
(Latiff Mohidin, Rawa-Rawa, Pustaka Cipta Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 1992: 3).

Jelas memperlihatkan bahawa Latiff Mohidin, bukanlah penyair yang dikaitkan puisi-puisinya dengan tema keislaman, walau bagaimana terdapat beberapa buah puisinya, antaranya sebagaimana petikan-petikan di atas memperlihatkan keindahan dan kekuatan dengan tema-tema keislaman. Kekuatan tema keislaman bukan sangat bergantung pada penggunaan istilah-istilah keislaman yang banyak, tapak kerena tema dan sudut pandangan dan pengucapan yang halus, mengharukan dan membangkitkan rasa tentang keagungan Pencipta.

Sekian.

2 comments:

  1. Salam. Saya mahu beli buku2 pak Latiff, tuan mahu jual?

    ReplyDelete
  2. Salam. Saya mahu beli buku2 pak Latiff, tuan mahu jual?

    ReplyDelete