April 4, 2014

Peraduan Menulis Galak Hasil Karya Kreatif Berunsur Islam

-->
BBB, 03 Jamadil Awwal 1435 = 03 April 2014 (Khamis):

Berikutan dari kerancakan membicarakan konsep Sastera Islam pada tahun 1970an dan berterusan hingga 1990an, maka suatu yang menggembirakan, ialah terhasilnya karya-karya kreatif berunsur Islam. Penghasilan ini melalui beberapa cara.


Cara formal iaitu melalui keterlibatan kerajaan negeri dan jabatan kerajaan menganjurkan peraduan-peraduan menulis karya kreatif.
Cara lain ialah melalui inisiatif penulis-penulis menghasilkan karya-karya kreatif dan diterbitkan oleh agensi-agensi kerajaan atau atas daya usaha penulis menerbitkannya secara bersendirian.
Cara seterusnya ialah melalui penghantaran kepada penerbitan seperti di dalam majalah-majalah dan akhbar-akhbar.

Sejak tahun 1970 berbagai-bagai galakan peraduan menulis dianjurkan. Misalnya DBP bagi pihak Kerajaan Malaysia sejak 1971 menilaikan secara tahunan dan kemudian dwi-tahunan terhadap hasil-hasil penulisan kreatif sama ada sajak, cerpen, novel dan drama dengan memberi hadiah galakan. Penilaian berterusan sehingga ke tahun 2000. Hadiah berkenaan dinamakan Hadiah Sastera Malaysia. Berikut darinya sejak 1980an pihak Esso-Gapena juga menganjurkan penilaian terhadap peraduan dan jenis karya yang dipertandingkan, turut memberi hadiah terhadap karya kreatif ialah Utusan Melayu dengan kerjasama Public Bank sejak 1986-91 yang melibatkan bidang cerpen, sajak dan novel remaja.


Apa yang menarik bahawa sejak pertengahan 1970an pihak Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Islam mengambil inisiatif bagi memajukan sastera Islam. Peraduan secara penilaian terhadap skrip/teks yang dihantarkan ini adalah khusus dalam bidang cerpen. Tujuan peraduan diadakan dapat difahami dari kata pengantar salah satu antologi yang diterbitkan. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perdana Meneteri, Bahagian Hal Ehwal Islam pada masa itu (Mohd. Yunus bin Lahadi):

``Usaha pembukuan seperti yang dilakukan amatlah perlu kerana dengan cara ini kita akan dapat memberikan penerangan terhadap beberapa aspek penulisan Sastera Islam kepada para sasterawan yang berminat untuk membicarakannya seterusnya menyampaikan mesej `Al-amr bil ma`ruf wal-nahyi `anil munkar, kepada masyarakat kita. Justeru itu dengan adanya usaha-usaha yang seperti ini saya berharap ia akan dapat membantu kita menambahkan lagi kefahaman tentang sudut sastera yang berdasarkan kepada ajaran Islam sesuai dengan dasar penerapan nilai-nilai Islam yang sedang dilaksanakan sekarang.``
(Kata Pengantar, Pulangnya Pemuja Ombak, Antologi Pemenang Peraduan Mengarang Cerpen Berunsur Islam  (1984), Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Islam, Kuala Lumpur, 1985, ii.)

Sebuah panel penilai dilantik. Penulis sendiri terlibat menjadi panel penilai bagi penilaian sejak 15 September 1982 sehingga 1986. Penilaian dibuat terhadap Peraduan Cerpen bagi kali ke V, VI dan ke VII. Antara antologi cerpen yang dihasilkan yang Penulis terlibat menjadi panel bersama antaranya Dr. Ismail Ibrahim dan Kamaluddin M. Zain ialah:
Sebuah Lampu Antik (1983), Pulangnya Pemuja Ombak (1985) dan Persinggahan (1986).  
Bagaimana dengan cerpen berunsur Islam dapat difahami dari penilaian panel Hakim Peraduan Cerpen Berunsur Islam Kali Ke 5:

``Kerja pengadil menjadi bertambah berat dan sulit lagi … bila menyebut cerpen berunsur Islam, maka berlumba-lumbalah para cerpenis mengemukakan khutbah-khutbah tentang dosa pahala, haram halal dan berbagai-bagai fatwa agama yang kebanyakannya bertentangan dengan fatwa-fatwa para mufti dan para ulama Islam sendiri.``
Tambah panel ada penulis memahami Islam secara sempit tentang soal ibadat secara terhad dan soal hidup mati sahaja. Kata panel:
``Skop cerpen Islam sebenarnya amat luas seluas kewujudan itu sendiri yang dengan sendirinya merangkumi persoalan fizika dan metafizika, lahiriah dan rohaniah, ketuhanan dan keadilan.`

(Panel Penilai, dlm. Sebuah Lampu Antik, Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Islam, Kuala Lumpur, 1983: I – iii).

Dari aspek tema, ``Penal penilai berpegang dengan bersungguh-sungguh kepada prinsip bahawa tema Islam dalam cerpen haruslah disampaikan dalam bentuk yang sopan dan bersandarkan kepada nilai-nilai moral Islam yang unggul. Islam itu adalah indah, maka cerpen berunsur Islam  juga seharusnya tegak atas nilai-nilai estetika Islam dan dasar keindahan yang sesuai dengan Islam. Gambaran-gambaran buruk yang tidak sesuai dengan Islam atau gambaran-gambaran mungkar dan yang bertentangan dengan Islam seharusnya dibataskan dalam batasan yang paling minimum dan diperlihatkan semata-mata untuk membantu penulis dalam menyampaikan mesejnya.``
(Laporan Penal Penilai, Pulangnya Pemuja Ombak, Antologi Pemenang Peraduan Mengarang Cerpen Berunsur Islam, Jabatan Perdana Menteri 1984, Kuala Lumpur, 1985: V).


Selain dari skop persoalan dan tema, tentulah banyak lagi keperluan penilaian bagi cerpen, Misalnya dari segi plot, mesej, bahasa, estetika, sudut pandangan, teknik, intro, ending, konflik, flashback (sorotan kembali), suspend, peleraian, watak dan perwatakan dan sebagainya.

Peraduan cerpen anjuran Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Islam (kini JAKIM) mendapat sambutan yang baik dari kalangan penulis. Antaranya disertai cerpenis-cerpenis terkenal tanahair yang memenangi hadiah seperti Harun Haji Salleh, Ismail Restu, Hj. Ali bin Ahmad, Wan Hamzah Awang, Nurhisham Mustafa, Wardziah bt. Abdul Rahman, Zurinah Hassan, Kamaruzzaman Osman, Sujaidi Dasuki dan ramai lagi. Mereka memilih berbagai-bagai tema sebagai contoh pemenang Hadiah Pertama daripada 142 cerpen diadili bagi peraduan kali ke V (1983) berjudul `Sebuah Lampu Antik` oleh Harun Haji Salleh yang dijadikan judul bagi buku ini menggambarkan kekeciwaan seorang watak yang telah bertaubat dari sifat keji sebelumnya– Mat Kana, dan berjinak dengan surau, tetapi apabila berlaku kehilangan Lampu Antik disurau, tiada yang lain dituduh, tentulah Mat Kana, kerana ia bekas pesalah. Alangkah luka hati Mat Kana kerana dituduh sebagai pencuri dan terpaksa meninggalkan Kampung Tempurung yang diharap dia dapat hidup tenteram di situ. Tetapi ternyata kemudian yang mencuri adalah anak Pak Karim yang selama ini menuduh bahawa `Mat Kana` adalah pencuri. Kekusutan dapat dikembalikan bila yang benar-benar salah menerima hukuman. Moralnya janganlah membuat tuduhan kepada seseorang tanpa usul periksa dan orang yang bersalah boleh kembali insaf dengan bertaubat dan menjadi baik.

Sebuah lagi contoh cerpen Pulangnya Pemuja Ombak oleh Zurinah Hassan yang memenangi Hadiah Pertama bagi peraduan (1984). Mengambil tema pergaulan bebas. Kamal seorang seniman terkenal. Dia mengahwini perempuan sosial, tapi dari kebebasan dia meragui tentang ketulinan anaknya bersama isterinya yang diketahuinya begitu bebas hatta setelah berkahwin dengannya hingga membawa kepada keretakan rumah tangga dan berlaku perceraian. Dia mendapat kebahagian selepas berkahwin dengan sepupunya dikampung. Tidak ada keraguan tentang kesahihan anak dengan isteri barunya dan dia bahagia dalam kehidupannya bersama keluarga. Moralnya pergaulan bebas tanpa batas boleh memudaratkan. Perlu memilih pasangan bersih bila berkahwin bagi menjamin kebersihan keturunan. Pemilih juga seharusnya juga bersih.

Kedua-dua pemenang membawa tema kemasyarakatan, tetapi dipersembahkan dengan menarik, ada konflik dan ketegangan yang dialami watak-watak, tetapi dapat diselesaikan dengan peleraian yang menarik menurut batas-batas yang di tuntut Islam.
Sesungguhnya cerpen berunsur Islam seperti di atas dapat menyampaikan mesej yang menarik, kaya dengan pengajaran dan menginsafkan pembaca.

Sekian.

No comments:

Post a Comment