April 13, 2014

Sambutan Hijrah Al-Rasul Lebih Bererti: Peraduan Penulisan Dan Anugerah Sebagaimana Dianjurkan Oleh Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri (JAKIM)

-->
BBB, 12 Jamadil Akhir 1435 = 12 April 2014 (Sabtu):

Setiap tahun kita menyambut hari-hari kebesaran seperti Hijrah al-Rasul, Hari Kemerdekaan dan hari-hari perayaan. Kebiasaan hari-hari kebesaran ini disambut secara pesta-pestaan dan biasanya tiap sambutan merupakan perulangan acara yang dilakukan yang tidak jauh perbezaannya antara tahun ke tahun. Tiap sambutan memerlukan peruntukan sama ada kecil atau besar yang bersama upacara sambutan peruntukan itu habis begitu sahaja.

Merujuk kepada peraduan menulis karya kreatif berunsur Islam yang dianjurkan sama ada oleh Jabatan Perdana Menteri Bahagian Agama Islam, Kerajaan Negeri Terengganu, Ngo seperti Bahagian Pendidikan Islam sebagaimana yang telah diperkatakan adalah merupakan usaha yang baik dan patut dipuji. Dengan peraduan-peraduan sedemikian menggalakkan penghasilan karya-karya kreatif, mengembangkan daya kreativiti yang ada pada penulis-penulis berbakat, memperbanyakkan bahan-bahan bacaan yang bersifat kreatif, meningkatkan bahasa dan sastera melalui bahasa yang digunakan dan meperluaskan bidang dakwah dan pendidikan.


Daripada siri peraduan menulis karya-karya kreatif yang berunsur Islam yang begitu subur berkembang mulai dari dekad 1970an sehingga 2000, maka kita melihat antara peraduan yang begitu menarik dan bermanfaat ialah menganjurkan peraduan Menulis yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Islam sempena menyambut abad ke 15 Hijrah (1401/1981). Sambutan ini penting dari sejarah Perutusan Rasulullah s.a.w. membawa Islam ke Alam ini. Dalam tempoh tersebut dapat disorot kembali tentang perjalanan dan kejayaan umat Islam dan memperbaiki lagi kedudukan umat Islam pada masa hadapan. Kita mengucap tahniah di atas kepekaan Jabatan Perdana Menteri Bahagian Islam pada masa itu yang mengambil inisiatif menyambut ketibaan abad ke 15H. dengan kegiatan-kegiatan berfaedah. Antara kegiatan yang dilakukan ialah menganjur peraduan menulis bidang kreatif, iaitu novel dan puisi. Di samping itu turut dipertandingkan penulisan di dalam bidang keilmuan (Bidang ini tidak dipastikan dari segi penerbitan hasil dari peraduan).

Kita berpendapat sambutan-sambutan tahunan Hijrah al-Rasul yang biasa diadakan seperti mengadakan perarakan di samping ceramah, forum, barzanji dan kini fenomena baru dengan mengadakan Salawat Al-Rasul secara perhimpunan, di samping meneruskan cara sedia ada, wajar difikirkan bagi mempelbagaikan kegiatan. Antaranya yang bersifat ilmu dan kreatif. Bermaksud sempena sambutan Hijrah al-Rasul diadakan peraduan menulis penulisan kreatif bertemakan keislaman secara terbuka bagi setiap dwi-tahunan dalam bidang novel, cerpen dan sajak. Karya-karya yang bermutu tidak saja diberi hadiah, tetapi juga dideklamasi, dipentas, bahkan didrama dan difilemkan. Tugas ini wajar diteruskan oleh pihak JAKIM yang sebelum ini pernah mengendalikannya. Dengan cara ini dapat membanyakkan bahan-bahan bacaan secara kreatif yang berunsur Islam.

Di samping memberi penghormatan kepada tokoh-tokoh Hijrah al-Rasul – seharusnya benar-benar tokoh yang dipilih dan benar-benar berwibawa, jika tidak ada yang layak jangan diberi. Selain dari itu perlu diberi galakan kepada penghasilan bidang-bidang ilmu lebih-lebih lagi yang bersifat benar-benar ilmiah. Penggalakan menghasilkan bidang ilmu ialah dengan beberapa cara:


Antaranya ialah dengan mengadakan peraduan menulis bidang-bidang keilmuan Islam dan dianjurkan secara dwi-tahunan yang penyampaian hadiah digilirkan dengan bidang penulisan kreatif. Ini bererti penghargaan dilakukan setiap tahun secara bergilir-gilir.
Satu cara lagi ialah pihak pemberi anugerah menilai secara dwi-tahunan buku-buku ilmiah yang berkait dengan Islam yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh Islam tempatan seperti yang dihasikan oleh tokoh-tokoh akademik di dalam bidang keislaman atau oleh penulis yang menghasilkan buku secara bermutu dan mana-mana yang dinilai oleh panel dan didapati berkelayakan, maka diberi anugerah. Bahan yang terpilih dan menerima anugerah diberi penghormatan dengan menerbitkan secara penerbitan bermutu. Satu cara lagi ialah dengan mengadakan seminar baik tentang Rasulullah, sahabat, tabi`in, kalangan ulama` dan ilmuan terpilih pada peringkat ummah dan tempatan. Mereka yang dipilih menyampaikan kertas kerja dalam seminar dipastikan bermutu dan dari hasil kertas kerja ini diterbitkan di dalam bentuk buku yang bermutu. Dengan demikian dapat memperbanyakkan buku-buku ilmiah di dalam bidang Islam. Bagi mengendalikan tugas di atas wajar dikendalikan oleh sekretariat khas seperti di bawah JAKIM agar perjalanannya licin dan berterusan.

Dengan adanya galakan kepada penulis-penulis berkelayakan menghasilkan buku dengan berbagai cara di atas dapat memupukkan budaya ilmu dan dengan demikian dapat diperbanyakkan bahan-bahan bacaan di dalam berbagai bidang keislaman.

Sekian.

No comments:

Post a Comment