April 26, 2014

Tazkirah TG Dato` Dr. Haron Din Di Rumah Y.A.M. Tan Sri Dato` Seri Anwar Bin Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail

-->
Petaling Jaya, 24 Jamadil Akhir 1435 = 24 April 2014 (Khamis):

Selepas solat Maghrib sempena kunjungan TG Dato` Dr. Haron Din dan keluarga dan AJK Pembinaan Masjid Al-Umm dan tamu-tamu ke rumah Y.A.M, Tan Sri Dato` Seri Anwar Bin Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail kerana menerima sumbangan dana bagi Tabung Masjid al-Umm, TG menyampaikan tazkirah antara Maghrib hingga masuknya waktu solat Isya`.


Di dalam tazkirahnya TG menyentuh tiga perkara yang diharap mendapat perhatian pihak berkenaan dan bertanggungjawab.

1)      Zakat

Menurut TG zakat adalah berkewajipan bagi mereka yang cukup syarat mengeluarkannya. Antara ayat Al-Qur`an bermaksud::

``Ambillah daripada harta mereka itu sadaqah (zakat) yang membersihkan mereka itu dan menyucikan mereka itu dengannya`` (Al-Taubah: 103)  dan Hadith Nabi bermaksud:
``Diambil dari kalangan yang kaya daripada mereka dan dikembalikan kepada kalangan orang faqir daripada mereka itu.``
Atas kesedaran umat, al-hamdulillah ramai yang telah mengeluarkan zakat, walaupun tidak menyeluruh, tetapi setengah negeri seperti negeri Selangor dapat memungut zakat lebih dari tiga ratus juta setahun. Kalau dicampur dengan berbagai negeri pendapatan melebihi RM1 bilion. Memanglah zakat perlu diagih kepada asnaf yang berkelayakan. Persoalannya apakah mesti diagih tunai dan semestinya dihabiskan pendapatan zakat dalam setahun itu juga.

TG berpendapat pemberian zakat tidak semestinya diberi tunai. Tapi ibarat menolong seseorang untuk berdikari, lebih baik diberi kail bagi seseorang dari terus memberi ikan kepadanya. TG berpendapat tidak semestinya zakat yang di dapati dihabiskan dalam jangka pendek. Sebaliknya dengan perancangan teratur, boleh diadakan pusat-pusat latihan yang bersesuaian dan memilih orang susah dilatih untuk berdikari. Mengadakan pusat-pusat pengajian tinggi seperti kolej dan universiti yang mengambil pelajar-pelajar miskin dan diberi pengajian secara percuma, sehingga mereka keluar berdikari dan boleh meningkatkan kehidupan dan ekonomi keluarga. Pihak yang mengendalikan Zakat wajar mencontohi Tabung Haji yang dapat meningkatkan ekonomi ummah. Pengagihan zakat secara professional lebih memberi kesan positif bagi mengangkatkan taraf ekonomi masyarakat Islam yang miskin.

2. Wakaf

TG mengingatkan banyak harta wakaf orang-orang Islam yang terabai dan tidak terurus, di samping ada yang terus berwakaf. Sewajarnya harta wakaf ini diurus oleh badan ekonomi yang professional yang dapat meningkatkan ekonomi dan kedudukan umat. Tanah-tanah yang berkedudukan strategic di bandar-bandar perlu dibangunkan dan tidak dibiarkan terbengkalai. TG menyebut contoh Universiti al-Azhar yang berdikari dengan harta wakaf dan menyediakan pelajaran percuma kepada pelajar-pelajar miskin yang datang dari seluruh dunia yang jumlah mereka sampai 60.000 orang. Dengan kekukuhan ekonomi dan harta wakaf Al-Azhar sehingga pihak Kerajaan berhutang dari harta wakaf Al-Azhar. Institusi wakaf mampu menjadi seperti Tabung Haji yang dapat membangunkan ekonomi umat.

3. Harta Yang Tiada Pewaris

Ada kalangan mereka yang kaya raya, tetapi tidak ada pewaris dan harta yang ditinggalkan tidak dituntut, misalnya di dalam bank yang di simpan. Menurut TG perlu ada badan yang memberi perhatian terhadap harta sedemikian dan dapat menjanakannya bagi kepentingan ekonomi dan masyarakat umat. TG menyebut sewaktu Darul Shifa` mau dirikan pusat pengajian, tidak ada sumber kewangan. Beliau dimaklumkan seorang hartawan yang hidup secara sederhana mempunyai harta beratus juta di dalam bank, dan tiada waris. Individu berkenaan dikenali dengan Mohd. Dawal berketurunan Pakistan. TG bersama pengiring beberapa kali menemui orang kaya yang tidak bewaris ini untuk mendapat bantuan bagi mendirikan bangunan Darul Shifa. Pihak bertanggungjawab perlu mengenal pasti mereka yang sedemikian atau membuka ruang kepada mereka untuk mengamanahkan kewangan mereka di dalam badan yang diwujudkan, maka dengan demikain harta yang tidak dituntut ini tidak terabai dan dapat dimanfaatkan.

Sesungguhnya harta-harta sama ada dari zakat, wakaf dan harta tidak ada pewaris jika ditadbir dengan baik dan berwawasan dapat meningkatkan ekonomi umat dan ianya merupakan pelaburan di dunia dan juga di akhirat: \\

Firman Allah bermaksud:

Umpama mereka yang menafkahkan harta mereka itu pada jalan Allah seperti menanam sebiji benih menumbuhkan tujuh tangkai yang setiap tangkai mempunyai 100 biji. Allah menggandakannya  bagi siapa yang dia kehendak. Dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui (Al-Baqarah: 261)

Sekian.

No comments:

Post a Comment