BBB, 13 Jamadil Awwal 1435 = 13 April 2014 (Ahad):
Salah satu bidang penulisan kreatif yang diadakan peraduan
yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri sempena
menyambut Abad 15 Hijrah ialah penulisan buku (kumpulan) puisi perseorangan.
Bidang ini mendapat sambutan yang hangat dalam mana pihak penganjur menerima
sejumlah 75 kumpulan puisi. Tetapi menurut panel penilai (Penulis tidak
terlibat) dari jumlah puisi yang dinilai tersebut, tidak ada yang layak
menerima Hadiah Pertama dan tidak ada juga yang layak menerima Hadiah Kedua.
Panel bersetuju mengakui memberi Hadiah Ketiga kepada kumpulan Puisi Di Malam
Gelita ini, manakala Hadiah Saguhati diberi kepada kumpulan Tafakur dan Jika Malam Al-Qadr Akan Kuriba.
Kumpulan Puisi Di Malam Gulita Ini telah diterbitkan oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka (1982). Penulis Suhaimi Haji Muhammad (meninggal 4 Januari 2014)
disifatkan sebagai seorang yang cukup rajin menulis sejak 1950an dan berterusan
hingga ke akhir hayatnya. Beliau menulis cerpen, drama dan esei, tetapi tumpuan
utamanya ialah puisi. Kerjaya Suhaimi ialah guru berkelulusan SITC dan Senior
Cambridge. Mengajar di beberapa Sekolah di Perak dan mulai 1975 berkhidmat
dengan Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi anggota redaksi Majalah Dewan Sastera
dan Dewan Bahasa yang kemudian dipindahkan ke Cawangan Kajian, Bahagian
Pembinaan dan pengembangan Sastera seterusnya dilantik ke jawatan Pembantu
Penyelidik Kanan (Wajah, 1981: 383-384).
Suhaimi menghasilkan lebih dari 10 buah kumpulan puisi.
Antaranya Tulang (Syarikat S.S, 1986), Alam Anggur (DBP, 1988), Nyanyian Undan (DBP, 1991), Wujud (Tempo Publishing, 1997), As-Salam (DBP, 2006), Asyik (DBP, 2006), dan Bunga-Bunga
Suci (DBP, 2010). Dalam perjalanan panjang Suhaimi di dalam penulisan beliau
melalui dan menemui berbagai aliran penulisan, tetapi tidak ketara beliau
terpengaruh dengan sebarang aliran. Suhaimi pernah terlibat dengan polimik
`Sajak Kabur` sekitar 1959. Beliau menentang aliran ini. Ia adalah selari
dengan sajak-sajaknya yang lebih mesra dengan penggunaan bahasa biasa yang kadang-kadang
dianggap sebagai prosaic. Beliau juga menyarankan (1971) agar seorang penulis
seorang yang kaya. Saranan beliau mendapat tentangan kalangan penulis yang
menyebabkan beliau terpaksa menjelaskan, maksud kaya ialah kaya rohani dan
bahan sebagaimana kaya dan rajinnya beliau menulis.
Suhaimi pernah memenangi Hadiah Karya Sastera – Puisi ``Bumi
Hijau`` (1971) dan Pemenang S.E.A. Write Award (1995). Menuju kematangan dan sesuai
dengan usia makin lanjut Suhaimi cenderung menulis puisi-puisi rohani sebagaimana
terbukti di dalam kumpulan puisi beliau Wujud
(1997), Bunga-Bunga Suci (2010), lihat (Mana Sikana, Puisi Mistik Dan
Kerohanian Bunga-Bunga Suci Karya Suhaimi Haji Muhammad Pandangan Takmilah, dlm
Teori Takmilah Perluasan & Penafsiran, Selenggaraan Abdul Halim Ali,
Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Tanjung Malim, 2014: 110-130).
Elemen-elemen ini juga kedapatan di dalam - Di Malam Gelita Ini.
Di Malam Gelita Ini terdiri dari 31 buah puisi yang keseluruhannya
disifatkan oleh panel sebagai bercirikan keislaman.
Cara Suhaimi membicarakan sesuatu tema agak aneh. Beliau
mengambil dan menampilkan sesuatu yang di luar jangka dari kebiasaan. Kita
ambil puisi pertama di dalam Kumpulan Di Malam Gelita Ini yang berjudul:
Doa
Pada usia menjelang tua ini
Telah kulihat ular menjalari langit
Api menyala mengepung ruang
Seorang tua dengan tergesa
Mendukung cucunya dari ular dan api
Berkuasakah seorang tua
Menjadi penyelamat ?
Imej dan metafora yang dipilih agak jauh dan di luar dari
perbandingan biasa. Doa yang diminta agar dia menjadi sempurna agar dapat
mengusir ular (hlm. 1). Namun tidak dinafikan elemem dan mesej keislamannya. Puisi
Di Malam Gelita yang menjadi judul bagi kumpulan puisi – agak menyimpang dari
imej malam dalam Islam, iaitu suatu suasana biasanya hening dan tenang untuk ibadat,
bermunajat, tahajud dan doa. Tetapi imej malam bagi Suhaimi nampaknya kontras,
iaitu suasana yang gelita dan menakutkan, kontras pula dengan apa yang dilihat
pada malam, iaitu sinar dari gelita Alam (hlm. 6). Begitulah kontras dan
berlainan apa yang dilihat oleh Suhaimi. Mungkin bagi memfokuskan tentang
cahaya yang dimaksudkan dengan hidayah:
Di urat-urat saraf awan malam ini
Kuperoleh atma kilauan dari cahaya
Kuperoleh rahsia dari hidupan abadi
Kulihat sinar dari
Gelita alam.
(hlm. 6).
Selain dari keanihan pemilihan imej , contoh `urat-urat
saraf awan`, penggunaan `atma` yang merujuk kepada pengaruh `Hindu`, mungkin
lebih sesuai dipilih istilah keislaman seperti rohani, kudus, jiwa dan
seumpamanya. Daripada sekian banyak puisi yang umumnya menampilkan imej-imej
yang anih, agak sukar untuk memilih puisi yang menampilkan persoalan dengan
lebih jelas. Tetapi beberapa antaranya menarik, seperti:
Sebagai Khalifah
Mawar bertambah indah
Jika tanganmu menyentuhnya;
Madu bertambah nikmat
Andai madahmu mendendangnya;
Mutiara bertambah seri
Oleh seri wajahmu;
Fajar yang indah itu
Berasal dari seri kalbumu;
Yang dipancarkannya
Ialah pancaran atmamu.
(hlm. 12).
Terasa ada keindahan dari ungkapan di atas lantaran imej
dipilih ada kewajaran dan persoalan
berhubungan.
Dan puisi terakhir dalam kumpulan Di Malam Gelita Ini,
Makam Muhammad
Aku masih mencium
Harum baunya.
Fatimah
Apa yang kau bisik
Dari kalbu hayatmu
Sungguh benar.
Memang
Hingga kini
Belum ada kembang
Di jantung maya ini
Yang dapat menandingi
Haruman bau makam Muhammad.
Dari timur ke barat
Aku masih mencium
Harum baunya.
Aku tidak mau mencium
Haruman bau yang lain.
(hlm. 31).
Pada Penulis dua buah puisi di atas adalah normal dan tidak
menyimpang jauh dari segi penampilan imej-imej. Dapat dirasakan keindahan dan
ketara dari ciri keislaman.
Walau apa pun itulah gaya
dan cara pengucapan puisi yang menjadi identiti bagi Suhaimi Muhammad. Suhaimi
membawa gayanya tersendiri dan dengan keanihannya sukar bagi orang lain
mengikutinya. Beliau boleh dikatakan tiada pengikut. Namun itulah yang
mengukuhkan kedudukannya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment