April 10, 2014

Malam Ini Laluan MH370 Anakku Jejaki, Misi Perubatan Menyembuh Luka Kehilangan

-->

Malam ini
Selepas tengah malam
Anakku bersama rombongan
Perwakilan sebelas negeri
Menjejaki persis masa dan laluan  
MH370 dari KLIA ke Beijing
Atas urusan rasmi kerajaan
Tidak saja bidang perdagangan
Tapi juga pakar bidang perubatan
Bersidang memanfaatkan kajian
Menandakan kerjasama dua kerajaan
Malaysia-Cina tidak terjejas
Oleh kehilangan MH370 di lautan
Bahkan mereka duta kecil
Mengubat luka kehilangan
Makin mengerat kerjasama
Membina mesra hubungan.

Memang tatkala program diberitahu
Beberapa hari selepas MH370 hilang
Berdetak juga di hati kami – bimbang
Tapi tak kami nampakkan secara terang
Tidak juga kami bantah pemergian
Baginya adalah kebiasaan urusan
Cuma jangan lagi ada lencongan
Seperti MH370 yang hilang.

Malam ini
Melalui hajat dan doa
Kami panjatkan permohonan
Selamatkan anakku dan rombongan
Perjalanan pergi dan pulang
Jauh di dalam minda tertanam
Keyakinan tentang qada` dan qadar
Ketentuan azali Tuhan
Kita memohon Dia menentukan
Tanpa menafikan hakikat
Kita juga sama dalam perjalanan
Akan tiba ke destinasi pengakhiran.

Pagi ini
Sesudah subuh berjamaah
Dan tazkirah dibacakan
Ketika berpagi di pejabat berurusan
Kuharap seperti biasa ada maklumat
Tentang ketibaan menenangkan
Sebagaimana juga bersyukur
Dengan maklumat kesampaian pulang.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
10 Jamadil Awwal 1435
10 April 2014.

No comments:

Post a Comment