BBB, 02 Jamadil Awal 1435 = 02 April 2014 (Rabu):
Sesuatu yang positif dan menggembirakan, bahawa daripada
seminar-seminar, perbincangan, pendapat
dan saranan melahirkan persuratan Ilmu tentang Sastera Islam yang dapat menjadi
panduan kepada penulis-penulis yang berminat untuk menulis berhubung dengan
Sastera Islam atau penulis-penulis yang selama ini kabur, tetapi bila memahami
konsep Sastera Islam, maka tumbuh minat untuk menulis terutama di dalam bidang
kreatif.
Antara bahan-bahan persuratan yang terhasil dari seminar
ialah seperti buku:
1) Sastera
Dan Agama hasil dari Simposium Sastera Dan Agama yang berlangsung di Kuala
Terengganu pada 28-29 Julai 1973.
2) Kesusasteraan
Melayu Dan Islam: Satu Pertembungan Pemikiran hasil dari Seminar Hari Sastera
78 di Kuala Terengganu pada 24 – 27 Julai 1978 anjuran Persatuan Sasterwan
Terengganu (Pelita) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena).
Diterbitkan pada tahun 1980.
3) Sekitar
Pemikiran Kesusasteraan Islam, sempena Simposium Bahasa Dan Persuratan pada 11 Safar
1400 bersamaan 30 Disember 1979. Diterbitkan oleh Gabungan Penulis Islam
Malaysia (GAPIM), 1980.
4) Nadwah
Ketakwaan Melalui Kreativiti terhasil dari Nadwah Kesusasteraan Islam yang
dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan diterbitkan pada 1995.
5) Simposium
Serantau Sastera Islam, hasil dari Simposium berlangsung pada 16 – 18 November
1992 bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei yang diterbitkan oleh DBP
Brunei pada tahun 1996.
Selain dari penerbitan buku hasil dari seminar dan symposium
penerbitan dilakukan oleh pihak institusi dan penyelidikan perseorangan
seperti:
1) Kesusasteraan
Dan Etika Islam oleh Shahnon Ahmad diterbitkan oleh Fajar Bakti Sdn. Bhd., Kuala Lumpur , 1981.
2) Kesusasteraan
Melayu Lama Dari Warisan Peradaban Islam oleh Ismail Hamid diterbitkan oleh
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1983.
3) Polemik
Sastera Islam oleh Kassim Ahmad & Shahnon Ahmad diterbitkan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur ,
1987.
4) Teori
Dan Pemikiran Sastera Islam oleh Nurazmi Kuntum diterbitkan oleh Dewan Bahasa
dan Pustaka, Kuala Lumpur ,
1991.
5) Pendidikan
Estetika Daripada Pendekatan Tauhid oleh Mohd. Affandi Hassan diterbitkan oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur ,
1992.
Hasil-hasil penulisan di atas dalam
bentuk buku sama ada hasil dari seminar atau simposium atau dihasilkan oleh
perseorangan termasuk polimik adalah dengan penuh sedar dihasilkan dalam masa Sastera
Islam hangat diperbincangkan iaitu 1970an hinggalah 1990an. Tetapi perlu
diingatkan bahawa di sana telah ada buku-buku yang membincangkan tentang
sastera Islam secara langsung atau tidak langsung yang dapat dijadikan panduan
bagi sastera Islam. Buku sedemikian tentulah banyak. Antaranya dapat disebutkan
sebagai contoh seperti:
1)
Bukhari al-Jauhari, Taj Us-Salatin, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur ,
1966.
2)
Syed Muhammad Naguib al-Attas, The Mysticism of Hamzah
Fansuri, University of Malaya Press , Kuala
Lumpur , 1970.
3)
Zalila Sharif & Jamilah Haji Ahmad, Kesusasteraan
Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993.
4)
Abu Hassan Sham, Puisi-Puisi Raja Ali Haji, Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993.
5)
Siti Hawa Haji Salleh, Kesusasteraan Melayu Abad
Kesembilan Belas, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur , 1997.
Dan tentu banyak lagi jika hendak
disebutkan. Buku-buku berkenaan walaupun tidak menyebut `Sastera Islam`, tetapi
membicarakan aspek-aspek yang berhubung dengan `Sastera Islam`. Contoh
membicara tentang Hamzah Fansuri sebagai Penyair Melayu terawal bererti membicarakan
soal ketuhanan dan juga aspek-aspek keislaman. Keadaan yang sama bila
membicarakan tentang puisi-puisi Raja Ali Haji contoh Gurindam 12, amat kaya
dengan nilai-nilai keislaman. Manakala Taj al-Salatin oleh Bukhari al-Jauhari
membicarakan aspek-aspek pemerintahan menurut nilai-nilai Islam. Manakala dua
buku, iaitu Kesusasteraan Melayu Tradisional oleh Zalila Sharif dan Jamilah
Haji Ahmad serta Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas oleh Siti Hawa Haji
Salleh, sebahagian besar membicarakan tentang cerita Nabi-Nabi, Sastera Kitab,
Undang-Undang, Ketatanegaraan dan tokoh-tokoh Islam. Bagi tujuan lebih mendalam
pengkaji-pengkaji boleh membuat kajian tentang Sastera Islam dari sumber-sumber
langsung di dalam bahasa Arab seperti ciri-ciri sastera dalam al-Qur`an,
penyair-penyair pada zaman Nabi, karya-karya klasik seperti al-Ahkam
al-Sultaniyyah oleh al-Mawardi, al-Milal wa al-Nihal oleh al-Shahrastani,
al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun dan berbagai lagi.
Dengan karya-karya di atas dapat
difahami peranan Islam di dalam membina bahasa Melayu dan memperkenalkan
berbagai bentuk sastera ke dalam sastera Melayu dan menjiwainya dengan
nilai-nilai keislaman. Sesungguhnya Sastera Islam merupakan sebagai kaedah
dakwah dan pendidikan yang disampaikan secara halus dan berkesan. Adalah
menjadi tugas bagi penulis dan sasterawan muslim memperkembangkannya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment