BBB, 13 Jamadil Awwal 1435 = 13 April 2014 (Ahad):
Sebagaimana telah diperkatakan bahawa pihak Bahagian Agama
Islam Di Jabatan Perdana Menteri secara peka telah mengambil inisiatif
menganjurkan Peraduan Menulis Bidang Kreatif dan Akademik sempena menyambut
Abad ke 15H. Di dalam peraduan ini Harun Haji Salleh telah memenangi Hadiah
Utama bahagian novel dengan novelnya yang berjudul Hidayah.
Harun Haji Salleh bukan orang baru di dalam penulisan
kreatif. Beliau mengambil bahagian secara berterusan di dalam peraduan menulis
cerpen yang dianjurkan Bahagian Agama Islam Jabatan Perdana Menteri, Bahagian
Pendidikan Islam dan sering memenangi hadiah di dalam peraduan-peraduan
tersebut. Harun juga mengambil bahagian di dalam peraduan menulis novel yang
dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu kali pertama, walaupun hanya
memenangi peringkat galakan (Bakat). Dari pemerhatian didapati Harun banyak
menumpukan perhatian kepada peraduan-peraduan penulisan kreatif berunsur Islam.
Demikianlah Harun memasuki peraduan menulis novel berunsur
Islam sempena sambutan Abad ke 15H. dan memenangi hadiah Pertama di dalam
bidang novel tersebut dengan novelnya yang berjudul Hidayah. Dari segi latarnya
Harun bin Haji Salleh adalah dilahirkan di Kampung Bukit Tempurung, Seri
Menanti, Negeri sembilan pada tahun 1935. Berpendidikan setakat sekolah
menengah. Dengan pengalaman dan minatnya dalam menulis menyerlahkan bakatnya di
dalam cerpen dan novel. Beliau telah berhijrah ke Sabah
sejak berusia belasan tahun. Pernah berkhidmat di Jabatan Pertanian di Sabah dan
kemudian sebagai Penterjemah Kanan/Penyelia Berita di RTM di Kota Kinabalu, Sabah . Sempena abad ke 15 H. beliau juga memenangi Hadiah
Novel anjuran Jabatan Ketua Menteri Sabah dengan novelnya yang berjudul `Di
Sebalik Sebuah Kubah`.
Watak dan jalan cerita novel Hidayah benar-benar mengambil
watak dan cerita Harun Haji Salleh yang berkelahiran di Kampung Bukit
Tempurung, Seri Menanti Negeri Sembilan yang berhijrah ke Sabah, berkhidmat dan
berkahwin di sana dan setelah bersara mengambil keputusan kembali menghabiskan
sisa umurnya di tanah kelahiran. Watak Harun disublimasikan ke dalam watak
utama di dalam novel Hidayah iaitu Ustaz Mazran. Di dalam cerita ditambah
dengan berbagai episode, cabaran, koflik dan penyelesaian.
Dari segi jalan cerita bermula dengan watak dua beradik Erus
dan Kusi yang kematian ibu bapa tinggal di perkampungan di kaki Gunung Kinabalu
dipelihara oleh nenek Gumpaling. Oleh kerana merajuk satu malam dua beradik
keluar dan sesat. Akhirnya Erus dipelihara oleh seorang paderi bangsa Belanda
dan diasuh secara didikan Kristian di Sarawak dan kemudian dihantar kembali ke
Pekan asal Erus, di Tamparuli. Beliau ditukar nama dan diberi jawatan sebagai
Father Alexander Tawai. Adapun Kusi dipelihara oleh Tuan Guru Amin yang
mengajar agama di Sabah, Nama Kusi ditukar kepada Mazran, tetapi akhirnya Tuan
Guru Amin membawa pulang Mazran ke kampung asal Tuan Guru Amin di Kampung Bukit
Tempurung, Seri Menanti. Amin diasuh cara Islam dan akhirnya berkelayakan
menjadi guru agama yang dihantar berkhidmat di Sekolah Menengah di kawasan
Tamparuli Sabah.
Konflik timbul dari wujudnya seorang guru wanita Kristian bernama
Mary Munang diminati oleh seorang guru lelaki Francis Unggai, tapi dari kenalan
dengan Ustaz Mazran yang mereka sering berdialog tentang ajaran Islam dan
Kristian terutama tentang trinity dan larangan terhadap Rahib berkahwin (Mary
Munang juga pernah ditarik untuk menjadi Rahib Wanita) menyebabkan Mary Munang
tertarik kepada agama Islam dan juga mesra dengan Ustaz Mazran. Puncak konflik
pada perayaan Hari Gawai Francis Unggai yang mabuk tuak menceroboh masuk ke
rumah Mary Munang, tetapi setelah pergelutan berlaku Mary Munang berjaya
melepaskan diri meminta tolong dari Ustaz Mazran (Mereka semua tinggal di
perumahan kawasan Sekolah).
Fitnah ditimbulkan oleh Francis Unggai bahawa Ustaz Mazran
mengurung Mary Munang di rumahnya, tetapi sahabat Ustaz Mazran membuat laporan
Polis tentang pencerobohan Francis Unggai. Puncak dan peleraian cerita berlaku
apabila Father Alexander Tawai datang dengan Francis Unggai ke rumah Ustaz
Mazran berhubung dengan aduan. Father Alexander Tawai yang asalnya bernama Erus
dan Ustaz Mazran yang asal namanya Kusi dapat mengenali satu sama lain,
sementara Francis Unggai yang menceroboh rumah Mary Munang dan membuat fitnah
ditangkap polis. Mary Munang akhirnya memeluk agama Islam dan berkahwin dengan
Ustaz Mazran.
Noval Hidayah setebal 171 halaman dipecahkan kepada XI
pecahan dengan pecahan pertama adalah merupakan episode didahulukan (Intro)
dalam mana Ustaz Mazran berada di Kampung Bukit Tempurung setelah dididik oleh
Tuan Guru Amin dan bersedia untuk bertolak ke Sabah bagi berkhidmat di sana
sebagai seorang guru agama. Bahagian dua merupakan sorot kembali kepada latar
belakang dua beradik Erus dan Kusi bersama keluarga hidup di kaki Gunung
Kinabalu, ayah mereka Suntim bekerja membersih tanah, satu hari berlaku
kemalangan ditimpa pokok yang ditebang, menyebabkan dua beradik yatim piatu itu
dipelihara neneknya Gumpaling. Episod-episod seterusnya berkembang secara
berurutan.
Cuma di dalam pecahan XI cerita yang boleh diperkembangkan
secara lebih lanjut dan lebih menarik dan merupakan klimax penceritaan dimatikan
(diakhirkan) dan dileraikan dengan mengejut dan begitu ringkas masa pertemuan;
``Aku berdoa semoga rumahtangga kau aman dan damai bersama
Cikgu Mary Munang. Jangan kau Persia-siakan dia. Kau beruntung mendapat jodoh
wanita yang baik dan masih suci.`` Ujar Father Alexander Tawai lagi dengan nada
sayu, Patah-patah katanya agak kelu semacam jatuh ke dalam kerongkong.`` Dan
ungkapan,
``Sekali lagi para pengikut Father Alexander Tawai yang
berkerumun di kawasan lapang dekat beranda itu diserabuti tanda tanya. Mengapa
Cikgu Mary Munang tiba-tiba muncul dan menangis. Mereka berpandangan antara
satu sama lain dengan mulut terlopong bagaikan menonton drama yang tidak
diketahui hujung pangkalnya.
Minta perhatian ! Untuk makluman saudara-saudara sekalian
bahawa ustaz di hadapan saya ini ialah adik kandung saya dan anak Kadazan tulen
! Kami telah berpisah hampir-hampir lapan belas tahun dan sekarang Tuhan telah
menemukan kami semula !`` Laung Father Alexander Tawai sekuat suara. Dan
pengumuman itu disambut dengan laungan nafas memanjang dan mulut-mulut yang
terlopng sebaik-baik saja mendengar pengumuman yang tak disangka-sangka.`` Dan
seterusnya,
``Akhirnya Farncis Unggai mengambil keputusan untuk cabut
saja dari situ. Sebelum dia membuka langkah seribu, Sarjan Mohd. Fuad sudah
dulu berada di belakangnya. Secepat kilat kedua belah tangan Farancis Unggai
dipulas ke belakang lalu digari.`` (hlm. 168-169).
Persoalan yang ingin diketahui pembaca yang merupakan puncak
cerita dan perlu diolah, ialah aspek `Hidayah` yang sepatutnya diolah lebih lanjut dalam cerita yang membawa `Hidayah` kepada Mary Munang, juga Uztaz Mazran yang mewajarkan novel yang diberi Hadiah Utama ini diberi judul `Hidayah`.
Bagaimana hubungan selanjutnya antara Father Alexander Tawai yang merupakan tokoh pemimpin Kristian setempat dengan Ustaz Mazran guru agama Islam di Tamparuli. Pembaca juga tidak diberi kesempatan mengetahui apakah tidak menghadapi halangan dan konflik bila urusan perkahwinan hendak dilakukan antara Ustaz Mazran dengan Mary Munang yang ditukarkan kepada nama Mariam bt. Abdullah itu. Mereka diberitahu secara mengejut dalam pertemuan pertama kali itu, ``Semoga rumahtangga kau aman dan damai.`` pada hal mereka belum kahwin. Sebelumnya Mary Munang telah mengenali Father Alexandar yang pernah memujuknya untuk menjadi Rahib Wanita.
Bagaimana hubungan selanjutnya antara Father Alexander Tawai yang merupakan tokoh pemimpin Kristian setempat dengan Ustaz Mazran guru agama Islam di Tamparuli. Pembaca juga tidak diberi kesempatan mengetahui apakah tidak menghadapi halangan dan konflik bila urusan perkahwinan hendak dilakukan antara Ustaz Mazran dengan Mary Munang yang ditukarkan kepada nama Mariam bt. Abdullah itu. Mereka diberitahu secara mengejut dalam pertemuan pertama kali itu, ``Semoga rumahtangga kau aman dan damai.`` pada hal mereka belum kahwin. Sebelumnya Mary Munang telah mengenali Father Alexandar yang pernah memujuknya untuk menjadi Rahib Wanita.
Sebelum Ustaz Mazran bertolak ke Sabah, keluarga angkat
Ustaz Mazran membuat gurauan bahawa bila ke Sabah nanti, tentu kelak akan membawa
pulang wanita Sabah yang menawan. Gurauan ini nampaknya menjadi kenyataan. Tidakkah
peleraian lebih baik diselesaikan di Kampung Bukit Tempurung, Seri Menanti
sebagai acara menyambut menantu yang mungkin dihadiri sama oleh Erus (Father Alexander
Tawai) ?
Sebagai kesimpulan Harun dapat membina cerita
berlatarbelakangkan kehidupan dirinya di negeri Sembilan dan Sabah
dengan menambahkan berbagai-bagai episode yang menghidupkan cerita dan agak
menarik. Itulah keistimewaan seorang sasterawan (Novelis) yang berbakat dan
kreatif.
Sekian.
He is my grandfather.
ReplyDelete