April 21, 2014

Kemala Dan Pengucapan Puisi Islami

-->
BBB, 20 Jamadil Awwal 1435 = 20 April 2014 (Ahad):

Kemala nama pena Ahmad Kamal Abdullah meskipun turut menulis cerpen dan drama, tetapi puisi adalah bidang keutamaan dan cita-cita dan cintanya `Menjadi Penyair` (Kumpulan Puisi Pilihan Kemala, DBP, 2012: XI). Cita-citanya ini kejap dan mantap dan Kemala konsisten dan terus berpuisi sejak 1970 dan berterusan hingga kini. Era perpuisiannya bermula semasa mendapat latihan di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim Perak (1958-1963) dan penulisannya berkembang bersama dengan peningkatan dirinya dalam pengajian. Selepas keluar dari Maktab Perguruan beliau mengajar di Tanjung Karang dan Telok Gong, Pelabuhan Kelang. Kemudian (1958) berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka, antaranya selaku Sidang Pengarang Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Budaya. Beliau menyambung pengajian di USM dan menerima Ijazah Sarjana Muda (1980) dan Sarjana Kesusasteraan lulus dengan cemerlang (1985) dan pada tahun 2000 menerima Ijazah Doktor Falsafah (Persuratan Melayu) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.  Kemala sebelumnya turut memimpin selaku Setiausaha Satu Gapena (1982-1984), Presiden Pena (1983-1986), Presiden Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (1993-1995). Kemala memenangi Hadiah Sastera Malaysia/Hadiah Sastera Perdana pada tahun 1972, 1995 dan 1999. Pada tahun 1986 Kemala menerima S.E.A. Write Awards daripada Kerajaan Thailand. Pada tahun 2001 menerima Anugerah Dato` Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Dato`. Pada tahun 2003 Dato` Dr. Kemala menerima gelaran Pujangga dari UPSI, pada tahun 2005 menerima anugerah Sebagai Sasterwan Negeri Selangor dan pada tahun 2011 menerima Anugerah Sasterawan Negara.


Era perpuisian Sasterawan Negara Dato` Dr. Ahmad Kamal Abdullah adalah merupakan era kesedaran Islam dan juga era memperkatakan tentang sastera Islam, lantaran itu di dalam taman perpuisian Kemala berkembangnya kuntuk-kuntum puisi bernadakan Islam. Kemala tidak saja terdedah kepada suasana keislaman, bahkan pengajian dan kajiannya adalah terhadap puisi-puisi Islam. Misalnya pada peringkat sarjananya beliau mengkaji dan menulis tesis bertajuk, ``Unsur-unsur Islam Dalam Puisi Melayu Moden - di USM, dan pada peringkat Doktor Falsafah beliau mengkaji dan menulis tesis berjudul, ``Simbolisme Dalam Puisi Islam Di Malaysia 1970-1990 - di Jabatan Persuratan Melayu, UKM (Biodata Kemala, dlm. Mata, Rumah Dan Merpati, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2012: 148).

Sepanjang keterlibatannya di dalam puisi beliau berterusan menghasilkan karya puisi yang mencerminkan perkembangan perpuisiannya. Kumpulan-kumpulan puisi yang telah dihasilkan ialah, Timbang Terima (1970), Meditasi (1972), Era (1975), Kaktus-Kaktus (1976), `Ayn (1983), Pelabuhan Putih (1989), Titir Zikir (1995), Mim (1999), Ziarah Tanah Kudup (2006), Syurga Ke Sembilan (2006) dan Menyirat Cinta Haqiqi (2012).
Melihat kepada beberapa judul kumpulan puisi di atas sudah mencerminkan kandungan keislaman seperti `Ayn, Pelabuhan Putih, Titir Zikir dan Mim, tapi untuk lebih jelas kita jelajahi ke sebahagian taman-taman puisi berkenaan.


Kumpulan Puisi `Ayn nampaknya paling banyak membawa puisi-puisi keislaman seperti Di Hadapan al-Qur`an, Umar, Tasbih, Islami, Mengenang-Mu, Sudah Kudengar, `Ayn, Cakerawala, Bukit, dan Rindu, Contoh:

Di Hadapan Al-Qur`an

(Untuk Ainul Azam yang mula membaca aliflammim)

Selepas mukaddam
Berapa kali air matamu titik
Waktu membaca
Ayat suci Ilahi ?

Suara kecilmu sayu
Kedip mata, bersimpuh duduk
Pada maghrib muda. Tak selalu
Aku tenang dengan rawanganmu
Pertama bismillah
Awal tauhid ampuh
Teguh dalam iman
Di hadapan al-Quran
(Kemala, Kumpulan Puisi Pilihan Kemala, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2012: 153).
Petikan di atas menggambarkan yang Kemala sendiri mendidik anak-anaknya mengaji al-Qur`an yang mana setiap anak-anak orang Islam sejak kecil harus mendapat didikan membaca al-Qur`an daripada guru-guru al-Qur`an atau jika berkemampuan mengajar sendiri sebagaimana dilakukan oleh Kemala.

Atau puisi:

Mngenang-Mu

Mengenang-Mu
Bagai menatap diri pada butir embun pertama
Menyaring air pada tapis halus batini
Menebar iktibar pada rindu yang panjang
Titis air mata iman di dalam sujudku

Mengenang-Mu
Umpama tasbih dan istirah angin di hujung, daun
Belayar lancar kapallku di awan-awan baldu
Cendekia khidir, rindu Musa bertaut Satu
Asyik al-Amin di Hira` sepi-Mu

(Kumpulan Puisi Pilihan Kemala, 2012: 175).
Dapat dirasa betapa halusnya rasa dan sentuhan jiwa Kemala terhadap kekudusan peristiwa yang dialaminya, bukan setakat mengenang, tetapi menggenag air mata.

Bukit

Bukit itu perkuatkan
Lembah ini kawal, jangan kalian lepaskan
Desa ini berikan erti hidup
Jangan terharu dengan harta rampasan
Orang tua, wanita, kanak-kanak jangan dizalimi
Tuhan benci kepada orang yang zalim
Dan cinta pada orang yang banyak kembali !
Allah perkuatkan barisan Islam dengan tentera malaikat
Deru taufan memukul barisan kafirin
Al-fath, kemenangan menjelma, tentera musuh patah.

…..

Tentera Islam pecah dan bubar
Bukit, lembah pertarungan
Menjadi saksi peri hati diselinapi
Bujuk rayu sang iblis
Taktik biadabnya
Barisan pecah, musyrikin merempuh kembali
`Bukit ini perkuatkan !`
Himbau amanah Rasulullah
Jauh, jauh
Menusuk hati !

(Kumpulan Puisi Pilihan Kemala, 2012: 191).

Tema dan persoalan yang diperkatakan Kemala di dalam puisi `Bukit` ialah mengenai `Peperangan Uhud` yang terkenal dalam sejarah Islam. Pengajaran yang diambil – panduan sepanjang zaman, bahawa membelakangi arahan Rasul mengakibatkan penerimaan bala dana balasan dari Allah. Juga ketamakan dan nafsu tidak terkawal membawa kepada kemusnahan.

Dari Kumpulan Pelabuhan Kasih, ialah puisi Pelabuhan Kasih itu sendiri, Dari Era ialah Kasih Ramadan. Dan dari Semusim Bulan Rawan, ialah Lidah Syahadah:

Lidah Syahadah

Menegakkan alif dari sengketa dan tindas buas
Putus sebelah tangan, robek telinga sebelah
Namun lidah syahadah tak pernah mati.

Menggerakkan rindu dari cemeti jahili
Berbilur rekah daging berkecai darah
Namun lidah syahadah membasah kalimah.

Menjalarkan tasbih dari iktikad Satu
Betapa keras tentangan betapa ranggas mendatang
Namun lidah syahadah mengenal jalan pulang

2010.

(Kumpulan Puisi Pilihan Kemala, 2012: 202).

Puisi memperkatakan tentang kekukuhan Iman seorang muslim betapa diseksa, syahadah adalah pengukuh dalaman, penguat azam dan tidak sedikit berganjak, biar betapa fizikal diseksa. Peristiwa begini dialami oleh sahabat-sahabat radiyallahu `anhum menghadapi seksaan seperti yang dihadapi Bilal Ibn Rabah dan yang lain-lain.

Dalam beberapa kumpulan Kemala mengambil tajuk berilhamkan ayat-ayat al-Qur`an dengan huruf-huruf ringkas seperti Alif lam mim, Ha mim dan banyak lagi. Kemala memberi tajuk bagi dua buah kumpulan puisinya, iaitu `Ayn dan Mim (Judul-judul dalam kumpulan Mim juga bermula dengan Mim). Kandungan di dalam Mim ini antaranya bersifat dialog dan monolog dalam diri Kemala mengenai berbagai perkara, khususnya yang bersifat kerohanian.

Kemala dengan kumpulan dan puisi-puisinya memperkukuhkan identiti kepuisiannya yang bersifat lembut rasa, halus jiwa dan kaya dengan ciri-ciri keislaman.

Sekian.

1 comment:

  1. Salam sejahtera. Saya baca blog ini sangat kagum. Mohon kirim buku-buku Anda puisi atau lainnya. Saya kawan dato. sangat ingin mengapresiasi.

    ReplyDelete