April 2, 2014

Konsep Perluasan Teori Takmilah Bertolak Dari Sastera Islam

-->
BBB, 01 Jamadil Awwal 1435 = 01 April 2014 (Selasa):

Teori Takmilah adalah teori dinamik dan fleksibel. Sungguhpun ianya diikat dengan istilah-istilah falsafah yang ketat dari segi penggunaan, tetapi berkembang dari segi skop teori dan ruanglingkup serta cakupan bidang secara terkawal. Perluasan yang mencerminkan dinamikanya adalah diakibatkan oleh penyelidikan dan penelitian berterusan, seminar dan wacana yang terus diadakan. Dengan demikian terserlah dan terbuka ruang-ruang yang selama ini belum diteroka dan bidang-bidang yang sebelum ini belum dijangka. Peranan ini bukan dimainkan oleh Penulis semata-mata, tetapi sama oleh pendukung-pendukung dan pelajar-pelajar yang meminatinya.


Banyak tahap masa dan skop diperlukan bagi meluaskan Teori Takmilah. Setakat ini dikenalpasti ada lima tahap yang membawa kepada tercetus dan berkembangnya Teori Takmilah:

1)      Tahap Keterlibatan Membicarakan Konsep Sastera Islam
2)      Tahap Pendalaman Tentang Estetika dan Pengajaran
3)      Kelahiran Takmilah
4)      Tahap Aplikasi
5)      Tahap Perluasan Bidang

1)      Tahap Keterlibatan Membicarakan Konsep Sastera Islam

Teori Takmilah adalah hasil dari pembicaraan dan perkembangan tentang sastera Islam. Dapatlah dikatakan bahawa kelahiran Teori Takmilah adalah hasil dari pemantapan pembicaraan Sastera Islam yang dibuktikan dengan terhasilnya berbagai genre Sastera Islam. Perkembangan berlaku secara logic dan teratur. Pada era 1950an & 1960an bidang sastera dikuasai oleh Asas 50, tapi pada akhir 1960an berlaku kegoncangan dalam dan luar masyarakat yang mendekatkan masyarakat kepada Islam. Dalaman berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969 yang membuat masyarakat, khususnya Melayu mencari akar dan umbi yang mengukuhkan diri. Antara pencarian utama ialah kembali kepada Islam. Luaran ialah berlakunya Revolusi Iran yang mengalahkan Amerika lantas mencelikkan masyarakat, bahawa Amerika kuasa dunia itu boleh dikalahkan dengan pegangan dan kekuatan Islam. Secara serentak pula berlaku perubahan persepsi di pengajian-pengajian tinggi dan gerakan pelajar cenderang kepada Islam yang sedikit demi sedikit merubah budaya sosial di dalam masyarakat di kampus-kampus cenderung kepada Islam dan mempengaruhi masyarakat.

                                                            Akhbar Gemasiswa

Di kalangan tenaga pengajar ada kecenderungan kepada ideologi-deologi berbeza yang turut mempengaruhi pelajar. Misalnya Profesor Zainal Abidin Wahid (Ketuanan Melayu),  Prof. Dr. Syed Husin Ali (Rakyat – Sosialis), Profesor Abu Bakar Hamid (Perjuangan Bahasa) dan Prof. Dr. Syed Naguib al-Attas kepada Islam, manakala kepimpinan pelajar yang memimpin PMIUM dan PMUKM lebih cenderung kepada Islam, ini termasuklah dari Pimpinan PKPIM yang tidak terhad kepada satu universiti, manakala PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya) memperjuangkan bahasa. PMUKM dalam keluaran lidah rasminya Gemasiswa 20 Jun 1972 jelas menuntut UKM dan PMUKM mengambil pendirian dari segi perjuangannya ialah:

``Identiti UKM Hendaklah Bersifat Kebumiputraan Dan Keislaman.``

Gerakan kemahasiswaan yang terdiri dari aktivis UM, PMUKM, PBMUM, PKPIM yang turut sama digerakkan oleh ABIM yang lahir kemudiannya mempengaruhi bidang persuratan. Sekitar 1970an timbul pandangan-pandangan tentang Sastera Islam pada asasnya seharusnya berpandukan kepada al-Qur`an, Hadith Nabi dan tokoh-tokoh sasterawan Islam pada zaman Nabi seperti Hassan bin Thabit, Ka`b bin Malik, Abdullah bin Rawahah dan selanjutnya. Perbincangan tentang sastera Islam di Malaysia membawa kepada berlangsungnya Simposium Sastera dan Agama (28-29 Julai 1973) mendapat tunjangan dari Kerajaan Negeri Terengganu – anjuran PELITA dengan kerjasama Gapena. Antara yang membentangkan kertas kerja tentang sastera dan agama ini ialah Muhammad Uthman El-Muhammady yang membicarakan tentang peranan ulama di dalam pembinaan akliyah dan rohaniyah masyarakat Melayu (Muhammad Uthman El-Muhammady, Peranan Intelektual (Ulama) Islam di Malaysia Dalam Pembentukan Kebudayaan, Dewan Bahasa Jil. XVII Bilangan 10 Oktober 1973: 438-449).
Yusof Zaky Yaacob salah seorang pembentang kertas kerja di dalam seminar berkenaan Sastera Islam menyatakan:
``Sastera Islam adalah Sastera Dakwah.``
                        (Utusan Zaman 18 Ogos 1974).
Hasil dari Seminar di atas dan perbincangan-berbincangan mengenai Sastera Islam mendorong golongan aktivis muda Islam kepada menubuhkan Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM) pada 1 Jamadil Akhir 1396 = 30 Mei 1976 (Shafie Abu Bakar, Sastera Melayu Dan Islam, Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Islam, Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM), Kampung Baru, Kuala Lumpur, 1980: 1-25) yang mana Penulis turut sama sebagai AJK mengendalikan dan menjalankan kegiatannya seperti Malam Puisi Islam yang diadakan di Sudut Penulis Dewan Bahasa dan Pustaka pada 16 Jun 1979 – Antara tokoh yang menjadi inspirasi bagi puisi Islam seperti Zulkifli Muhammad, Amir Hamzah dan Iqbal, Simposium Bahasa dan Persuratan yang diadakan di Dewan Malik Faisal, Maktab Perguruan Islam, Petaling Jaya pada 11 Safar 1400=30 Disember 1979 yang dirasmikan oleh Prof. Dr. Syed Naquib al-Attas dan kegiatan-kegiatan yang lain termasuklah penerbitan.


Pembicaraan tentang Sastera Islam berterusan yang memperkayakan pendapat tentang konsep Sastera Islam seperti Mohd Kamal Hassan, ``Sastera Islam ialah hasil dari komitment penulis terhadap Islam (Forum Sastera Islam, Dewan Sastera, Ogos 1977: 3) dan Ismail Ibrahim berpendapat, ``Sastera Islam ialah sastera yang berasaskan tauhid.`` (Ibid., hlm. 5). Tetapi perbincangan tentang Sastera Islam bersifat polimik secara panjang lebar berlaku di antara Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad yang disiarkan di dalam Dewan Sastera Secara Bersiri Februari 1983- Januari 1984) yang antara pendapat Kasim Sastera Islam adalah bertujuan memperjuangkan kebenaran, kebaikan dan keindahan dan boleh dihasilkan, walaupun oleh bukan orang Islam (Kassim Ahmad, Menuju Sebuah Teori Sastera Islam, dlm. Polemik Sastera Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987: 21), manakala bagi Shahnon, Sastera Islam sastera yang dicipta kerana Allah berhikmat untuk manusia (Shahnon Ahmad, Kesusasteraan Dan Etika Islam, Fajar Bakti, Kuala Lumpur, 1981: 3).

Sungguhpun Sastera Islam bukan sesuatu yang baharu, tetapi perbincangan tentang Sastera Islam dalam konteks kini membuka ruang dan persepsi baharu terhadap Sastera Islam yang boleh dikatakan ketinggalan dalam konteks moden. Ianya merupakan cabaran bagi sasterawan Islam bagi mengisikan kekosongan berkenaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment