BBB, 27 Jamadil Akhir 1435 = 27 April 2014 (Ahad):
Sejak ditubuhkan (1978) Persatuan Penduduk Bandar Baru
(PPBBB) terus berfungsi sebagai sebuah NGO yang aktif yang memberi perhatian terhadap
kemajuan dan kepentingan penduduk BBB. Pagi ini PPBBB mengadakan Mesyuarat
Agungnya bagi kali ke 25 bertempat di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) di sini
dihadiri lebihkurang seratus lima
puluh ahli.
Majlis perasmian dilakukan oleh Wakil Tuan Pegawai Daerah
Hulu Langat En. Baharom Azam Abdul Majid. Beliau memuji PPBBB yang menjadi
sebuah NGO yang penting di BBB. Menurutnya selama ini pihak pentadbir Daerah
mendapat kerjasama PPBBB sebagai pengantara antara pihak kerajaan dan penduduk
berhubung dengan pembangunan dan juga mengatasi masalah gejala sosial,
sebagaimana kerjasama dengan agensi-agensi yang lain seperti dengan MPKj,
Pejabat Kesihatan dan lain-lain. En.
Baharom mengucapkan tahniah, kerana pihak PPBBB berjaya membangunkan KPI yang
difahamkan memakan kos sebanyak RM2.7 juta ringgit. Beliau juga mengumumkan
pihak Pejabat Daerah akan mengadakan Karnival Masyarakat dalam masa terdekat
yang antaranya akan membicarakan masalah setempat.
Sementara itu YDP PPBBB Tuan H. Ahmad Sufie Munasir dalam
ucapannya menjelaskan, walaupun pemimpin PPBBB bertukar tangan dari Tuan Haji
Omar Jaafar sebagai YDP pertama kepada Tuan Haji Banhawi dan seterusnya kepada
Dr. Tajul Ariffin Noordin, tapi PPBBB terus maju bergiat menjalankan khidmat
kepada masyarakat. Beliau menyebut antara kegiatan terbaru dilakukan, bahawa
sempena Mesyuarat Agung kali ini, PPBBB berjaya menerbitkan buletin pertama
`Suara Bangiku`. Diharap melalui bulletin maklumat dan kegiatan persatuan dapat
disalurkan dan penduduk dapat maklumat dan manfaat darinya. Pihak persatuan
juga berjaya mengadakan khidmat membersih sampah bertabur 2 kali sebulan oleh
pihak MPKj dan sekali sebulan oleh pihak JKR. Dengan demikian, selain dari
khidmat biasa suasana BBB lebih bersih. Kata tuan Haji Sufie lagi,
Pada 20 April pihak PPBBB dengan kerjasama berbagai agensi
mengadakan gotong royong di kawasan perumahan seksyen 16. Peserta-peserta
berjumlah 300 orang. Selain dari Seksyen 16, kawasan-kawasan ketara dengan kes
denggi di BBB ialah seksyen 3, 4, 6A, 7,
dan 4 Tambahan. Beberapa kes kematian berlaku dan diharap tidak berulang.
Tuan Haji Sufie juga menyebut tentang bantuan terhadap ibu
tunggal dan anak tercicir dengan memberi tuisyen percuma dan memberi motivasi.
Pihak PPBBB juga mulai mendapat kerjasama dari IPTA. Misalnya dijemput ke perbincangan
`Peranan UKM Terhadap Bangi`. Lima
wakil NGO dijemput, termasuklah PPBBB yang dihadiri Tuan Haji Sufie sendiri.
Beliau menyarankan dalam pertemuan itu:
1) UKM
perlu menubuhkan Pusat Perubatan di Bangi. Dengan jumlah penduduk melebihi
100,000 sewajarnya Bangi mempunyai Pusat Perubatannya sendiri.
2) UKM
perlu terlibat sama dalam usaha mencegah wabak denggi di BBB.
3) UKM
perlu membantu dari segi kepakaran bagi meningkatkan landscaping dan ciri-ciri
estetikanya agar BBB menjadi Bandar dalam taman.
4) Memohon
bantuan idea dan kepakaran dari UKM, terutama dari Fakulti Pendidikan bagi
menubuhkan Ma`had Tahfiz di BBB. Secara ideal biarlah ada seorang hafiz di
dalam satu keluarga. PPBBB berusaha untuk mendapat tanah seluas antara 5 - 10
ekar bagi mendirikan ma`had tahfiz.
5) Meminta
kerjasama memulihkan pencemaran air yang berlaku di Tasik Cempaka di BBB yang
merupakan satu-satunya pusat rekreasi di BBB.
Selain dari apa yang diucapkan oleh Tuan Haji Sufi di dalam
mesyuarat yang dijalanakan, antara kegiatan yang dimaklumkan kepada ahli yang
hadir melalui laporan (antara yang hadir Tan Sri Dato` Haji Mohd. Nor Ismail
Pengerusi Koperasi PPBBB, Dr. Shafie Abu Bakar Mantan Adun Bangi, Dr. Tajul
Ariffin Noordin Mantan YDP PPBBB), bahawa:
a) PPBBB
mengadakan kegitan ilmuan di KPI – Kuliah Terbuka pada setiap pagi Sabtu
sebagai Hari Ilmu.
b) Meneruskan
khairat kematian PPBBB
c) Mempertingkatkan
bidang pendidikan Pra-sekolah, Sekolah rendah KAFA
Tahap Sekolah
Menengah & Tahfiz.
d) Mengadakan
Kolokium PPBBB 2013
e) Mengadakan
Bengkel Halatuju Bandar Baru Bangi 2013.
f) Mengadakan
Himpunan Penduduk Bandar Baru Bangi pada 19 Februari 2014
g) Meneruskan
kegiatan Forum Pemikiran Bangi dan Talk Show.
Mesyuarat Agung yang dipengerusikan oleh Tan Sri Datuk Haji
Mohd. Nor bin Ismail berterusan hingga tengahari. Dalam pemilihan AJK baharu
Tuan Haji Ahmad Sufie mengekalkan kedudukannya sebagai YDP, manakalan jawatan
Timbalan YDP yang kosong diisi oleh Tuan Haji Bukhari Bachok manakala AJK tidak
banyak perubahan yang berlaku kecuali beberapa tenaga muda dilantik yang
diharap dapat mencergaskan lagi PPBBB.
Sekian.
No comments:
Post a Comment