BBB, 07 Jamadil Awwal 1435 = 07 April 2014 (Isnin):
Meneruskan Peraduan Anugerah Sastera Darul Iman yang pertama
dilancarkan pada 20 April 1981, maka pada Rabu 4 November 1987 = 13 Rabiul
Awwal 1408 sekali lagi YAB Tan Sri Dato` Seri Amar Di Raja Wan Mokhtar bin
Ahmad melancarkan Peraduan Anugerah Darul Iman II, tetapi pada kali ini dengan
tema khusus, iaitu Penulisan Kreatif mengenai Sirah Junjungan Rasulullah s.a.w.
Jika dilihat dengan tarikh pelancaran pun adalah bersesuaian dengan bulan
Rabiul Awwal 1408 yang dikenali dengan bulan Maulid al-Rasul. Tarikh tutup
peraduan ini ialah 31 Disember 1989, iaitu diberi peruntukan masa penghasilan lebih
dari dua tahun.
Tema penulisan secara kreatif mengenai Junjungan Rasulullah
s.a.w. ini sekali pandang mungkin boleh dianggap mudah, kerana banyak bahan
yang berhubungan dengan Sirah Rasulullah s.a.w., tetapi bahan-bahan berkenaan
tidak mudah untuk dikreatifkan dan jika tidak mampu mengendalikannya boleh
membawa kepada kekeliruan dan kerosakan. Sebenarnya sejak awal bila cadangan
timbul dari pihak Penganjur atas nama Kerajaan Negeri Terengganu yang di
belakangnya ialah Persatuan Sasterawan Negeri Terengganu (PELITA) dari awal
lagi ditimbulkan soal kewajaran dan kebimbangan memilih tema yang berthubung
dengan Rasulullah s.a.w. sebagai tema Peraduan Menulis bagi ASDI II. Memang
tujuan adalah baik, iaitu sebagai karya kreatif (novel) berunsur Islam, maka
mengambil tema yang berhubung dengan Rasulullah s.a.w. adalah tema yang rapat
dengan Islam, melalui penghasilan novel yang berhubung dengan Rasulullah s.a.w.
diharap lebih menarik minat pembaca-pembaca untuk membaca tentang Sirah
Rasulullah s.a.w. melalui cerita dan ianya merupakan satu metod dakwah melalui
cerita, iaitu menerusi kaedah sastera. Bimbangkan berlaku kekeliruan, bahkan
penyelewengan, maka sebelum pelancaran ASDI II, Penulis diminta menyediakan
kertas konsep bagi menjelaskan kedudukan dan mengelak dari kekeliruan.
Sebenarnya mengkreatifkan aspek-aspek yang berhubung dengan
Sirah Rasulullah s.a.w. bukanlah sesuatu yang baharu dan memang berlaku ianya
dilakukan dalam penulisan prosa dan penulisan kreatif seperti penceritaan, puisi,
lakunan, bahkan filem. Di dalam penulisan prosa mengarang tentang Sirah
Rasulullah s.a.w. memerlukan tafsiran dan huraian bererti ada huraian dan
pendapat tambahan dari penulis, demikian juga berhubung dengan penceritaan juga
memerlukan tafsiran, huraian dan tambahan dari pengarang sewajarnya. Keadaan
yang sama berlaku tentang penulisan puisi memerlukan kreativiti penyair bila
menghasilkan tentang sesuatu aspek berhubung dengan Rasulullah s.a.w.
Ketelitian lebih dituntut bila menggunakan aspek Sirah Rasulullah s.a.w. dalam
lakunan dan filem.
Persoalan yang utama yang perlu dijaga ialah tentang
kebenaran dan sejauh mana hak dan kebebasan `poetic licence` yang dibenarkan
kepada penulis di dalam menulis secara kreatif agar apa yang ditulis tidak
termasuk di bawah `dusta`. Berhubung dengan ini perlu diperhati Hadith-Hadith
berikut bermaksud:
Daripada Salamah bin al-Akwa` r.a. berkata, Aku mendengar
Nabi s.a.w. bersabda:
``Siapa yang berkata tentangku apa yang aku tidak kata maka
bersedialah tempatnya di neraka.``
Hadith Bukhari. Atau:
Daripada Ali bin Abi Talib r.a. berkata, Bersabda Rasulullah
s.a.w. ``Jangan kamu berdusta ke atasku, maka sesungguhnya siapa berdusta ke
atasku, maka dia masuk neraka.`` Hadith
Bukhari.
(Mustafa Muhammad Imarah, Jawahir al-Bukhari wa Sharh
al-Qistillani, al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, tt.: 68).
Keperluan bagi penulis yang mau menulis secara kreatif
tentang peristiwa-peristiwa yang berhubung dengan Rasulullah s.a.w.
- Berilmu. Dia perlu memahami keilmuan Islam dan Sirah Rasulullah s.a.w. dan
sejarah secara mendalam. Juga mahir di
dalam penulisan baik dari segi prosa atau
puisi.
- Menjaga kebenaran fakta-fakta
- Menjaga dari segi huraian dan tafsiran hingga tidak berlaku penyelewengan
- Mengawal dari segi kreativiti dan imaginasi. Misalnya menggambarkan suasana Hijratul Rasul di sambut penduduk Madinah, secara kreativiti dapat digambarkan kebenaran dengan wujudnya kebun khurma, gambaran unta yang menjadi tunggangan, pakaian dan keriangan penduduk yang datang dan sambutan secara Marhaban. Gambaran kesampaian Rasul s.a.w. berdasarkan riwayat di dalam Hadith. Gambaran tentang fizikal Rasulullah boleh dengan cara penerangan berdasarkan sumber Hadith, tetapi tidak boleh sekali-kali dengan bentuk fizikal bergambar (bagi lakonan dan film). Begitulah contohnya dengan gambaran-gambaran yang lain berhubung dengan Rasulullah s.a.w..
- Mempunyai mesej yang bersifat dakwah dan pendidikan Islam. Ini bererti penulis mempunyai sudut pandangan berorientasikan Islam.
Adapun keperluan-keperluan yang lain dari segi penulisan
tidaklah mempunyai perbezaan yang ketara antara novel yang berhubung dengan
Rasulullah dan novel-novel yang lain. Misalnya dari segi teknik dan penyusunan
penulis boleh menggunakan pendekatan secara kronologi, menggunakan teknik sorot
kembali (imbas balik), cerita dalam cerita dan sebagainya. Dari segi bahasa
oleh kerana novel berhubung dengan Rasulullah dan Islam, maka maksud al-Qur`an,
al-Hadith dan istilah-istilah Arab dan keilmuan Islam wajar digunakan di
tempat-tempat yang bersesuaian bagi menimbulkan suasana di negeri Arab dan juga
Islamik. Boleh juga diselit dengan pendapat ulama`, kata-kata hikmah dan
petikan puisi jika sesuai diselit sama.
Penulisan yang berhubung dengan Rasulullah penting, tapi
memerlukan kemahiran dan kepakaran. Pendidikan yang disampaikan secara bercerita
(kreatif) tentang Rasulullah s.a.w. lebih berkesan terhadap kanak-kanak daripada
pengajaran aspek Sirah secara langsung. Keadaan yang sama juga dilakukan kepada
peringkat dewasa dengan kaedah penulisan yang bersesuaian. Kaedah secara
kreatif juga boleh dilakukan di dalam menyampaikan pendidikan dengan mengambil
tema tentang rasul-rasul, nabi-nabi, para sahabat dan berbagai tokoh dalam sejarah
Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment