BBB, 18 Jamadil Awwal 1435 = 18 April 2014 (Jumaat):
Satu fenomena yang menggembirakan, kesan dari kesedaran
keislaman yang tercetus mulai tahun-tahun 1970an dan seterusnya, ialah
berlakunya perubahan positif di kalangan sasterawan yang selama ini dilihat
sebagai `biasa` kepada kesedaran keislaman diakibatkan oleh kesedaran kelompok
di dalam satu-satu institusi atau kesedaran individu di dalam situasi kehidupan
secara Islam. Di USM berlaku perubahan di kalangan beberapa sasterawan di
kampus universiti itu. Shahnon Ahmad misalnya mencari pengalaman dan bergiat
dalam badan keislaman dan memperkatakan tentang Sastera Islam di dalam
tulisan-tulisan, bahkan menulis Polimik Sastera Islam antaranya dengan Kassim
Ahmad, bahkan beliau menghasilkan Novel Shit (1999) yang menggemparkan. Ada kalangan pensyarah di
USM terpaut pada kegiatan badan tertentu dalam jamaah Islam yang memberi kesan
terhadap pembawaan dan penghasilan karya. Kesan keislaman terhadap individu penulis
yang ketara dapat dicontohi kepada perkembangan perpuisian Suhaimi Muhammad
(1934-2014) yang pada bahagian permulaan adalah biasa (aliran realisme dan
surialisme), tetapi minat berikutnya kepada ilmu-ilmu Islam dan mendalaminya
melalui pengajian membawanya kepada kerohanian.
Antara penulis atau lebih khusus penyair yang menerima
perubahan ke arah keislaman ialah Ali Ahmad yang juga dikenali dengan nama
penanya Alis Murni. Lahir di Batu Pahat 22 Mac 1940. Berkelulusan Ph. D. dari
universiti Monash , Australia . Ijazah pertama dan
sarjananya adalah dari Universiti Malaya. Sekembalinya dari Australia beliau mulai bertkhidmat
di USM (1974). Sebelum ke Australia
beliau pernah menjadi Penolong Pensyarah di UKM 1970-1971. Mengajar bidang
sastera dan kritikan. Menulis di dalam bidang Kajian Sastera, esei, cerpen,
novel dan puisi. Tetapi lebih menonjol dalam bidang puisi. Memenangi Hadiah
Karya Sastera bagi 4 buah eseinya 1976 (Wajah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur, 1981: 129-130). Namun kecenderungan mutakhirnya lebih dalam bidang
puisi yang khusus membawa tema-tema keislaman. (Jambak 3, Ali Ahmad, Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1995: 50-67).
Kumpulan puisi Ali Ahmad yang terkenal ialah `Jalan Ke Taman
(1983) yang menarik dari segi teknik dan unik dari segi designnya.
Melalui Jalan Ke Taman memperlihatkan perubahan ketara
penyair kepada pengukuhan dirinya dengan keislaman, jiwanya dengan keimanan dan
hatinya dengan ketaqwaan. Tentang perubahan dapat dilihat dalam puisi pertama:
Penyairku
…
Lamalah kita berhibur
Dengan permainan Rama dan Sita
Dewasakah kita jadinya
Dengan keresahan hati Shakespeare
`kan
berubah wajah kita
Dengan teori igauan Darwinisme.
…
Penyairku
Ingatlah mimpi pertama Malik al-Salih,
Bila Muhammad mengajarkan al-Qur`an
Hukum bagi dua kehidupan
Dua nafas yang berhubungan
Permulaan itu bayangan akhiran adalah kenyataan.
…
(Ali Ahmad, Jalan Ke Taman, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur, 1983: 2).
Jelas Ali tidak mau dihanyutkan oleh budaya dan pemikiran
barat, sebaliknya beliau mau kembali kepada akar tradisi dan keislaman.
Ali membicarakan secara mendalam mengenai aspek-aspek
keislaman, tentang Adam yang merupakan bapa bagi keturunan, tentang taubat Adam
dan Hawa di atas kekhilapan mereka. Antaranya tema yang berat seperti tentang:
Fikir
Fikir itu tidak memuktamadkan
Kerana logika berubah
Dan terhad kemutlakannya.
Sesekali ia berhenti
Pada batas belum sempurna
Atau menolak kesimpulan
Atas ikatan peribadi
Enggan tunduk pada kebenaran
Atau menghindar kecemaran diri
Yang sendirinya bukan hakiki
…
(hlm. 14)
Dengan perubahan yang dialaminya Ali mau membina sesuatu
yang benar-benar bernilai sebagaimana yang diyakininya:
Sebuah Rumah Budaya
Kubina dia
Dengan asas kepercayaan
Tiangnya kalimah-kalimah Allah
Dindingnya kata-kata Muhammad
Bumbungnya takwa
Pintunya Lailahaillallah
Ke hatinya insan masuk
Mencari cahaya hidayat
Hidup di dalamnya
Tanpa ragu
Tanpa resah.
…
(hlm. 17).
Penyair mengungkapkan antaranya tentang Rumah Allah,
Lailahaillallah, Pohon Makmur, Zikrullah dan sebagainya yang merupakan bekal
taqwa bagi perjalanan ke Taman , kata Ali:
Jalan Ke Taman
Jalan ini terlalu lengang
Selaku malam yang tua
Lurus dan tegak
Berbatu pedoman
Dan pengingat yang tepat
Jalan ini ikut cita hati
Paling halus dan kudus
Dalam lagu damai dan senang
Alun-alun pujaan
Dengan makna yang memastikan
Antara jasad yang sementara
Da roh yang abadi.
Jalan ini tiada simpang masuk
Pintunya dari maknawi tertinggi
Atas makrifat.
Di hujung taman-taman menanti
Sekelilingan sepi dan puji
Hembus-hembus deru kudus
Desir dari Firdaus.
Jalan ini telah sunyi
Kembara teguh membenarkan
Keredaan wujud-Nya.
(hlm. 16).
Mesej yang dibawanya besar, sebab itu setengahnya terasa
berat dari segi pengucapan dan kurang dari segi estetika. Namun bagi Ali mesej
yang hendak disampaikan itu lebih bermakna dan itulah tujuannya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment