BBB, 04 Jamadil Awwal 1435 = 04 April 2014 (Jumaat):
Tiga dekad terakhir abad 20 (1970-2000) adalah dekad-dekad
emas dari segi perjuangan bahasa Melayu (termasuk pendidikan) dan memartabatkan
sastera, termasuklah Sastera Islam. Sebagaimana disebutkan Sastera Islam
bermula dengan penghuraian mengenai konsep-konsep dari tokoh-tokoh berkenaan melalui
seminar, wacana dan symposium, diikuti dengan kelahiran buku-buku panduan
mengenai Sastera Islam dan melahirkan karya-karya kreatif sebagai contoh sebagaimana
dianjurkan Peraduan Menulis Cerpen oleh pihak Jabatan Perdana Menteri, Bahagian
Hal Ehwal Islam, kerajaan Negeri, agensi Kerajaan dan badan tertentu.
Bersama dengan kerancakan perjuangan bahasa dan
memertabatkan sastera, termasuk Sastera Islam, maka turut serta menganjurkan
Peraduan Mengarang Cerpen Berunsur Islam ialah Yayasan Pelajaran Islam.
Berhubung dengan Yayasan Pelajaran Islam sebagai sebuah NGO Pendidikan, maka yayasan
ini tidaklah begitu terkenal. Yayasan ini berpusat di Pulau Pinang, tetapi
bergerak di Kuala Lumpur .
Pengerusinya ialah saudara Mohamed Iqbal yang mempunyai hubungan rapat dengan
Dato` Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran
pada masa itu. (Peraduan Penulisan Berunsur Islam ini dilancarkan dengan
rasminya oleh Dato` Seri Anwar Ibrahim Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1987
dan beliau pernah menyampaikan Hadiah Pemenang Cerpen Berunsur Islam ini bagi
kali ke IV pada 18.5. 1993 bertempat di Pusat Islam, Kuala Lumpur). Peraduan Mengarang
Cerpen Berunsur Islam yang dianjurkan oleh Yayasan Pelajaran Islam mendapat
kerjasama dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang terletak di bawah
Kementerian Pelajaran Malaysia .
Keterlibatan Yayasan Pelajaran Islam menganjurkan Peraduan
Menulis Cerpen Berunsur Islam ini seolah-olah menyambung kegiatan berkenaan
yang telah dilakukan oleh Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Islam yang
nampaknya selepas 1987 tidak diteruskan lagi. Peranan ini seolah-olah disambung
oleh Yayasan Pelajaran Islam. Penulis dijemput dan terlibat dengan peraduan ini
mulai dari Peraduan Menulis Cerpen Berunsur Islam kali ke 3 bermula dari tahun
1990 hingga kali ke 5 tahun 1994. Untuk mengendalikan penilaian seperti ini sebagai
panel tidaklah rumit berdasarkan pengalaman Penulis mengendalikan Peraduan
Mengarang Cerpen Berunsur Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal
Ehwal Islam sebelumnya. Cuma panel penilai di bawah Yayasan Pelajarn Islam ini
berubah, tapi masih tiga orang, iaitu Syed Othman Syed Omar (S. Othman Kelantan
sebagai Ketua), Penulis dan dari DBP sdr. Sofian Mohamad (1991) ditukar kepada
Haji Hamzah Hamdani (1993) dan Haji Mohamad Ali Majod (1995). Ini bererti
Penulis dengan panel-panel yang lain diberi kesempatan menjadi panel sebanyak
tiga kali. Peraduan antara 1990-1995 (ke III ke V) menghasilkan tiga buah antologi cerpen
berunsur Islam, iaitu:
1) Embun
Hidayah - Ketiga (1991)
2) Syahdu
– Keempat (1993)
3) Baitullah
Ke Nabilah – Kelima (1995).
Cuma agak berbeza dengan Peraduan Mengarang Cerpen Berunsur
Islam di Bawah Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Islam, bahawa judul Antologi
sebagai penghormatan diberi menurut tajuk cerpen yang memenangi Hadiah Pertama,
tetapi bagi Peraduan di bawah Yayasan Pelajaran Islam dipilih dari mana-mana
judul yang difikirkan sesuai termasuk dari yang memenangi walaupun pada
peringkat sagu hati. Ketiga-tiga judul bagi antologi yang Penulis terlibat
tidak dipilih dari judul-judul pemenang utama (satu – tiga).
Pemenang pertama bagi peraduan kali ke 3 – Antologi Embun
Hidayah ialah cerpen berjudul `Di Ambang` oleh Hasidah Dasin. Cerpen ini banyak
menggunakan teknik imbas balik tentang watak `Aku` yang angkuh, saeorang ahli
perniagaan yang berjaya, berumur 50 puluh tahun mempunyai seorang isteri dan
sepuluh anak. `Aku` seorang ayah yang bongkak, memaksa kemahuannya ke atas
anak-anaknya, menyebabkan mereka tidak mesra dan tidak rapat dengan
anak-anaknya. Dua anaknya kahwin lari, anaknya sulungnya Khadijah yang tidak
disetujui dengan pemilihan pasangannya, patuh dan tidak kahwin walaupun sudah
berusia lebih dari 30 tahun. Berita mengejut diterima `Aku` isterinya meninggal
dunia dan pulang dalam keadaan tergesa-gesa dan mengalami kemalangan jalan raya
dan selepas itu hidup dengan menggunakan `wheel chair` dijaga anak setianya
Khadijah. Kesal bertindah, apa lagi mengingatkan isterinya berharap dia patut
mengimamami mereka sekeluarga berjamaah di rumah, tapi kini harapan tak dapat
dilaksanakan. Hidupnya sepi. Khadijah berusaha mendapatkan guru agama bagi
mengajar ayahnya. Cerpen Di Ambang bersifat plotless dan menggunakan elemen
`arus sedar dan imbas muka watak `Aku`. Panel menyifatkan cerpen Di Ambang – mempunyai
nilai estetik yang boleh dibanggakan.
(Di Ambang, dlm. Embun Hidayah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur , 1991:
XIV-XVI, 1-14).
Manakala cerpen `Retak` oleh Amy Suzana Mohd Ainuddin yang
memenangi Hadiah Pertama bagi Peraduan Menulis Cerpen bagi kali ke IV dalam
antologi `Syahdu` mengambil tema kekeluargaan yang mengejar kehidupan dunia
semata-mata. Suami isteri angkuh dan tidak mematuhi agama, kering dari kasih
sayang menyebabkan berlaku perceraian, Kakak Fariza tinggal dengan ibu dan
`Aku` watak utama selaku adik Fariza tinggal dengan bapa beribu tiri.
Perkembangan cerita melalui teknik surat
diterima `Aku` dari kakaknya Fariza dan imbas kembali peristiwa melalui watak
`Aku`. Mereka berdua beradik tertekan dan berusaha mencari ketenangan di tengah
keluarga di mana ibu bapanya dulu tidak sembahyang, tidak berpuasa dan tidak
pernah menyebut untuk menunaikan haji, walaupun harta ada lebih dari cukup. Aku
tertekan dan lebih bersikap memberontak ketika sedang menghadapi pelajaran di
dalam keluarga ayah dengan ibu tirinya Mak Cik Salamiah dan anak-anak. Kakak
menasihati adiknya `Aku` mencari ketenangan dengan kembali dan patuh kepada
suruhan agama. Itulah yang cuba
diikuti kedua beradik yang terpisah itu. Retak menggunakan bahasa yang lembut
dan mengharukan – pergolakan jiwa anak-anak yang terpisah akibat dari
perceraian ibu bapa menyebabkan retaknya hubungan kekeluargaan.
(Retak, dlm. Syahdu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur , 1993: XII –
XVI, 1-20).
Manakala cerpen memenangi hadiah pertama bagi peraduan
menulis cerpen kali keV (1994) ialah berjudul `Siti Fatimah` oleh Olias Mat Ali
mengambil teknik penceritaan biasa tentang tekanan yang dihadapi Siti Fatimah
pelajar STPM setelah menganut Islam bersama ibu dan adik lelakinya. Tekanan
makin terasa bila Ustazah Khadijah yang mengislam dan membimbing keluarganya
bertukar bersama suaminya Ustaz Muhammad kembali ke Semenanjung. Siti Fatimah
juga menghadapi sindirin dari guru-gurunya dan juga sahabat-sahabat yang sama
beragama Kristian sebelumnya. Tekanan memuncak apabila Siti Fatimah tidak
kecukupan wang untuk membayar pendaftaran peperiksaan STPMnya dan dia terpaksa
bekerja sambilan untuk mendapat kewangan. Penyelesaian berlaku bila Ustazah
Khadijah yang sejak pulang ke Semenanjung menghantar duit untuk STPM dan
bantuan lain kepada Siti Fatimah. Ini menyedarkan Siti Fatimah tentang sifat
ehsan Ustazah Khadijah gurunya dan sifat persaudaraan dalam Islam yang bersifat
tolong menolong. Cerpen ini agak langsung dengan mesej yang jelas.
(Siti Fatimah, dlm Baitullah ke Nabilah, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, 1994: XI – XIII, 1-19).
Keseluruhan cerpen-cerpen di dalam ketiga kumpulan agak
sederhana. Berbanding dengan cerpen-cerpen peraduan di bawah Jabatan Perdana
Menteri Hal Ehwal Islam, maka cerpen-cerpen peraduan di bawah Jabatan Perdana
Menteri, Hal Ehwal Islam secara menyeluruh lebih bermutu. Adalah didapati
peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam Peraduan Menulis Cerpen anjuran
Yayasan Pelajaran Islam bukan dari kalangan cerpenis-cerpenis yang pernah di
kenali, kecuali beberapa orang seperti Harun Haji Salleh, Othman Dol, Tuan
Sharif Tuan Putera, Ahmad J.Hussein, Abu Hassan Morad, Maskiah Masrom dan
Hasidah Disan. Walau bagaimana dengan adanya peraduan menulis cerpen berunsur
Islam yang dianjurkan oleh Yayasan Pelajaran Islam ini memperkayakan
bahan-bahan sastera Islam serta mempopularkan jenis sastera Islam berkenaan
yang dapat menyampaikan pendidikan Islam secara tidak langsung, iaitu melalui
sastera.
Sekian.
No comments:
Post a Comment