BBB, 15 Jamadil Akhir = 15 April 2014 (Selasa):
Peraduan-peraduan penulisan sastera berunsur Islam adalah
merupakan galakan secara formal. Ini tidak bererti penghasilan sastera Islam
tidak berlaku di luar dari pertandingan, bahkan sebenarnya penghasilan sastera
Islam lebih awal kedapatan dari perbincangan tentang sastera Islam dan peraduan
yang berkaitan dengannya.
Kita berpendapat kesedaran tentang sastera Islam di dalam
penulisan moden mula digerakkan di Kolej Islam Malaya yang mulai ditubuhkan
pada tahun 1955 itu. Zulkifli Muhammad adalah antara tenaga pengajar yang
memupuk bakat dan melahirkan penulis-penulis terkenal tanahair. Sepulangnya
Zulkifli dari menuntut di al-Azhar dan American University di Kaherah
(1947-1952) beliau ditawarkan menjadi Setiausaha di Kolej Islam dan juga selaku
tenaga pengajar. Bakat menulisnya yang tidak putus, walaupun semasa di Mesir dia
terus menghantar tulisan-tulisannya ke penerbitan di tanahair. Menurut Mokhtar
Petah:
``Sebagaimana yang rakan-rakannya ketahui dalam tahun inilah
(1947) namanya mulai muncul dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah tanahair,
di antaranya Majalah Mastika, Majalah Qalam, Majalah Hiburan, Akhbar Majlis
yang terbit di Kuala Lumpur, Akhbar Mingguan Utusan Zaman, Majalah Medan
Masyarakat yang diterbitkan di Pulau Pinang dan lain-lain lagi. Kemudian
namanya hilang selama beberapa bulan dan kemudiannya dapat kita temui namanya
dalam majalah-majalah dan akhbar di tanahair kita, tetapi namanya itu
menunjukkan dia berada di luar negeri, iaitu di Mesir.``
(Mokhtar Petah, Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan, Penerbit
Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 1965: 32-33).
Semasa di Kolej Islam pada mulanya dia dilantik sebagai
Setiausaha, kemudian menurut Mokhtar Petah,
``Dalam tahun 1957 dia diangkat menjadi pensyarah Kolej
Islam tersebut, sebagai seorang pensyarah dia bertugas mengajar ilmu-ilmu
Kesusasteraan Melayu, Ilmu Perundangan dan Tatanegara Islam dan Kesusasteraan
Arab.`` dan,
``Semasa berkhidmat di Kolej Islam Malaya dia diberi
penghormatan yang tinggi daripada Universiti Sri Wigading Indonesia . Penghormatan itu ialah
dengan memberi gelaran ``Profesor`` kepadanya.``
(Mokhtar Petah, 1965: 58).
Kertas-kertaskerja yang dihasilkan oleh Zulkifli Muhammad di
dalam berbagai bidang, termasuklah di dalam bidang kebudayaan dan kesusasteraan
dapat dilihat:
(Kamarudin Jaffar (Penyusun), Zulkifli Muhammad, Pemikiran
Dan Perjuangan, IKDAS Sdn. Berhad, Kuala
Lumpur , 2001: 13-183).
Dari didikan Zulkifli Muhammad di dalam bidang persuratan
dan kesusasteraan melahirkan penulis-penulis dan sasterawan terkenal tanahair
seperti Badaruddin H.O., Yahya MS., Yusof Noor, A. Munir, Hadhrami A.R., Marhan,
Adi Rumi, Sabda S., Mahyuddin Md. Taib dan lain-lain. Mereka menulis puisi,
bahkan menulis tentang konsep sastera Islam (Badaruddin H.O.).
Sebagaimana maklum Zulkifli menulis esei dan puisi-puisi.
Antara puisinya terhimpun di dalam: Zulkifli Muhammad, Gema Suci dan Zulkifli
Dalam Kenangan (Susunan A.Karim Haji Abdullah dan Abu Zaki Fadzil), Pustaka
Budaya Agency, Petaling Jaya, 1975: 44 hlm.. Puisi-puisi beliau dan Puisi-Puisi
Kenangan Terhadap Zulkifli terdapat dalam:
Mokhtar Petah, Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan, Pustaka
Aman Press, Kota Bharu, 1965: 162 hlm. Beberapa puisi beliau juga terdapat
dalam: Zulkifli Muhammad Perjuangan Dan Pemikiran (Penyusun Kamarudi Jaffar),
IKDAS, Kuala Lumpur ,
2001: 24-27. Dan terdapat dalam, Malam Puisi Islam, Gabungan Penulis Islam
Malaysia (GAPIM), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1399/1979: 16hlm.
Antra puisi Zulkifli yang terkenal:
Aku Hamba Tuhanku:
…
Di depan Pencipta kuasa meliputi diri
Rimba kejadian ini – bukan cakaran jenaka kebetulan
Bukan kelakuan manusia ini putera suka pilihan
Tidak berlumur lumpur paksaan semata –
Atau lepas lautan mengekor rasa selera
Kejadian teratur dengan takdir Maha Kuasa
Inilah aku bukan Tuhan, bukan syaitan.
(Fragmrn)
(Zulkifli Muhammad, Srgugus Puisi Alm. Prof. Zulkifli
Muhammad, 1975: 25).
Dalam puisi panjangnya `Aku Merintah` Zulkifli mengharapkan
umat Islam bangkit, katanya:
Aku Merintih
…
Ini umatmu bercakap dengan rumah ibadat
Dengan riuh bacaan, dengan teriak suara semata,
Lupa pada amal, pada kerja mencipta …
Inilah umatmu hina terbungkar,
Aduh, aku merintih padamu Nabi …
Bila Qur`an kembali digunakan dihayat kami ?
Bila pertunjukanmu menjadi bintang pelayaran,
Di segara hidup penuh pancaruba pesona,
Agar jiwa membawa semula kemuliaan
Dengan usaha tenaga baru bekerja
Bila Qur`an menjadi pemandu hidup semua ?
Tiada hanyut dibawa nafsu ke arus sesat
Bila hukum Islam berlaku seperti dulu ?
Membawa keadilan hak manusia di dunia …
Tak tertipu dengan godaan pengaruh melulu,
Ini kami berjanji padamu, Nabi,
Azam putus akan bekerja segera,
Dalam hidup dan mati,
Menambah mutu hidup umat bertambah kuat.
(Fragmen)
12 Rabiul Awal 1378.
(Gema Suci, 1975: 18-19).
Kematiannya dalam usia relative muda kerana kemalangan jalan
raya pada 6 Mei 1964 di jalan Kemaman-Kuantan semasa menjadi Ahli Parlimen
Bacok ditangisi semua pihak. Ruhi Hayat (Ahmad Boestamam) mencatat:
Mengenang Putera Terbesar Tanahair
(Prof. Zulkifli Muhammad)
Dalam usia mudamu kau telah pergi Oh Putera terbesar
tanahair
Sedang perjuangan suci ini baru di peringkat permulaan;
Turut bersama memenuhi ikrar abadi simpulan kasih
Isterimu yang setia – serikandi kebanggaan jenisnya.
Kelmarinmu dalam berjuang untuk menegak kebenaran
Mendapat kerelaan Tuhan diakui kawan dan lawan;
Sepanjang hayat singkatmu jasa-baktimu tiada tandingan
Siapa kini menapikan sejarah nanti membuktikan.
Bagiku peristiwa ini mengandungi kebenaran suatu pengajaran
Dan permulaan dalam perjuangan mesti mempunyai kesudahan,
Demikianlah perjuangan suci ini yang kau mulakan dengan
keimanan
Pasti berkesudahan dengan kemenangan namun diteruskan
Dengan penuh keyakinan dan kegigihan
Oleh mereka yang tinggal menerima warisan.
Dari tempat tahananku yang sempit ini aku mengenang
Perpisahan kita yang nanti berakhir juga dengan pertemuan,
Sejahteralah oh putera tanahair dalam persemadianmu yang
terakhir
Dan semoga lahirlah lebih banyak anak-anak
Putera-puteri bangsa yang mengikut jejak langkah mahu
bergerak
Muar 9 Mei 1964. Ruhi Hayat.
(Gema Suci, 1975: 33).
Mokhtar Petah mencatat ungkapan:
Zul Dalam Kenangan
…
Zul,
Bagi semua pujangga kau sasterawan bangsa
Kau negarawan ulung di atas bumi pusaka
Penjunjung kalimah quddus kau ulama kesatria
Ibn Khaldun rakanmu, Iqbal taulanmu.
Zul,
Bila kala kau ditatang melintasi wajah kami ke pusara
Demi Tuhan titisan airmata kami membasahi bumi
Pada hibalah kami menyambut pamitanmu di hujung masa
Aku rakanmu, dalam gelanggang yang sama.
Zul,
Bersemadilah,
Ke syurgalah,
Madahlah,
Kami ini insan masih berkayuh bedok jua
Bagi bumi, bagi bangsa menjunjung perintah Pencipta segala.
(Mokhtar Petah, 1965: V-VI).
Dengan bukti-bukti diperkatakan jelas Zulkifli Muhammad penggerak
kesedaran dan penggerak Sastera Islam bermula dari Kolej Islam, Klang, Malaya .
Sekian.
No comments:
Post a Comment