April 7, 2014

Anugerah Sastera Darul Iman - Peraduan Penulisan Kreatif Berunsur Islam

-->
BBB, 06 Jamadil Awwal 1435 = 06 April 2014 (Sabtu):

Setelah mengadakan seminar berhubung dengan Sastera dan Agama dan Sastera Melayu dan Islam, maka perbincangan mengenai `Sastera Islam` menjadi hangat dan diperkatakan oleh banyak pihak. Ada yang berpendapat bahawa Sastera Islam adalah sastera dakwah (Yusof Zaki Yaakob), Sastera Islam ialah sastera berpaksikan tauhid (Ismail Ibrahim), Sastera yang dihasikan oleh mereka yang commited dengan Islam dan pandangan hidupnya (Kamal Hassan) dan Shahnon Ahmad `Sastera Islam ialah sastera yang dicipta kerana Allah dan berhikmat untuk manusia, Sastera Berakhlak dan sebagainya (Kassim Ahmad & Shahnon Ahmad, Polemik Sastera Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987: 3) juga Shahnon Ahmad Kesusasteraan Dan Etika Islam, Fajar Bakti, Kuala Lumpur, 1981: 10-11).


Perkembangan selanjutnya berikut dari perbincangan tentang definisi, sesungguhnya Sastera Islam tidak menjadi kenyataan tanpa penghasilan karya, maka kita dapati Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan YAB Dato` Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad Menteri Besar Terengganu meneruskan keterlibatan negeri itu dengan kegiatan memperkembangkan Sastera Islam. Kalau sebelum ini kita telah memperkatakan Peranan Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Islam menganjurkan Peraduan Cerpen Berunsur Islam – (Pertengahan 1970an – 1987) dan Yayasan Pelajaran Islam menganjurkan Peraduan Cerpen Islam (1987 – 1995), maka kita dapati bidang kreatif popular yang masih belum diisi dengan Peraduan Penulisan Berunsur Islam ialah bidang novel dan puisi (kecuali peraduan novel dan puisi sempena Abad 15H. tapi tidak bersiri, bakal dibicarakan).

Menyedari tentang kekosongan terutama Peraduan Menulis Novel Berunsur Islam ini, maka Kerajaan Negeri Terengganu yang mula mencetuskan kesedaran menulis karya kreatif berunsur Islam mengambil inisiatif menganjurkan peraduan berkenaan. Peraduan ini dinamakan:

Anugerah Sastera Darul Iman (ASDI)

Anugerah Sastera Darul Iman permulaan ini (1) telah menganjurkan Peraduan Penulisan Novel sebagai bidang peraduan. Peraduan bagi ASDI Pertama ini telah diumumkan pelancarannya oleh YAB Dato` Seri Amar Di Raja Menteri Besar Terengganu pada 20 April 1981 di dalam satu majlis yang dihadiri oleh pengarang-pengarang Nusantara yang memaksudkan peraduan ini tidak saja terbuka kepada rakyat Malaysia, tetapi juga terbuka kepada penulis-penulis luar Malaysia yang mampu berbahasa Melayu. Peraduan penulisan novel ini ditutup pada 31 Ogos 1983. Sekretariat Peraduan Novel ini dikendalikan oleh pihak PELITA.


Seingat Penulis selaku ahli panel penilai, memang terdapat peserta-peserta dari luar Malaysia yang menyertai peraduan. Walau bagaimana setelah panel penilai menilai tiada novel-novel yang dinilai mencapai tahap yang melayakkan untuk diberi hadiah sebagi novel Islam bermutu. Lantaran itu tiada anugerah diberi, tetapi dikeluarkan Hadiah Penghargaan dan Hadiah Bakat.

Hadiah Penghargaan

Novel Arbain karya Sujaidi Dasuki (Sabda S)
Novel Seorang Guru Tua Karya A. Rahman Harun

Hadiah Bakat

Novel Kasih dan Sayang Karya Ali Huda
Novel Mentari Di Ambang Senja Karya Nila Sartika
Novel Daerah Asing Karya Harun Haji Salleh.

Untuk mengatakan kekurangan penyertaan novel bermutu kerana masa tidak kecukupan bagi menghasilkan sesebuah novel mungkin tidak tepat, oleh kerana masa yang diperuntukkan ialah lebih dari 2 tahun. Kemungkinan bahawa peserta kurang memahami dimaksudkan dengan Novel bertema keislaman, lantas tidak mampu menghasilkan sebuah novel yang benar-benar diharapkan mencapai mutu yang baik, khususnya sebagai novel sulung dihasilkan dari pertandingan,  jika tak pun sebuah novel ulung bertemakan Islam.


Oleh kerana tidak ada novel yang mencapai mutu standard sebagai novel berunsur Islam dan tiada hadiah dikeluarkan, maka tidak ada novel diterbitkan. Kebiasaan jika diterbitkan ialah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dan nampaknya tidak diterbitkan oleh DBP. Walaupun tidak ada novel berciri Islam menang Hadiah Utama dari ASDI I, ini tidak merencatkan semangat penganjur, maksudnya Kerajaan Negeri Terengganu, kerana pertandingan menulis novel dan bidang yang lain diteruskan berikutnya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment