April 17, 2014

Kuntum Puisi Islam Di Taman Sastera Tanahair Berkembang - Bermula Bicara Tentang Nahmar Jamil

-->
BBB, 16 Jamadil Akhir 1435 = 16 April 2014 (Rabu):

Sama ada disedari atau tidak disedari tentang perbincangan Sastera Islam, khususnya selepas 1970an ada kalangan penyair yang memang hidup dalam budaya Islam atau menerima perubahan dengannya, berorientasi dan bersudutpandangan Islam yang telah menulis dan terus menulis, maka kuntum-kuntum sastera, khususnya puisi yang lahir mewangi dengan nilai-nilai Islam. Dilihat dari tahun 1950an (tidak termasuk penyair-penyair Kolej Islam yang telah dibicarakan), hingga kini sesungguhnya banyak kuntum-kuntum yang berkembang menebar wangian beraroma Islam.


Sesungguhnya bila memilih susunan buku puisi di rak buku apa lagi meneliti kandungan ada semacam keharuan, betapa sekian banyak kejerihan dan ilham yang telah dicurahkan oleh para penyair – silam dan kini, semuanya tidak lain daripada curahan minda dan rasa kepada mutiara kata yang terpancar darinya nilai kemanusiaan dan kebijaksanaan yang mengalir ke tasik budaya dan peradaban manusia. Semuanya adalah menarik dan berharga.  Cuma dalam konteks ini terasa semacam ketidakwajaran memisahkannya kepada pecahan dan aliran, mengkhusus kepada beraliran Islam. Namun bagi kepentingan pembicaraan dan melihat kelainan dari kalangan mereka, maka dari dekad 1950an hingga kini ketara mereka adalah dalam jumlah belasan menjadi pemilihan untuk dibicarakan.

Sebagaimana Suhaimi Haji Muhammad yang seluruh hayatnya menumpukan masa kepada penulisan – khususnya puisi, demikian Nahmar Jamil menumpukan seluruh hayatnya di dalam penulisan juga terutama di dalam bidang puisi, walaupun jumlah puisi dan kumpulan puisinya tidak sebanyak yang dihasilkan oleh Suhaimi Haji Muhammad. Dengan latarbelakangnya yang mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kangar dan IV Thanawi Sekolah Arab Alawiah al-Diniah Arau mendekatkan beliau dengan sumber bacaan keislaman, khususnya di dalam bahasa Arab. Beliau menghasilkan puisi-puisi yang banyak bernilai Islam. Beliau juga menterjemahkan karya-karya berbahasa Arab ke dalam bahasa Melayu. Sepanjang keterlibatan beliau di dalam penulisan beberapa kali beliau menerima hadiah seperti Hadiah Sastera Malaysia (1971) bidang puisi bertajuk ``Kucuba Bunuh Engkau``. Hadiah cerpen yang dianjurkan oleh Maktab Perguruan Idris, Tanjung Malim 1959 dan saguhati peraduan menulis cerpen anjuran Bahagian Islam, Jabatan Perdana Menteri. Kumpulan cerpen pertamanya yang diterbitkan ialah Nyonya Dan Nyonya (Usaha Remaja, 1972). Tetapi tumpuan utamanya ialah bidang puisi. Setakat ini tiga buah kumpulan puisinya telah diterbitkan, iaitu Pohon-Pohon Hijau (DBP, 1974), Telah Dewasa Kita (Penerbitan Zaharah, 1977) dan Catatan Tiga Kota (DBP, 1986). Atas kegigihan Nahmar menulis beliau diberi peluang mengikuti Kursus Penulisan Kreatif di Universiti Sains Malaysia selama setahun (1976).


Meneliti puisi-puisi Nahmar beliau menanggapi satu-satu persoalan yang dijadikan bahan penulisannya – puisi adalah secara ringkas dan memang kebanyakan puisi-puisi Nahmar juga ringkas, contoh puisi:

Waktu Adalah Anugerah

Inilah saat tepatnya
Sekian tahun mencari
Pengertian jejak waktu.

Madah Sufi Ibn Arabi
Waktu adalah
Anugerah dari ALLAH
Kepadanya ia kembali.

Kita diberi kesempatan
Ruang dan amal
Mengisi takwa
Memurni kehidupan
Di bumi indah
Di jantung singkat.

Inilah saat tepatnya
Sekian tahun mencari
Pengertian jejak waktu

Pulau Pinang,

6 Ogos 1976.
(Ahmad Kamal Abdullah dan Mohd Hanafi Ibrahim, Mengenangmu, Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur: 1989: 377).

Idea puisi ini – tentang waktu jelas dan bahasanya lancar. Puisi ini mungkin dihasilkan Nahmar semasa mengikuti Kursus Penulisan Kreatif di USM.

Sebahagian daripada puisi-puisi Islam Nahmar ialah rakaman semasa beliau menunaikan Haji yang diberi judul `Catatan Tiga Kota`  dimaksudkan  Jeddah, Makkah dan Madinah. Ketara puisi-puisi dalam kumpulan ini juga ringkas-ringkas, ada ciri estetik, tapi ringan dari segi penampilan. Contoh:

Tawaf Wida`

Tidak dapat kupujukkan kesedihan
Ketika mengucapkan tawaf wida`
Telah kunikmati musim cinta kerohanian
Entah dapat kukembali ke sini atau tidak.

(Nahmar Jamil, Catatan Tiga Kota, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1986: 18).
Contoh seterusnya yang ciri kepuisian dan pengucapan agak bersamaan.

Di Makam Junjungan

Ketika mengucapkan salam salawat
Tiba-tiba basah air mata di pipi
Bagai basah hujan di kaca jendela
Keajaiban yang tak tertafsirkan
Lalu kubisikkan kepada diri
Telah sempurna di sini
                        Cintaku.

(Catatan Tiga Kota, 1986: 48).

Berbanding Nahmar dengan Suhaimi yang telah diperkatakan sebelum ini, gaya puisi dan cara pengucapan Nahmar tidak begitu berubah yang bererti kurang menampakkan perkembangan, berbanding dengan Suhaimi semakin akhir semakin serius dan semakin mendalam dan semakin intim dengan keislaman, khususnya dalam bidang kerohanian yang dapat dilihat dari kumpulan Wujud, As-Salam dan Asyik.

Sekian.

No comments:

Post a Comment