May 28, 2014

UKM Di Era Canselor Tun Abdul Razak

-->
BBB, 27 Rajab 1435 = 27 Mei 2014 (Selasa):

Perlantikan Tun Razak sebagai Canselor Pertama UKM sejak Julai 1970 (pengumuman) memberi keyakinan dan kekuatan semangat kepada mahasiswa UKM dan UKM sendiri. Ini bukan sahaja Canselor Pertama diterima UKM, tetapi juga adalah satu-satunya universiti yang Canselornya adalah seorang Perdana Menteri yang selepas itu hingga kini tiada lagi universiti di Malaysia yang Canselornya adalah Perdana Menteri. Perlantikan Tun Razak menjadi Canselor UKM melengkapkan visi dan misi Tun Razak yang pada masa menjadi Menteri Pelajaran di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tengku Abdul Rahman terhasilnya Penyata Razak yang menjadi landasan pendidikan di Malaysia dari peringkat rendah membawalah kepada peringkat pengajian tinggi.


Tun Razak sebagai Canselor juga memberi perhatian untuk kejayaan UKM dengan melantik Pegawai Tadbir dan Diplomatik Kanan Kerajaan Persekutuan sebagai Pendaftar Pertama UKM, iaitu Tun (dulu Datuk) Abdullah Salleh, manakala Naib Canselor kedua selepas Tan Sri Rashdan Baba, ialah Dato` Dr. Ariffin Ngah Marzuki yang antara misi perlantikan beliau ialah bagi merangka persediaan bagi UKM mendirikan Fakulti Perubatan (1974) yang bermula di General Hospital Kuala Lumpur kepada kampus di Cheras hingga kini.


Sebagaimana telah diperkatakan bahawa budaya pembelajaran di UKM banyak terpengaruh dengan budaya Universiti Malaya yang menjadi jiran terdekat, misalnya dengan menggunakan sistem penggal dan berterusan setahun bagi kursus. Dalam sistem penggal ini mahasiswa memilih subjek bagi keperluan satu penggal. Bagi sistem ini mahasiswa mesti lulus semua matapelajarn yang diambil. Andainya ia masih tidak lulus selepas diberi peluang mengulangi peperiksaan kertas yang dia tidak lulus, maka dia kena ulang semua pelajaran yang diambilnya bagi setahun. Ini berlainan dengan sistem semester, mahasiswa perlu mengambil sejumlah unit kursus bagi semester itu, kalau tidak lulus boleh dibawa ke semester akan datang atau menukarkan kepada kursus lain yang sama nilai unit. Tidak ada istilah tidak lulus hingga tidak boleh naik ke `darjah/tahun`lain. Apa yang perlu pelajar mesti menghimpun, katakan 99 unit lulus bagi tiga tahun bagi melayakkannya menerima ijazah. Selagi tidak cukup unit dia boleh tunggu melengkapkan unit yang melayakkannya menerima ijazah. Setiap semester mahasiswa mengambil mata pelajaran yang berlainan dari sebelumnya. Jika dia tidak lulus satu pelajaran dia tidak dikehendaki mengulang semua pelajaran yang dia telah lulus sebab tak lulus satu pelajaran dari semua pelajaran yang dambil ! Penilaian bagi sistem semester bukan semata-mata pada peperiksaan akhir tapi bersifat berterusan. Tidak sebagaimana sistem penggal. Beban sistem penggal ini ditanggung oleh mahasiswa UKM lantaran menurut sistem penggal yang dipraktikkan semasa kampus di Jalan Pantai.

Di samping menurut budaya pembelajaran di Universiti Malaya ada kelainan dari segi tempoh pengajian. Di Universiti Malaya bagi Ijazah lain dari perubatan tempoh pengajian adalah tiga tahun sahaja yang melayakkan mahasiswa yang lulus mendapat ijazah kepujian atau am sahaja. Tetapi di UKM sistem pengajian untuk ijazah pertama adalah 4 tahun. Rasional pihak pentadbir untuk memantapkan keilmuan mahasiswa. Bagi tiga tahun pengajian di UKM mahasiswa dikehendaki mengambil tiga major kursus tahun pertama, tahun dua dan tiga dua major dan jika lulus dikurniakan Iajazah Am dan layak menyambung ke tahun kepujian dengan memilih subjek major terbaik dari dua major yang dia lulus. Tidak ramai yang tidak layak ke tahun kepujian. Pada tahun kepujian pelajar dikehendaki menghasilkan latihan ilmiah di samping mengikuti kursus setahun bagi ijazah kepujian.  Apa yang nyata  ramai mahasiswa yang menghasilkan latihan ilmiah yang hebat dan tebal-tebal, kadang-kadang menyamai kajian peringkat ijazah lanjutan. Di samping ada kebaikan system 3 + 1 yang dapat memantapkan keilmuan dan mematangkan mahasiswa dan sudah mampu menghasilkan kajian ilmiah menyamai peringkat ijazah sarjana, sistem ini dianggap menderakan pelajar, terpaksa belajar lebih setahun berbanding dengan Universiti Malaya hanya tiga tahun sahaja. Tempoh yang lebih dari tahun 3 tahun ini menyebabkan tidak ramai yang memilih untuk ke UKM. Selain daripada itu mahasiswa yang berjaya menyambung pengajian tahun empat, terpaksa berusaha mendapat biasiswa tambahan setahun lagi, kerana biasiswa yang disediakan selama ini untuk tempoh tiga tahun sahaja bagi ijazah pertama. Pengalaman di atas dialami Penulis sendiri dalam mana tahun pertama mengikuti tiga major, bila tahun kedua dan ketiga 2 major (Penulis major Kesusasteraan Melayu dan Sejarah dan menerima Ijazah Am bagi kedua-dua major subjek berkenaan dan tahun kepujian memilih major Kesusasteraan Melayu, walaupun layak juga bagi sejarah). Jadi Penulis menerima Ijazah Am bagi Kesusasteraan Melayu dan Sejarah pada tahun 1973 dari Canselor Tun Razak di Parlimen dan menerima Ijazah Kepujian tahun 1974 dalam bidang Kesusasteraan Melayu. Sistem penggal 3 + 1 berubah, selepas UKM berpindah ke Bangi yang memilih sistem semester selama 3 tahun (6 semester dengan pilihan matapelajaran mengikut keperluan unit).


Penulis tidak memperkatakan tentang kegiatan mahasiswa, kerana telah memperkatakan hal ini di dalam blog ini sebelum ini. Apa yang dapat dikatakan bahawa pengajian berjalan lancar dari tahun 1971-1974 yang mana UKM mengeluarkan graduan sulungnya seramai 195 orang bagi Fakulti Sains, Sastera dan Pengajian Islam. Berhubung dengan suasana pengajian ini penulis ada mencatat setelah 7 bulan pengajian:

Buat UKM

Tujuh purnama
Di bawah kepakmu
Terasa
Aku bagai musafir di gurun pasir
Yang haus mendapat air.

Tujuh purnama
Di bawah kepakmu
Tilikku
Detik-detik masa yang kulalu
Adalah titik-titik tinta
Terakam di kalbu.

Dulu datangku penuh azam
Kini pulangku penuh bimbang.

Universiti Kebangsaan Malaysia
21 Januari 1971.
(Madu Ilmu, 1999: 157).

Bimbang di atas ialah kemungkinan tidak mencapai keputusan peperiksaan dengan memuaskan. Kehidupan di kampus jika tidak ke kuliah atau tutorial, maka kebanyakan masa dihabiskan di perpustakaan. Penulis mempunyai beberapa buah puisi berkenaan perpustakaan. Ini adalah antara yang terawal digubah bertemakan perpustakaan:

Di Perpustakaan

Di gedung ini
Hari yang berkunjung pasti terkurung
Mentari berlabuh di dahi tersalji
Beku antara buku-buku.

Di siang yang cepat
Di malam yang lewat
Aku terhambat
Dipalu detik-detik waktu
Jatuh menggelepar antara lembar.

Sehari-harian
Mataku bergulingan
Dari laman ke laman
Jari-jariku bercakaran
Dari garisan ke garisan
Hingga mentari gugur sendiri
---- mati di kaki
Dan unggun-unggun buku membakar diri
---- aku lali.

Universiti Kebangsaan Malaysia
Jun 1972.
(Madu Ilmu, 1999: 118).

Demikian tumpuan diberi kepada mengunjungi perpustakaan mencari bahan-bahan keilmuan dan rujukan. Diri dalam intense dan tertekan mengejar masa di dalam mencari bahan bagi menyediakan esei bagi tutorial dan puncaknya menghadapi peperiksaan.
Pada dasarnya keluaran UKM tidak begitu berbeda dari segi mutu, jika pun tidak boleh dikatakan sebagai lebih baik berbanding dengan keluaran Universiti Malaya.


Canselor Tun Razak hanya menjadi Canselor UKM dari 1970-1973 dan berkesempatan menyampaikan satu kali saja Ijazah (Am) bagi 1973 di bangunan Parlimen dan pada tahun berikutnya – Tahun 4 (Kepujian) 1974 disampaikan oleh Canselor Kedua UKM iaitu Tuanku Jaafar Ibn Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman juga di Parlimen sebagai terbukti di dalam gambar dan Naib Canselor pada masa itu ialah Tan Seri Anuwar Mahmud.

Sekian.

No comments:

Post a Comment