May 3, 2014

`Negeri Di Bawah Bulan` Dan `Ruang Dalam` - Unsur Islam Kumpulan Puisi Abdulhadi Muhamad

-->
BBB, 02 Rajab 1435 = 02 Mei 2014 (Jumaat):

Membaca tajuk `Negeri Di Bawah Bulan` pembaca sudah dapat meneka tentang negeri dimaksudkan penyair. Untuk lebih jelas kita baca ungkapan berikut:


Sajak Negeri Di Bawah Bulan

Tanah anugerah hutan tropika
Bersempadan genting di utara
Wilayah bertuah hijau menawan.

Pantai cahaya bulan sejahtera
Daratannya dipupuk angin aman,
Anak negeri diajar ingatkan Tuhan.

Darul-Naim menyata hikmat sentiasa
Si Kijang berjinak bebas di taman iman

Nyanyi wau bulan teraju tiga
Teraju iman
Teraju Islam
Teraju ihsan
Hakikat ibadat dan muamalat
Hidup selamat nikmat dunia akhirat

Kita mau jadi umat terbaik
Keluar menemui manusia lain
Menyuruh mereka kepada ma`ruf
Mencegah mereka buat munkar
Memohon Allah membuka hati setiap tamu
Ampunilah, sungguh mereka masih tidak tahu.

Tapang Panji,
1 Jamadil Akhir 1429.
(Abduhadi Muhamad, Negeri Di Bawah Bulan, Pustaka Dewan Puisi, Kota Bharu, Kelantan, 2008: 79).


Penyair Abdulhadi adalah berkelahiran di negeri Melayu – Takbai, Narathiwat bersempadan dengan Negeri Di Bawah Bulan – Kelantan, berwarganegara Malaysia, lahir 1954. Belajar di Ma`had Muhammadi, Kota Bharu, kemudian ke Kolej Islam Kelang (1971-74) dan ke Universiti Kebangsaan (1975-1979). Kemudian berprofesyen sebagai guru. Telah dibicarakan sebelum ini Abdulhadi antara pengasas Grupemuisi UKM dan giat menulis terutama di dalam bidang puisi. Puisinya terhimpun di dalam berpuluh-puluh antologi. Kumpulan puisi persendiriannya antaranya ialah Negeri Di Bawah Bulan (2008) dan Ruang Dalam (1986). Pernah memenangi Hadiah Utama Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1985) Hadiah Sastera Malaysia (1984/85. 1986/87) dan Hadiah Sayembara Puisi Kebangsaan Esso-Gapena (1989).
Sebagai seorang penyair berlatarbelakangkan pendidikan Islam sebahagian daripada puisinya bernafaskan keislaman. Abdul Hadi mengecam secara halus tentang amalan khurafat dengan menggunakan bomoh hujan. Gambaran musim kemarau diungkap secara halus:

Musim Kemarau

Seperti semula
Hujan tidak turun
Cebis suratkhabar disapu
                       Angin ke kaki pipa
Pekerja jalan memasak tar
Membuka topi pandang mentari
                        Meratah dahi
                        Langit telanjang luas
                        Akal terikat kemas.
….
(Abdulhadi Muhamad, Negeri Di Bawah Bulan, Pustaka Dewan Puisi, Kota Bharu, Kelantan, 2008: 15).

Bila berlaku kemarau seperti digambarkan di atas, orang ramai resah, tetapi bila hujan ada yang mau menghalangnya, antaranya dengan menggunakan bomoh. Abdulhadi tidak setuju menggunakan bomoh baik bagi meminta hujan atau menahan hujan.
Secara halus dan menarik Abdulhadi menentang amalan khurafat yang bercanggah dengan Islam – menyalahi akidah.

Kepada Bomoh Hujan

Per: Menangguhkan Hujan
Tuan,
Dukacita permohonan itu ditolak, jam petang
Seperti selalu mentari memberi laluan
Masyarakat katak lebih bersatu meminta
Kaum tani lama menadah sawah kemarau
Merekah tanah,
Maaf.

Kerana awan yang sarat mengandung angin perlu
Mendokongnya, sayap ribut segera akan
Menggugurnya; meski kauasapi alam maya ini
Dengan kemenyan atau jampimu menarik
Mentera sekalipun

Maaf lagi,
Mohonlah lain kali.
Jun 1985.

Perlu ditarik perhatian, bahawa dengan kemampuan imaginatifnya Abdul Hadi tidak menggambarkan sesuatu persoalan secara langsung sebagaimana di dalam penulisan prosa, tetapi diambil angle yang berlainan dengan bahasa yang lembut dan menarik.

(Negeri Di Bawah Bulan, 2008:1).

Tentang kesesatan, berbicara tentang kaumnya yang sesat Nabi Ibrahim menunjukkan kebatilan amalan kaumnya. Abdul Hadi menggambarkan:

Ulul-Azmi

Memang kapak itu tergantung di leher
Batu kaku terbesar itu, tanyalah ia
Siapa pemusnah mengerjakan bala petaka
Di rumah sembahan tempoh waktu;
`Tuhan` itu berterusan membisu
Menyembunyikan kemustahilannya.
(Negeri Di Bawah Bulan, 2008: 34).

Selain dari membicarakan tentang Nabi Ibrahim turut dibicarakan tentang Ashabul-Kahfi (37) dan Oweis el-Qarni (42). Abdulhadi juga membicarakan tempat-tempat di Tanah Suci yang dilawati seperti, Sepohon Doa di Jabal Rahmah (53), Masjid Namirah Di Tengah Arafah (54), Masjid Ja`ranah (55). Abdulhadi juga membicarakan tajuk-tajuk seperti Mengenai Ramadhan dan Syawal (5-6).


`Ruang Dalam` adalah kumpulan puisi awal Abdulhadi di dalam keterlibatannya di dalam bidang puisi. Lebih tepat semasa beliau menjadi mahasiswa UKM. Beliau sedang berexperimen dengan membina gaya dan identiti. Sedari awal Abdulhadi menampilkan gaya pengucapan tersendiri. Namun berbanding dengan `Negeri Di Bawah Bulan` (89hlm.), `Ruang Dalam` (56hlm.) lebih sedikit dari membawa tema-tema keislaman, tetapi menarik dari segi pengucapan perpuisian. Perlu dicatat jua kedua-dua puisi beliau yang memenangi Hadiah Sastera Malaysia `Ruang Dalam` dan `Urir Char` terkandung di dalam kumpulan puisi ini.

Antara tema-tema keislaman di dalam Ruang Dalam ialah Namamu Mama (15), Memo Seorang Murid – Buat Profesor Mukhtar Lintang (39) dan Di Meja Makan 1986 (56).
Namamu Mama adalah penghargaan terhadap Ibu. Antara ungkapannya:

….
Biarkan malam membawa lena
Biarkan siang mendepa warna
Antara bulan dan matahari
Balasnya sekasih setia
Neracanya selangit doa.
(Abdulhadi Muhamad, Ruang Dalam, Kumpulan Penyajak Mutakhir Malaysia (Penyair), Kuala Lumpur, 1986: 15).

Manakala Memo Seorang Murid, ialah penghormatan Abdulhadi kepada gurunya Profesor Mukhtar Lintang tentang keilmuan kerohanian yang diterima darinya, Pak Mukhtar Lintang antara yang terawal mempraktikkan Perubatan Islam berdasarkan ayat Qur`an. Beliau menyebarkan kaedah perubatannya di Bangi. Ada pengaruh dan peranannya yang membawa kepada lahirnya pengubatan Daru al-Shifa` Dato` Dr. Haron Din di Bandar Baru Bangi.

Abdulhadi mencatatkan peristiwa Chernobyle di India yang kebocoran debu nuclear membawa petaka pada penduduk setempat. Peristiwa malang ini bercanggah dengan keislaman dan kemanusiaan.

Di Meja Makan 1986

Hujan kelabu menyerapi gelas minum
Mangkuk sayur menghidang ketakutan

Debu amaran di hujung rumput
Ternakan dilarang meragut

Kanak-kanak dibatas bebasnya
Para tamu terganggu oleh sisa
Kuasa radiasi mengedar bala
Barah dan leukemia.

(Ruang Dalam, 1986: 56).

Demikian ilham penyair dari Negeri Di Bawah Bulan. Kita sudahi dengan:

Sajak Negeri Di Bawah Bulan 2

Serambi Tanah Suci itu
Sekitarnya dilingkung iklim molek
Taman Sekebun Bunga lagi wangi dan cantik.

….
Di pantai Irama tetap berombak
Bagai debur dada dara menanti esok
Menanti terang purnama menamat degup
Degup-degup gundah mengenang usia
Gundahnya membuka antara rahsia.

10 Jamadil Akhir 1429
Tapanji.

Sekian.

No comments:

Post a Comment