May 24, 2014

UKM 44 Tahun Usia Kukunjunginya Selepas 15 Tahun Bersara: Universiti Masih Tercari Identiti ?

-->


UKM setelah sekian lama kutinggalkan
Kini di penghujung usia selaku alumni
Berkesempatan datang di atas jemputan
Membawa rindu perpisahan
menelusuri kenangan
menemui kawan
Meninjau kemajuan.

Kuikuti taklimat Naib Canselor
Tentang harapan dan kerisauan
Syarahan ringkas kawan-kawan
(Masih bertahan lewat persaraan)
Imbauan, kenangan dan saranan
Universiti menuju setengah abad
Relatif muda sebuah institusi
Tapi cukup dewasa bagi diri
44 sekadar menjenguh ke belakang
Ukuran maju-mundur pencapaian.

Sambutan ini secara kekeluargaan
Ruang-peluang dialog perbincangan
Menilai diri mengukur prestasi
Pertama persoalan bahasa kebangsaan
Di kampus makin kurang penulis mapan
Di luar makin luntur tahap keyakinan
Lupakah kalian pada harapan
Petani, nelayan, buruh, majikan
Tangan-tangan menjulang perjuangan
Mendirikan Universiti Kebangsaan
Tanpa menafikan kepentingan bahasa dunia
Tapi jangan jadi Si Tenggang moden
Kehilangan akar hanyut di lautan.

Mendekati usia setengah abad
UKM dengan ranking tak mantap
Timbul pada minda persoalan
Apakah inti pencapaian dimegahkan
Identiti bagaimana mau ditegakkan
Di manakah falsafah ke manakah arah
Masih kabur dan berbalam
Dengan imej mengukuhkan.

Usia 44 tahun sudah dewasa
Ada ruang peluang menonjol jasa
Melalui taklimat dan ucapan
Tak salah menggilap yang silam
Tapi mana sumbangan sendiri
Masih tiada penemuan menyerlah
Masih tiada tokoh untuk dimegah.

Selepas 44 tahun bertapak
163,000 alumni bertebaran
Dengan jumlah terus bertambah
Tiada tercetus kecintaan
Memimpin alumni ke depan
Megah dengan universiti
Giat dengan berbagai aktiviti
Menjulang nama universiti.

Di usia 44
Universiti di perbukitan Bangi
Masih mendaki masih tercari
Identiti menyerlahkan diri.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,
19 Rajab 1435
19 Mei 2014.

No comments:

Post a Comment