May 15, 2014

Pas Mau Mandat Bersih Dari Rakyat, Tidak Mau Ambil Kesempatan. Kemelut Politik Terengganu Sekadar Kejutan Dalaman Umno

-->
BBB, 14 Rajab 1435 = 14 Mei 2014 (Rabu):

Dalam kemelut dan krisis politik yang berlaku di Terengganu, Pas mengambil sikap  dan pendirian, bahawa Dewan Negeri perlu dibubarkan, jika BN kehilangan mandat. Pas mau mandat bersih daripada rakyat. Jika peluang untuk menguasai Dewan Negeri Terengganu terbuka. Misalnya dengan keluarnya 3 Adun Umno dari Dewan Negeri Terengganu dan menjadi ahli bebas, maka Pas tidak mau jika mendapat kuasa  dengan Adun Bebas dituduh sebagai menangguk di air keruh, lantaran ianya tidak sebenarnya mendapat mandat bersih dari rakyat.


Pendirian dan sikap di atas ditegaskan oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu Y.B. Saiful Bahri Mamat yang juga Adun Paka sebagai keputusan yang diambil oleh Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu. Bahkan dalam hal ini Pas memberi peluang kepada Umno untuk memulihkan kemelut politik yang dihadapinya. Dalam kata lain Pas melihat kepentingan strategi politik jangka panjang yang boleh dinilai rakyat, bahawa kejujuran bukan saja dari segi ibadat dan muamalat, tetapi juga di dalam politik dan pentadbiran.

Selari dengan kejujuran di dalam berpolitik, Pas nampaknya tidak menyimpan dendam terhadap BN meskipun ada peluang terbuka untuk bertindak kembali. Adalah dikatakan bahawa: `History Repeats Itself`` dan ini berlaku terhadap Pas dan PR.

Sejarah berulang dimaksudkan berlaku dengan kemelut terbaru menguji Pas di negeri Terengganu sendiri. Pada pilihanraya 20 Jun 1959 Pas memenangi 13 daripada 24 kerusi di Dewan Undangan negeri Terengganu, manakala 4 kerusi daripada 6 kerusi pada peringkat parlimen. Pas memerintah Terengganu dengan Menteri Besar ialah Mohd Daud Samad (Setiu). Umno dalam Perikatan memperdaya Wakil Rakyat Parti Negara membawa usul tidak percaya kepada kerajaan negeri Pas pada 30 Oktober 1961 yang dalam pengundian 8 Adun Perikatan dan 2 Adun Parti Negara menyokong undi tidak percaya, manakala 7 Adun Pas mempertahan dengan 3 Adun Pas berkecuali (Husin bin Jusoh, Hulu Besut, Ahmad Azam bin Hanafiah, Jeram dan Muhammad bin Ismail, Besut Tengah) dan Speaker dari Pas Mohd Taib Sabri tidak mengundi, sedangkan dua orang Adun Pas (Haji Wan Said Mohd Noor, Kuala Besut dan Haji Abdul Kadir bin Mohammad, Kuala Terengganu) tidak hadir kerana dipercayai diculik oleh pihak Umno dan disembunyikan di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Manakala seorang lagi Adun Pas, iaitu Omar bin Abdul Rahman diperintah keluar Dewan kerana dikatakan melanggar peraturan sebelum pengundian dijalankan. Demikianlah dengan tektik, helah, tipu daya dan kidnap parti lawan serta kelemahan Pas sendiri, maka kerajaan Pas di Terengganu ditumbangkan pada 30 Oktober 1961 setelah memerintah selama 2 tahun 4 bulan dan 10 hari sahaja.


Begitu juga Pas bersama PR di negeri Perak pada pilihanraya ke 12 berjaya menguasai dan memerintah negeri Perak dengan Menteri Besar Y.A.B. Dato` Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin dari Pas menjadi Menteri Besar Perak dengan PR menguasai 31 Kerusi dan BN sebanyak 27 kerusi, namun dari manipulasi politik pihak BN berlakunya lompatan ahli dari PR kepada bebas dan BN. Sebelumnya pergelutan fizikal juga berlaku di dalam Dewan Undangan negeri Perak di dalam menguasai majoriti, tetapi pada akhirnya pihak BN menguasai pemerintahan di negeri Perak pada 5 Februari 2009.


Dari apa yang berlaku terhadap Pas dan Pakatan, pada perkiraan biasa, bila berpeluang ada tentulah tindakan balas diambil, tetapi tidak bagi Pas. Pas tidak mau kuasa yang tidak asli dan juga ahli tidak asli. Pas berpendapat jika pihak Umno (BN) tidak menguasai majoriti, maka sewajarnya dibubarkan Dewan Negeri Terengganu dan pilihanraya peringkat negeri perlu diadakan. Pendapat sebagaimana diambil oleh Pas ini selari dengan pendapat beberapa tokoh akademik dan pakar undang-undang, antaranya sebagaimana yang disuarakan oleh Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Abdul Aziz dari Fakulti Undang-Undang UIAM, bahawa sebaik jalan, jika Umno kehilangan majoriti ialah dengan mengadakan pilihanraya peringkat negeri.

Pendirian Pas juga tepat berhubung dengan kebolehpercayaan musuh dalam politik selama ini yang tiba-tiba mau bersama. Selain dari dipersoalkan dari segi kebolehpercayaan akan menimbulkan banyak implikasi. Secara kebetulan ketika artikal ini sedang dari proses penulisan, berita memaklumkan bahawa Y.B. Dato` Seri Ahmad Said membuat pengumuman kembali kepada Umno sesudah Adun Bukit Besi (Rusli Daud) juga kembali kepada Umno. Kita percaya juga Adun Ajil (Ghazali Taib) akan sama berbuat demikian. Adalah dipercayai jika negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang dapat dimanipulasi oleh BN, apa lagi negeri yang dikuasainya lebih mudah ditekan, seperti melalui ugutan untuk membongkar dan mengambil tindakan terhadap sebarang salah laku yang pernah dilakukan. Dengan cara ini saja pihak ahli yang keluar dari Umno dan BN tidak mampu berdepan dengan tekanan.


Sikap dan perdirian Pas dalam hubungan dengan krisis politik di Terengganu adalah tepat. Pas tidak terperangkap sama dengan kemelut yang ditimbulkan oleh Adun-Adun Umno. Maruah Pas juga terselamat dari sikap menangguk di air keruh, lebih-lebih lagi tercalar maruah jika ada percubaan mendekati Adun-Adun yang keluar, kembali kepada Umno. Dengan pendirian dan sikap yang diambil oleh Pas menyerlahkan kejujuran Pas dalam berpolitik yang mau mandat bersih dari rakyat. Pendirian dan sikap ini adalah menguntungkan Pas bagi masa jangka panjang. Pas memang sewajarnya berusaha membina imej positif kepada rakyat dengan jujur selari dengan tuntutan Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment