BBB, 12 Rajab 1435 = 12 Mei 2014 (Isnin):
Telah disebutkan bahawa dua pertiga daripada kandungan
Al-Qur`an adalah bersifat cerita. Ini bermakna kandungan Al-Qur`an adalah
berelemen sastera. Ini bukan bererti Al-Qur`an kitab sastera. Al-Qur`an juga
tidak boleh dikatakan sebagai kitab prosa dan tidak boleh juga dikatakan
sebagai kitab puisi. Apa tujuan cerita-cerita di dalam Al-Qur`an ini ?
Ayat-ayat Al-Qur`an menjawab berhubung dengan soalan ini.
Antara ayat-ayat Al-Qur`an bermaksud:
a) ``Sesungguhnya
adalah di dalam cerita-cerita (kisah-kisah) tentang mereka itu menjadi iktibar
bagi mereka yang mempunyai fikiran (Yusof: 111).
b) ``Maka
berceritalah tentang kisah-kisah semoga mereka mengambil fikiran (berfikir)`` (Al-A`raf:
176).
Dalam kata lain, cerita-cerita yang dihidangkan di dalam
Al-Qur`an adalah bersifat pendidikan, pengajaran, contoh tauladan, menjadi
iktibar, menuntut berfikir, menjadi pedoman dan panduan bagi menyubur iman dan
ketakwaan.
Sebagai contoh, menurut Ibn `Abbas radiya Allah `anhuma,
bahawa sahabat-sahabat Nabi telah meminta kepada Rasulullah s.a.w. menceritakan
kepada mereka sesuatu yang memberikan pengajaran kepada merela, lalu diturunkan
Ayat-Ayat Suci yang menceritakan perihal Nabi Yusof a.s. Cerita Nabi Yusof a.s.
merupakan seindah-indah cerita baik dari segi tema, keindahan bahasa, susunan
cerita, plot, ketegangan, peleraian, penyelesaian dan pengajaran.
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, oleh
Shaykh Abdullah bin Muhammad Basmih, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur,
1985: 436).
Cerita-cerita yang utama di dalam al-Qur`an ialah
cerita-cerita yang berhubung dengan rasul-rasul yang diutus Allah membawa
hidayah dan panduan, juga cerita-cerita tentang nabi-nabi dan tokoh-tokoh
berwatak baik dan juga tidak baik.
Cerita-cerita Rasul, ialah mengenai 25 Rasul, iaitu dari
Nabi Adam a.s. hinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang antara fungsi
Rasul-Rasul disifatkan oleh Al-Qur`an:
``Semua yang kami kisahkan kepada engkau tentang sebahagian
cerita para Rasul, semoga dapat memperteguh hatimu di samping memperoleh
kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.``
(Hud: 20).
Dan tentang Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. firman Allah
bermaksud:
``Dan sesungguhnya pada Rasulullah s.a.w. menjadi contoh
tauladan yang elok`` ( Al-Ahzab: 21).
Juga FirmanNya yang bermaksud:
``Dan tidaklah kami utuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan
memberi rahmat kepada sekalian Alam.`` (al-Anbiya`: 107).
Contoh ringkasan cerita Nabi Adam a. s.:
Merupakan bapa sekalian manusia, dicipta dari tanah. Ketika
di syurga beliau bersama Hawa ibu bagi manusia digoda oleh Iblis hingga
terkeluar dari syurga dan dihantar sebagai khalifah di bumi. Dari keduanya
berkembang turunan manusia yang memakmurkan bumi.
Antara hikmat dipelajari:
Adam adalah abu al-basyar
Iblis musuh yang terus berusaha menyelewengkan manusia
Manusia turunan Adam paling layak memakmurkan alam.
(Qishashul Anbiya – Sejarah 25 Rasul, (Selenggaraan Ny .
H. Hidayah Salim, PT. Al-Ma`arif, Bandung ,
1988: 5-15).
Ringkasan cerita Nabi Idris a. s.:
Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Terangkanlah hal Idris yang tersebut di dalam Al-Kitab
(Al-Qur`an) bahawa Idris itu seorang Nabi yang benar, dan Tuhan telah
meninggikan darjatnya.`` (Maryam: 56-57).
Beliau adalah yang mula-mula pandai menulis dan membaca dan
diturunkan kepadanya 30 sahifah untuk disampaikan kepada umatnya.
Beliau mahir menunggang kuda, pandai menghitung dan mahir
berkenaan bintang. Beliau mahir menggunting dan menjahit pakaian, sebelumnya
menggunakan kulit binatang sebagai pakaian. Beliau mempunyai kekuatan hingga
mampu memerangi penderhaka terhadap Allah.
Hikmah pengajaran:
Nabi Idris memulakan budaya menulis dan membaca
Nabi Idris banyak ilmu pengetahuan
Perlu kekuatan bagi memerangi penderhaka Tuhan.
(Qishashul Anbiya`, 1988: 16-17).
Ringkasan cerita Nabi Nuh a.s.
Adalah keturunan kesepuluh dari Nabi Adam a.s. Nabi Nuh
dibangkit bagi menyeru kaumnya mentaati Allah, tapi mereka mengingkarinya.
Kaumnya memperolok-olak Nuh membina bahtera di daratan dan dengan
peringatan yang disampaikan
Allah menurunkan bala dengan banjir besar.
Yang kafir dan enggan termasuk anaknya karam dan binasa
dalam banjir.
Hikmat pengajaran:
Walaupun seruan kepada kebaikan ada juga yang menentang
Bala diturun Allah dengan sebab penderhakaan
Penentang boleh datang dari keluarga sendiri.
(Qishashul Anbiya`, 1988:18-24).
Demikian ringkasan tiga cerita daripada 25 Rasul.
Banyak lagi cerita selain dari 25 Rasul. Antaranya
diceritakan di dalam Al-Qur`an
Tentang negeri Saba ` yang
makmur dengan pertanian dengan menggunakan empangan. Turut makmur sama
perladangan ialah ternakan. Namun kemudiannya penduduk lalai dengan kemakmuran
dan rakyat enggan dari membayar zakat. Empangan tidak dijaga menyebabkan pecah
dan merosakkan pertanian dan ternakan.
(Ali Ahmad, Kisah-Kisah Iktibar, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur, 1994: 3-6).
Manakala kaum Thamud di negeri Madyan, kawasan berbukit
bukau antara Hijaz dan Sham menikmati kekayaan dan kemakmuran. Mereka mahir
berniaga dan tinggal di kediaman mewah. Mereka menyembah berhala. Allah
menghantar perutusan – Nabi Saleh memberi peringatan agar mematuhi perintah
Allah, tetapi mereka ingkar dengan perjanjian hingga mereka dimusnahkan dengan angin
taufan yang meranapkan kediaman dan mematikan mereka.
(Ali Ahmad, Kisah-Kisah Iktibar, 1994: 7-10).
Selain dari watak di dalam al-Qur`an ialah watak-watak
sahabat pada zaman Rasulullah yang boleh diambil contoh.
Antara watak-watak ialah pemuda yang bernama `Alqamah pada
zaman Rasulullah s.a.w. yang tinggal bersama ibunya setelah bapanya meninggal.
Dimaklumkan kepada Rasulullah `Alqamah sakit. Rasulullah menghantar sahabatnya,
iaitu Bilal, Saydina Ali dan lain-lain menziarahnya. Mereka dapati `Alqamah
sedang naza`, tapi sukar meninggal. Makluman disampaikan kepada Rasulullah. Rasulullah
meminta ibunya datang menemui Rasulullah dan bertanya kiranya `Alqamah ada melakukan
apa-apa yang menyakiti hatinya. Pada mulanya dia menyembunyikan perkara
sebenar. Tapi bila diugut untuk dibakar rumahnya bersama anaknya. Beliau
akhirnya mengakui terasa hati terhadap anaknya yang mengutamakan isterinya dan
mengecilkan hatinya. Ibu `Alqamah memaafkan anaknya. Kemudian barulah anak
dapat mengucap kalimah syahadah. Jenazah disembahyang oleh Rasulullah dan
sahabat-sahabat. Rasulullah mengingatkan siapa yang mengutamakan isteri dan
membelakangi ibunya dilaknat Allah.
(Ali Ahmad, Kisah-Kisah Iktibar, 1994: 35-37).
Kisah Tha`labah bin Hatib al-Ansari juga menarik, beliau
sahabat yang hidup miskin, tetapi kuat beribadah. Saban masa dia berjamaah di
Masjid Nabawi. Tapi kemudian berlaku perubahan, sebaik habis solat dia segera
meninggalkan masjid. Caranya tidak digemari Rasulullah, beliau ditanya
Rasulullah. Beliau memaklumkan beliau terpaksa bersegera pulang bagi menyalin
pakaiannya untuk diguna isterinya untuk solat. Rasulullah bersimpati dengannya.
Tha`labah memohon Rasulullah agar berdoa baginya supaya mendapat rezeki yang
banyak. Tapi Rasulullah mengingatkan, Rezeki yang sedikit, tapi bersyukur lebih
baik dari yang banyak, tetapi tidak bersyukur. Namun senggan beberapa masa
Tha`labah memohon Rasulullah mendoakannya untuk mendapat rezeki yang hingga
akhirnya setelah beberapa kali dipohon Tha`lanah kepada Rasulullah s.a.w. maka diperkenankan
oleh Rasulullah s.a.w. dan mendoakannya sebagaimana yang dipinta. Tha`labah
mendapat hadiah sepasang kambing. Ternakannya ini berkembang subur. Oleh kerana
sebok dengan ternakan, maka Tha`labah makin kurang pergi berjamaah di masjid.
Rasulullah kurang senang dengan perubahan sikap Tha`labah. Bila perintah
mengeluarkan zakat dikenakan beliau enggan. Beliau tidak disenangi Rasulullah
dan sahabat-sahabat. Ternakannya hilang keberkatan dan akhirnya musnah
berpenyakit.
(Ali Ahmad, Kisah-Kisah Iktibar, 1994: 38-41).
Jelas dari cerita-cerita dari Al-Qur`an dan cerita-cerita
tambahan yang dipaparkan mempunyai mesej pendidikan yang bagi yang berakal
dapat mengambil iktibar, bahawa cerita-cerita berkenaan membawa nilai murni
yang jika diikuti membawa kepada keselamatan, manakala nilai-nilai jahat perlu
dijauhi, jika tidak akan mengundang kepada kecelakaan dan kebinasaan.
Jelas Al-Qur`an menggunakan bentuk-bentuk cerita di dalam
menyampaikan pengajaran. Sebab itu bersastera dan menggunakan bentuk-bentuk
sastera di dalam persuratan yang dapat membawa kebaikan adalah menurut cara
Al-Qur`an dan tidak dilarang. Lantaran itu boleh menggunakan kaedah sastera
yang bertujuan baik yang dapat menarik khalayak membaca dan mengambil iktibar
daripadanya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment