BBB, 21 Rajab 1435 = 21 Mei 2014 (Rabu):
Telah dibicarakan kesedaran bagi mengekalkan hasil-hasil
ucapan dan perpuisian di kalangan masyarakat Arab sebelum Islam (Jahilyah)
berlaku sejak abad ke 3M., iaitu dengan mengaitkan peristiwa penting,
mengingatinya secara hafalan dan menurunkan maklumat secara riwayat dan
bersanad (Nisar Ahmed Faruqi, Early Muslim Historiography, Idarah-I Adabiyat-I,
Delhi, 1979: 4), Lantaran itu kita warisi bahan-bahan ucapan-puisi dari zaman
sebelum Islam contoh puisi-puisi penyair miskin-kelana (al-Sa`alik) dari awal
abad ke 6M. seperti al-Shinfari (awal abad ke 6M.), Ta`abbata Sharran (m. 530M.) dan `Urwah bin al-Ward (m.
596M.) (Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithat, al-Juz` al-Awwal,
al-Matba`at al-Kathulikiyyat, Beirut ,
tt.: 2-26).
Namun pada abad ke 6M. dari tradisi lisan – hafalan dan
penurunan secara riwayat, maka antara puisi terkenal digantung di Ka`bah yang
dikatakan ditulis dengan tulisan emas. Ini membuktikan pada zaman tersebut sudah
ada kemahiran menulis di kalangan tokoh-tokoh pimpinan Arab yang berinteraksi
sesama pedagang di Pasar Ukkaz termasuk dari luar yang memerlukan mereka
menguasai tulisan bagi mencatat hasil dagangan dan lain-lain. Dari kemahiran
ini puisi-puisi Ashab al-Mu`allaqat digantung di Ka`bah. Iaitu penyair bertujuh
Imru`u al-Qays (500-540), Tarfah bin al-`Abd (543-569), Zuhayr bin Abi Salma
(530-637), Labid bin Rabi`ah (560-661), Amru bin Kalthum (Kurun 6), Al-Harth
bin Hillizah (Kurun ke 6) dan `Antarah bin Shaddad (525-615) (Fuad Afram Al-Bustani,
tt, 28-166).
Apa yang mau ditekankan di sini bahawa budaya sesuatu bangsa
tidak mungkin terputus dengan mengejut dalam masa yang singkat. Demikianlah
apabila Rasulullah s.a.w. diutus dan dibangkitkan menjadi Rasul bagi membawa
agama Islam bersifat tauhid antara yang terus diwarisi ialah bahasa Arab yang
tak dapat dinafi sudah tinggi nilai, walaupun tidak mampu menandingi ketinggian
al-Qur`an, tradisi mengingati ucapan-perpuisian tokoh-tokoh secara ingatan
hafalan dan penurunan maklumat secara riwayat dan sanad, bahkan penting sama
wujudnya tradisi menulis di kalangan sebahagian pemimpin dan intelektual semasa.
Wahyu yang diterima oleh Rasulullah s.a.w. diperturunkan secara
lisan kepada juru tulisnya seperti Zaid bin Thabit, Abu Sufyan, Sayyiduna
`Uthman dan beberapa lagi.
Rasulullah s.a.w. sebagai tokoh, maka budaya tradisi yang
baik, iaitu kata-kata (sabda) baginda dingati dan diperturunkan secara matan, berawi
dan bersanad (silsilah). Menurut M. Hasbi Ash-Shidieqy:
``Para sahabat Nabi, adalah
orang-orang Arab yang masih Ummi, tak dapat membaca dan menulis, pegangan
mereka hanyalah kekuatan hafalan. Dalam hal mereka mempunyai kekuatan hafalan
yang menakjubkan, telah dikenal dan diakui oleh dunia. Allah telah
mempersiapkan bangsa Arab dengan kelengkapan-kelengkapan itu menyimpan
ayat-ayat al-Qur`an dan hadis-hadis Rasul di dalam dada mereka masing-masing.
(M. Hasbi Ash-Shidieqy, Sejarah Hadis, Pustaka Al-Shafa,
Setapak, Kuala Lumpur, 2006: 5-6).
Menurut Al-Shidieqy:
``Di antara sistem yang nabi gunakan dalam memberikan
pelajaran ialah mengulang sesuatu ayat tiga kali supaya dapat dihafal oleh yang
mendengarnya,`` dan melalui kekuatan hafalan, ``Mereka menerima hadis ada
kalanya dengan musyafahah, ada kala dengan musyahadah, ada kala dengan
mendengar dari sesama sahabat kerana mereka tidak dapat serentak menghadiri
majlis Nabi s.a.w.
(M.Hasbi Ash-Shidieqy, 2006: 7-8).
Tumpuan utama pada peringkat awal Islam dalam kurun pertama
adalah terhadap al-Qur`an, manakala segala kemusykilan yang dihadapi dan
pengajaran didapati terus daripada Rasulullah. Dalam kurun pertama para sahabat
mencontohi, mengingati apa yang ditutur dan diajarkan oleh Rasulullah. Walau
bagaimana sebelum berakhir zaman sahabat sudah terdapat Hadith al-Sunnah dalam
pengumpulan peribadi, iaitu:
1) Al-Sahifah
al-Sadiqah oleh Abdullah bin Umar r.a.
2) Al-Sahifah
al-Sahihah oleh Hammam bin Munabbih yang menjadi murid bagi Abu Hurairah.
3) Sahifah
Jabir Ibn Abdillah
4) Sahifah
Sayyidina Ali k.w.
(Hadis Cabaran Dan Masa Depan, Suntingan Haziyah Hussin dll., Jabatan Al-Qur`an dan Al-Sunnah, Kolej
Universiti Islam Antarabangsa, Selangor, 2006: XII).
Walau bagaimana selepas zaman Khulafa` al-Rashidin dan
menjelang abad ke 2H. masyarakat Islam menghadapi kegawatan dan ancaman aliran
bid`ah dari Mu`tazilah, Khawarij dan Shi`ah (memalsukan Hadith) dan tradisi
pengingatan makin kurang, sebab itu timbul keperluan merakamkan Hadith agar
tidak hilang dan terjaga dari segi keaslian. Apa lagi Khalifah `Umar bin Abdul
Aziz (m. 101H.) mengarah supaya mengumpulkan Hadith-Hadith. Mulai dari masa ini
juga lahir pendekatan keilmuan Hadith dan kritikan yang dilakukan antaranya oleh
Imam Muhammad bin Sirin (m.110H.)
(Hadis Cabaran dan Masa Depan, 2006: XII).
Dalam pengajian ilmu Hadith terbina kaedah ilmiah yang asli
terhadap ilmu tersebut, maka di dalam pengajian ilmu Hadith dikenalpasti konsep
matan, rawi, sanad, syarat-syarat rawi, konsep mutawatir, mashhur, dan ahad.
Dari pengajian berkenaan dikenalpasti dan dikategorikan Hadith kepada sahih,
hasan dan daif, (antaranya mauquf dan maqtu`). Tiap satu daripada konsep dan
istilah-istilah di atas ada pecahan dan pembahasan.
(Muhammad `Ijaj al-Khatib, `Ulum al-Hadith, `Ulumuhu wa
Mustalahuhu, Dar al-Fikr, Beirut, Lubnan, 1409/1989: 299-3820).
Pendekatan keilmuan Hadith berkembang dengan kaedah teratur
dan ilmiah dan pada kurun ketiga disifatkan zaman keemasan bagi perkembangan
ilmu Hadith dengan pembukuan Hadith-Hadith oleh tokoh-tokoh terkenal dengan
lahirnya Musnad Imam Ahmad, Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sahih Abi Da`ud, Sahih
al-Tirmidhi, Sunan al-Nasa`I, Sahih Ibn Majah dan Sahih al-Darimi.
Pada kurun ketiga ini juga lahir karya-karya yang
memantapkan ilmu Hadith seperti Muqaddimah Sahih Muslim, Kitab al-`lal oleh
al-Tirmidhi, Kitab al-Tarikh al-Kabir oleh Bukhari, Kitab al-Risalah dan Kitab
Ikhtilaf al-Hadith oleh Imam Shafie, Kitab al-Muhdith al-Fasil bayn al-Rawi wa
al-Wa`I oleh al-Qadhi Abu Muhammad al-Ramahurmuzi (m.360H.), Ibn al-Salah
dengan kitab `Ulum al-Hadith dan Ibn Qutaibah (m.276H.) dengan Ta`wil Mukhtalif
al-Hadith.
(Hadis Cabaran Dan Masa Depan, 2006: XII-XIII).
Kini Hadith adalah satu keilmuan yang kukuh menjadi sumber
kedua bagi keilmuan Islam selepas al-Qur`an. Hadith mempunyai kaedah keilmuan
tersendiri yang mantap dan berbeza dari keilmuan-keilmuan yang lain.
Sekian.
No comments:
Post a Comment