BBB, 13 Rajab 1435 = 13 Mei 2014 (Selasa):
Perisytiharaan Dato` Seri Ahmad Said (57) – Adun Kijal Bekas
Menteri Besar Terengganu keluar dari Umno bersama Ghazali Taib (Adun Ajil)
selepas perlantikan Datuk Ahmad Razif bin Abdul Rahman (49) – Adun Seberang
Takir menjadi Menteri Besar Terengganu yang baru malam tadi mengundang krisis
politik pemerintahan di negeri Terengganu. Perletakan jawatan kedua Adun Umno dan
maklumat terbaru hari ini seorang lagi Adun meletakkan jawatan dari Umno, iaitu
Rusli Daud (Adun Bukit Besi) menjejaskan majoriti pemerintahan BN di negeri
Terengganu. Sebelum berlaku perletakan jawatan BN menguasai 17 kerusi. Dengan
keluarnya dari Umno ketiga-tiga calon di atas sebagai Adun bebas bererti BN
hanya mempunyai 14 kerusi di Dewan Undangan Negeri Terengganu dengan 15 PR dan
3 bebas. Dengan keadaan sekarang BN kehilangan majoriti di Dewan Negeri
Terengganu. Kerajaan negeri Terengganu boleh tumbang sekiranya didesak
mengadakan sidang tergempar dengan usul ``Tidak Percaya`` atau diadakan sidang
menurut jadual biasa sekiranya ketiga-tiga Adun Bebas berkecuali, apa lagi jika
mereka mengundi berpihak kepada PR.
Adalah dipercayai usaha untuk memecat Dato` Seri Ahmad Said
telah lama dicadang dan spekulasi mengenainya diperkatakan mutakhir, tetapi
terbantut akibat dari implikasi yang mungkin dihadapi jika pemecatan dilakukan.
Pemergian Ahmad Razif ke Kuala Lumpur ,
beberapa hari lepas dikatakan kerana menerima wathiqah tidak dipercayai, bahkan
dianggap sebagai tidak manis lantaran mendahului pengumuman yang tidak
dijangkakan. Kesenyapan Ahmad Razif selepas itu dan kenyataan abangnya minta
diberi simpati kepada Ahmad Razif supaya
tidak dikaitkan dengan jawatan Menteri Besar disifatkan sebagai menghilangkan
diri. Tetapi spekulasi Ahmad Razif menerima perlantikan adalah benar dan
sedikit tertangguh adalah bagi menyelesaikan masalah procedure dan teknikal
hinggalah perlantikan dilakukan semalam. Pihak pimpinan Umno tidak menjangka
Ahmad Said bertindak keluar parti, tetapi jika pun beliau mengambil tindakan
sedemikian, pihak pemerintah menjangka masih boleh bertahan dengan majority
tipis – satu suara. Majoriti seperti ini pernah berlaku pada kerajaan Pas (tanpa
parti bebas) dan terus dapat bertahan kepada akhir penggal pemerintahan. Namun
dengan keluarnya 3 adun - Kijal, Ajil
dan Bukit Besi, benar-benar menggugat majoroti pemerintahan BN di negeri
Terengganu. Dalam keadaan sekarang pihak BN tidak mampu untuk bersidang dan
mempertahankan kedudukan.
Dalam suasana kini mungkin pimpinan BN silap dari segi sifir
politik, tetapi tiada kompromi dari segi maruah. Untuk mengekalkan kuasa pihak
BN akan melakukan berbagai cara dan pihak PR juga tidak mungkin berdiam diri
atau mengambil sikap berkecuali. Ini adalah kancah politik dan cabaran yang
perlu dihadapi oleh ahli politik. Bahkan dengan berlakunya kegawatan dan konflik
dalam politik PR perlu mengambil kesempatan dari pergolakan yang berlaku kerana
banyak perubahan dan peluang akan menyusul. Kita percaya pihak PR sedang
mengambil tindakan bermesyuarat mengatur strategi bagi menghadapi
kemungkinan-kemungkinan dan juga mencetuskan peluang-peluang.
Apa yang dijangka pihak pimpinan BN akan berusaha memujuk
Adun-Adun Umno yang keluar parti untuk kembali kepada Umno dengan
tawaran-tawaran kedudukan dan sebagainya. Kita berpendapat pihak PR tidak
bersifat lepas tangan dalam maksud kepimpinan PR perlu mendekati ketiga-tiga
ahli yang keluar Umno untuk berpihak kepada PR. Sudah tentulah jika mereka
masuk PR, khususnya Pas adalah lebih baik.
Dalam keadaan sekarang usaha dan ikhtiar BN mungkin pergi
lebih jauh, iaitu dengan mendekati Adun-Adun dari PR untuk berpihak kepada
mereka, iaitu sesuatu yang tidak kita jangka. Tapi dengan tawaran-tawaran yang
dibuat kita bimbang ada yang terpesona dan kita menjangka tidak akan berlaku.
Walau bagaimana PR dan parti-parti pendukung perlu memberi perhatian bagi
mengukuhkan saf hingga tidak mungkin berlaku lompatan dari pihak PR kepada BN.
Pihak PR juga perlu memberi perhatian kepada keselamatan Ahli-Ahli Dewan,
kerana kemungkinan berlaku penculikan sebagaimana pernah berlaku kepada
Adun-Adun Pas yang memerintah Terengganu mulai 20 Jun 1959, tetapi digulingkan pada 30 Oktober 1961.
Jika usaha bagi mendapat majoriti satu pihak bagi BN di
dalam Dewan Undangan negeri sukar berlaku, maka kemungkinan akan ada tawaran
dari BN bagi menubuhkan kerajaan campuran, kemungkinan ke arah ini juga perlu
diberi perhatian oleh PR dan perlu mengatur percaturan. Andainya alternatif ini
satu-satunya jalan terbaik bagi PR, maka dengan majoriti yang ada maka pihak
PR, khususnya Pas semestilah pihak yang mengepalai pimpinan kerajaan negeri dan
mengetuai pimpinan-pimpinan strategic bagi menjamin imej Pakatan dipertingkat
dan diyakini rakyat. Dalam hal ini sebuah kabinet bayangan perlu disiapkan agar
tidak bersifat ad hoc dan merugikan.
Kita menjangka pihak BN akan cuba mengelak dari berlakunya
pembubaran kerajaan negeri Terengganu, tetapi mereka tidak bersedia menjadi
pembangkang di dalam Dewan Negeri, jika terpaksa berlaku, tetapi sebelum
berlaku, mereka lebih sanggup untuk membubarkan kerajaan. Keutamaan persediaan
perlu diberi kemungkinan ke arah ini. Jika berlaku sedemikian bersedialah untuk
menghadapi pilihanraya peringkat negeri.
Sekian.
No comments:
Post a Comment