May 10, 2014

Menuju Kematangan - Mempelajari Keilmuan, Menghayati Keindahan Dan Melengkapi Dengan Pengalaman

-->
BBB, 9 Rajab 1435 = 9 Mei 2014 (Jumaat):

Kematangan di dalam penulisan adalah perlu. Bagi membina kematangan pula adalah perlu melalui pendekatan yang teratur, pengisian terancang dan pembelajaran berkesan, disampaikan oleh pakar-pakar berkelayakan dan memerlukan  proses masa yang panjang.
Keperluan yang paling asas adalah ilmu. Bayangkan di dalam masyarakat Malaysia yang sudah moden. Rata-rata pelajaran minimum yang dicapai oleh masyarakat ialah peringkat SPM sama ada aliran agama, sains dan sastera. Untuk menjadi seorang penulis dia mesti terkehadapan dari masyarakat awam dengan banyak membaca dan memahirkan diri dengan menulis bidang-bidang yang diminati. Namun dalam konteks zaman kini yang sebahagian dari masyarakat sudah mencapai peringkat pengajian tinggi, kelulusan universiti atau mempunyai ijazah pengajian tinggi adalah sebagai satu keperluan. Kelulusan yang sedemikian diperlukan bukan untuk dimegahkan, tetapi untuk menulis dia perlu mempunyai pengetahuan pada tahap level universiti dengan ekstra kemahiran menulis yang melayakkan hasil penulisan di dalam bidang-bidang yang dilibatinya berdepan dengan khalayak pembaca secara matang.


Menjadi penulis khusus dalam bidang sastera yang dikenali sebagai sasterawan selain dari memerlukan kemahiran menulis dalam bidang kreatif, sebenarnya ia memerlukan ilmu-ilmu bantu yang bila berdepan dengan berbagai persoalan yang dia perlu memahami bagi menyempurnakan bidang penulisannya. Bayangkan seorang penulis novel yang mau menulis sejarah Rasulullah s.a.w. secara kreatif. Tentulah sukar baginya walaupun mempunyai kemahiran menulis kreatif, tetapi tidak memahami dan tidak menguasai Sirah Rasulullah s.a.w. Dalam erti kata yang lain dia perlu menguasai sejarah atau Sirah Rasulullah s.a.w. Pada dasarnya untuk menulis tentang Sirah Rasulullah s.a.w. dia sewajarnya memahami Qur`an-Hadith, bahasa Arab dan keilmuan-keilmuan Islam yang lain. Begitu juga bayangkan seorang cerpenes yang mengambil tema cerpennya berhubung dengan jenayah, gambaran dan pengolahan cerpennya tidak sempurna tanpa memahami aspek jenayah dan maklumat-maklumat berhubung dengan polis dan perundangan. Bayangkan juga seorang penyair yang mau menghasilkan puisi-puisi Islam semasa ke Tanah Suci Makkah kerana menunaikan Haji. Dia perlu mahir berhubung dengan ibadat Haji, jika puisinya yang dirakamkan berhubung dengan ibadat dan amalan Haji. Pendek kata ika seseorang penulis berminat menghasilkan penulisan di dalam bidang-bidang keislaman atau lebih popular dikatakan menghasilkan `Sastera Islam`, maka sudah tentulah dia perlu memahami segala bidang keilmuan Islam secara lebih mendalam di samping berkemampuan dari segi menulis secara kreatif.

Sebelum pergi lebih lanjut dan secara detail mengenai proses kreativiti, keperluan dasar bagi seorang sasterawan ialah mempunyai `Jiwa Kesenimanan`, di sini ialah jiwa seni kesusasteraan itu sendiri. Persediaan jiwa ini bukan boleh dibuat-buat, bahkan boleh dikatakan sebagai kesediaan bakat yang sedia ada di dalam jiwa sesesorang. Ianya boleh diibaratkan sebagai benih yang sedia ada pada tanah taman jiwa seseorang yang apabila tersentuh dengan peristiwa dan tersiram dengan episod-episod berkenaan dengannya, maka ianya mudah terbetik dan tumbuh subur dengan daya kreatif. Mungkin seseorang tidak menyedari bahawa dia mempunyai `malakah` atau kebolehan dari segi kreativiti yang kadang-kadang disedari dengan tidak sengaja akan `bakat` dan kemampuan kreativiti yang ada padanya bila secara tidak sengaja dituntut menghasilkan penulisan yang bersifat kreatif dan terserlah bakatnya. Namun dari segi tanda-tanda berdaya kreativiti ialah meminati terhadap sesuatu yang bersifat seni, tertarik pada fenomena alam
yang indah dan mengkagumkan, jiwa yang lembut dan kaya dengan rasa kemanusiaan. Perhatikan para sasterawan terkenal tanahair pada umumnya mereka adalah mempunyai jiwa yang lembut dan tinggi dari segi kemanusiaan. Walau bagaimana wujudnya elemen-elemen di atas pada jiwa seseorang tidak menjamin dia boleh menjadi seorang sasterawan tanpa kesungguhan dan komitmen yang tinggi.

Keilmuan tinggi pun tidak menjamin seseorang menjadi sasterawan, tapi dengan adanya kesediaan bakat dan minat memberi ruang baginya menjadi sasterawan, tetapi satu lagi keperluan di dalam penulisan yang tidak kurang penting ialah pengalaman yang ditimba dari kehidupan dan alam kelilingnya. Di dalam sebuah artikal Penulis berjudul, ``Unsur-Unsur Insaniah Dalam Sastera`` Penulis mengatakan:

``Alam adalah medan dan ruang kehidupan. Dilihat dengan mata seni alam juga adalah sebagai karya agung yang memberi ilham kepada sasterawannya. Namun alam semata-mata ia tetap sepi tanpa keramahan jiwa sang sasterawan. Kepada insan yang buta mata seni di tengah kenyataan, alam menyembunyikan seni dirinya, lantas tumpullah jiwanya dari menyedari hakikat dan menghayati hikmat.``
(Shafie Abu Bakar, Unsur-Unsur Insaniah Dalam Sastera, dlm. Sejarah, Bahasa dan Sastera Dalam Pembinaan Negara Bangsa (Ed. Kamaruzaman Yusof dll.), Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, UKM, 1998: 179).

Dalam kata lain seniman dan sasterawan perlu selain dari ada bakat mempunyai mata seni yang tajam di dalam menanggapi peristiwa dan kejadian alam, hikmat dan pengajaran terpendam, digali dan diketengahkan di dalam karyanya secara menarik dan mengkagumkan. Alam bukan yang bersifat fizikal dan geographical semata-mata, tetapi juga adalah interaksi dengan manusianya. Kata Shahnon Ahmad:


``Setiap karya seni yang bertanggungjawab tidak dapat tidak pasti berlandaskan aspek tertentu keperihalan kemanusiaan; baik secara langsung mahupun secara tersirat dan berlapisan maknanya. Pengarang juga manusia. Karya yang terhasil itu pun tentang manusia dalam kesegalaan liku dan kancahnya. Pembaca atau penilai pun manusia juga. Ketiga-tiga jenis manusia ada sejarahnya, ada jatuh bangunnya dan ada kesederhanaan dan kecanggihannya. Sejarah manusia yang berkisar pada karya sastera, baik pengarangannya, baik persoalan karyanya, baik pembacanya merupakan sejarah manusia dengan segala keperihalannya.``
(Shahnon Ahmad, Sastera Pengalaman Ilmu, Imaginasi Dan Kitarannya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994: 17).

Sebenarnya alam dengan segala kandungan termasuk manusia adalah sebagai guru yang darinya ditimba pengalaman berbaur dengan pengalaman diri. Di dalam hal ini jika seorang itu mampu menimba hikmat, iktibar dan pengajaran, sebenarnya ianya lebih dari menerima ijazah secara formal, lantaran itu tidak jarang sang seniman dan sasterawan dengan susah payah, tetapi cekal sengaja mencari pengalaman, misalnya dengan mengembara dan membuat lawatan ke mana saja yang dapat memberi ilham terhadapnya. Sebenarnya kehidupan susah, sempit dan pahit seorang seniman dan sasterawan juga banyak memberi ilham bermutu kepada seseorang seniman dan sasterawan. Sememangnya khlayak tidak dapat mengharapkan daripada seorang yang senang lenang untuk menjadi seniman dan sasterawan. Jauh dari untuk mengharapkan terhasil darinya karya bermutu. Sebaliknya dari mereka yang mengalami kepahitan hidup dan berdepan dengan misalnya suasana perang yang mengancam nyawa dan kediaman menjadikannya bertukar kepada manis pengalaman berharga yang kemanisan darinya dapat dikecap dan dihirup sama oleh khalayak.

Boleh dikatakan apa yang dipaparkan baik dalam novel, cerpen dan puisi adalah pengalaman-pengalaman penulis atau orang lain yang dihayati penulis yang secara kreatif dipaparkan kembali untuk dihayati khalayak dan mengambil manfaat darinya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment