May 16, 2014

Khutbah Tradisi Pengucapan Zaman Jahiliyah Ke Menjelang Islam

-->
BBB, 15 Rajab 1435 = 15 Mei 2014 (Khamis):

Menyebut `khutbah` tanggapan terawal kita kepada khutbah, iaitu ucapan yang disampaikan khatib sebelum mendirikan solat Juma`at pada hari Juma`at yang merupakan sebahagian dari solat Juma`at yang tanpanya dikira tidak sah solat Juma`at.

Dari segi tradisi dan biasa ialah ucapan yang disampaikan di dalam himpunan, upacara atau majlis yang disampaikan biasanya oleh pemimpin atau pihak yang mengadakan upacara atau majlis sebagai pernyataan, amanat, pesanan, ingatan, penghargaan atau garis panduan kepada khalayak yang menyertai sebagai panduan dan tindakan yang bakal dilakukan. Khutbah yang pada asalnya disampaikan secara lisan, kemudiannya menjadi sebahagian dari gaya persuratan Islam yang diwarisi dan terus berkembang sebagai satu corak persuratan Islam.


Merujuk kepada masyarakat Arab sebagaimana pada zaman tradisinya sejak sebelum Islam budayanya berkembang antaranya dengan puisi yang dikenali dengan syair, maka demikian juga turut berkembang khutbah. Khutbah biasanya disampaikan oleh ketua-ketua kabilah yang biasa bersifat semangat, lancar ucapan, indah susunan, disulami perumpamaan dan kata hikmat dengan jelas perutusan. Penyampai khutbah biasanya berada pada bahagian bumi yang lebih tinggi (pinggir tanah tinggi – bukit) dihadapan khalayak atau berada di belakang tunggangan (kuda atau unta). Semasa berkhutbah penyampai menggerakkan tubuh, khususnya tangan dan muka bagi memberi kesan yang lebih kepada khalayak di dalam ucapan.

Khutbah-khutbah pada zaman Jahiliyyah membawa tema tentang kehidupan badui, antaranya menggalakkan peperangan, pertentangan, bermegah-megah dengan kabilah dan wasiat. Ramai khatib dari kalangan Arab Jahiliyyah sehingga dikatakan setiap kabilah mempunyai seorang khatib. Antara yang terkenal dan terawal seperti Ka`b bin Luayy terkenal di kalangan kaumnya dengan khutbah yang menarik. Khatib terkenal yang lain seperti Qays bin Sinan penyampai khutbah di dalam peperangan Dahis dan Ghabra`, Khuwailid bin Amru al-Ghatafani penyampai khutbah pada peperangan al-Fijjar, Qis bin Sa`idah al-Iyadi penyampai khutbah di Pasar Ukkaz dan Aksam bin Sayfi ketua penyampai khutbah yang dihantar al-Nu`man (pemimpin masyarakat Arab tradisi) ke Istana Kisra Raja Parsi bersama 10 orang penyampai khutbah ( Aksam bin Sayfi, Hajib bin Zararah al-Tamimiyani,, Harith bin Abbad, Qais bin Mas`ud al-Bikriyani, Khalid bin Ja`far, `Alqamah bin `Ala`ih, `Amir bin al-Tafil al-`Amiriyyun, Amru bin al-Sharid al-Sulamiy, Amru ibn Ma`diyakarib al-Zubaidi dan al-Harith bin Zalim al-Marri).

Khatib-khatib yang menyampaikan khutbah di dalam peperangan berfungsi menaikkan semangat pasukan peperangan yang khatib berpihak kepadanya. Sentimen adalah bersifat kabilah, Dengan isu kecil mengenai unta seperti dalam peperangan al_Fijjar peperangan boleh berlarut hingga sepuluh tahun.
(Muhammad al-Hashimi, Jawahir al-Balaghah, Jil. 2, Al-Maktabat al-Tijariyyah al-Kubra, Misr, 1386/1969: 18-20)
Contoh khutbah Hani` bin Qabidah al-Shaybani kepada kaumnya menggesa agar bangkit berperang melawan kabilah yang dimusuhi:

``Wahai perhimpunan Bakr. Binasa yang tidak datang. Yang baik dari mahkota Farur. Berhati-hati tidak terlepas dari qadar. Sabar menyebabkan kejayaan. Bercita-cita bukan berdiam hina sia-sia. Mendepani maut lebih baik dari membelakanginya. Bertindaklah di tengah kesempatan, lebih baik dari lemah dan membelakang. Wahai keluarga Bakr berperanglah ! Tiada kemuliaan kecuali menang !``
(Ahmad Hassan al-Zayyat, Tarikh al-Adab al-`Arabiyy, Kementerian Pendidikan Arab Saudi, tt.: 25).

Pasar `Ukkas sebelum Islam adalah sebagai pusat pertemuan pedagang-pedagang di Makkah. Pasar ini didirikan 15 tahun selepas Tahun Gajah (Serangan Abrahah terhadap Ka`bah). Pasar ini berkekalan sehingga selepas Islam hingga tahun 129. Selain dari berkembangnya perniagaan turut berkembangnya puisi dan khutbah. Oleh kerana pasar ini berlanjutan hingga ke zaman Islam, maka antara tokoh khatib berkesempatan dengan Islam dan ada yang menganut Islam. Antara khatib terkenal ialah Qis bin Saidah al-Iyadi
(m. 600M.). Dari Najran. Beliau antara khatib Pasar Ukkaz terkenal – Dikatakan Rasulullah pernah mendengar khutbahnya sebelum baginda dibangkitkan. Baginda memuji kebaikan khutbahnya. Qis meninggal sebelum Rasulullah diutus menjadi Rasul. Antara khutbahnya di Pasar Ukkaz:


Wahai manusia, Dengar dan ambil perhatian. Tiap yang hidup mati. Siapa yang mati dia luput (hilang). Tiap-tiap yang datang, datang. Malam yang gelap, siang yang terang, langit berburuj, bintang gemerlap, bukit bukau tegak, bumi menghampar, sungai berlari, langit terang, bumi benderang. Mengapa manusia berpergian dan tidak pulang …
(Ahmad al-Hashimi, Jawahir al-Adab, Jil. 2, 1389/1969: 20).

Antara Khatib yang berkesempatan dengan Nabi Muhammad s.a.w. ialah Aktham bin Sayfi. Beliau disifatkan terkenal dengan nasab keturunan, banyak mengungkapkan kata-kata tamsil, mempunyai kemampuan berhujah. Sebagai khatib terkenal beliau dipilih oleh al-Nu`man (Ketua Masyarakat Arab) mengetuai rombongan khatib ke istana Kisra Raja Parsi. Kisra terpesona dengan khutbahnya hingga baginda berkata, ``Lengkap orang Arab dengan Aktham``.
Aktham berumur panjang hingga berkesempatan dengan kebangkitan Rasulullah s.a.w. menjadi Rasul. Dia menghimpun kaumnya dan mendakwah mereka beriman. Banyak cerita selepas keislamannya.
Di dalam khutbahnya kurang menggunakan majaz (metaphor), ringkas elok padat, manis kata-kata, mendalam makna, tinggi dengan contoh tamsil.
(Ahmad al-Hashimi, Jawahir al-Balaghah, Jil.2, 1389/1969: 21).

Jelaslah khutbah yang pada asalnya bersifat lisan menjadi medium penting bagi ketua-ketua kabilah sebelum Islam menyampaikan amanat, arahan dan perintah seperti perang. Kemahiran berkhutbah mencirikan kepimpinan seseorang sebagai ketua kabilah yang menonjol dan terkenal di kalangan mereka. Khutbah secara tidak langsung menyimpan ciri budaya dan bahasa serta kehidupan masyarakat Arab sebelum Islam. Khutbah suatu budaya yang dianggap baik dan berterusan sehingga ke zaman Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment