May 5, 2014

Masjid Al-Hasanah Dengan Kegiatan Keilmuan Dan Kebajikan

-->
BBB, 04 Rajab 1435 = 04 Mei 2014 (Ahad):

Masjid Al-Hasanah mempunyai sebanyak 36 buah surau di bawahnya adalah mengepalai kegiatan keilmuan dan kebajikan di Bandar Baru Baru Bangi sebagai Bandar Ilmu. Setiap malam mempunyai jadual pengajaran dan siang pada hari Sabtu dan Ahad penuh dengan kegiatan-kegiatan ilmu. Surau-surau yang lain terutama surau-surau yang mendirikan solat Jumaat (6 surau) seperti Surau al-Nur, Al-Kauthar, Al-Sabah, Al-Falah, Bangi Perdana dan Al-Islah sama bergiat di dalam mengadakan kegiatan keilmuan di surau masing, termasuk juga surau yang tidak mengadakan solat Jumaat.


Pagi ini Tuan Nazir Masjid Al-Hasanah Ustaz Haji Mohd Napiah Sahrani menjemput semua pengerusi-pengerusi surau atau wakil ke Masjid Al-Hasanah menjelang Ramadhan kerana membincangkan beberapa perkara seperti mengenai Amil Zakat dan Amil Kariah, Perlantikan Juru Nikah bagi menggantikan Juru Nikah yang telah tamat tempoh, pembaikan pengurusan tanah kubur dan cadangan mengadakan Seminar Imam dan Bilal sebelum tiba bulan Ramadhan. Peserta yang hadir adalah seramai 40 orang.


Berhubung dengan Amil Zakat Fitrah, menurut Tuan Nazir, perlantikan adalah selama tiga tahun. Setakat ini tidak semua surau mempunyai amil. Pihak surau-surau berpendapat wajar setiap surau mempunyai amilnya sendiri. Pihak surau lebih mengenali ahli kariah yang miskin dan memudah pemungutan zakat dan pengagihan. Pihak Setiausaha Tuan Haji Kamaruddin Yusof berjanji untuk membawa cadangan ke atas. Pihak surau juga bagi pihak amil mengingatkan supaya tidak berlaku lagi kehabisan resit dalam tempoh memungut zakat fitrah.

Berhubung dengan Juru Nikah adalah disetujui agar disyorkan kepada PAID agar melantik Juru Nikah menunggu yang telah diinterview dan lulus menggantikan Juru Nikah yang telah tamat tempohnya.


Berhubung dengan Tanah Kubur seluas 37 ekar setakat ini sedang dibangunkan terlebih dahulu 5 ekar. Urusan kubur dikendalikan oleh Masjid – Pembayaran hendaklah kepada masjid dan tidak kepada penggali kubur. Menurut Tuan Haji Kamaruddin pihak Masjid akan menguruskan bayaran. Adalah mustahak sebarang kematian hendaklah mempunyai dokumen dan permohonan pengkebumian adalah melalui masjid. Adalah disetujui kawasan kubur ditingkatkan dari segi kemudahan dan wajar diperbaiki dari segi rekreasi. Masjid selain berurus dengan surau-surau juga diminta berurusan dengan badan-badan khairat kematian. Mungkin boleh sama ditawarkan untuk dimasukkan di bawah skim takaful. Berhubung dengan bayaran yang dikenakan kepada surau, bagi surau yang tidak mengadakan solat Jumaat ialah RM50.00 sebulan dan bagi surau yang mengadakan solat Jumaat ialah sebanyak RM100.00 sebulan. Setakat ini tidak semua surau membuat bayaran.

Berhubung dengan Kursus Imam dan Bilal cadangan pihak Masjid diterima  dan kursus ini dijangka akan diadakan pada 14 Jun 2014. Pihak Setiausaha akan mengumumkan dan menghantar jemputan kepada imam-imam dan bilal-bilal di surau-surau di bawah Masjid Al-Hasanah.

Satu maklumat penting disampaikan kepada pengerusi-pengerusi surau bahawa pihak Masjid Al-Hasanah telah menubuhkan Koperasi Masjid Al-Hasanah sejak 1 September 2012. Pengerusi ialah Timbalan Nazir Dr. Sutarji bin Kasmin. Kini mempunyai seramai 700 orang ahli dengan modal setakat ini RM189,000.00. Koperasi membuka keahlian bagi semua jamaah Masjid Al-Hasanah. Koperasi berusaha mendapatkan aset-aset bagi koperasi. Tujuan koperasi lebih kepada bersifat kebajikan. Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah menjadi one stop centre dengan mengadakan perkhidmatan catering, membekal dan membaiki alat air-cond., menghantar barang keperluan rumah secara terus. Membuka perniagaan `Arab Corner` di bangunan Bangi Gateway, mengeluarkan air mineral, mengadakan seminar dan motivasi, menyewakan tapak Iklan di Masjid. Sebarang urusan dan pertanyaan boleh hubungi:

Pengerusi: Dr. Sutarji bin Kasmin   0196604497
Setiausaha: En. Zulkifli Dillah         0123023523

Pada pertemuan hari ini Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm diberi peluang menerangkan perkembangan pembinaan masjid Al-Umm. Pengerusi (Dr. Shafie Abu Bakar) mengucapkan terima kasih di atas peluang yang diberi. Tuan Haji Abdul Rahman Daud AJK Pembinaan Masjid Al-Umm menyampaikan taklimat ringkas.

Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment