May 30, 2014

Bangi Jadi Pilihan

-->
BBB, 29 Rajab 1435 = 29 Mei 2014 (Khamis):

Walaupun UKM dengan rasminya dibuka pada 18 Mei 1970 di kampus Maktab Perguruan di Jalan Pantai Baru, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, tetapi semua sedar Kampus UKM Lembah Pantai adalah kampus sementara. Usaha mendapat lokasi terbaik dilakukan sejak pengumuman pada 15 Mac1969, oleh Menteri Pelajaran Encik Khir Johari semasa merasmikan Kongres  Universiti Kebangsaan di Fakulti Pendidikan di Universiti Malaya, bahawa Universiti Kebangsaan akan didirikan pada 1970 (Matlamat Universiti Kebangsaan: Tahun 1970, Dewan Masyarakat, April 1969: 6-7).


Sejak pengumuman dibuat, usaha mendapat tapak yang paling sesuai dilakukan. Berbagai cadangan timbul dan tawaran dilakukan, antaranya cadangan menggunakan Trendek Camp di Melaka yang menarik – di tepi laut dan sudah ada infra-struktur dan bangunan, Kerajaan negeri Terengganu menwarkan kawasan negeri yang berpantai memanjang itu untuk dijadikan kampus UKM, Kawasan banjaran Titiwangsa di Pahang juga ditawarkan, bahkan Shah Alam yang pada masa itu baru dibuka dan belum maju juga turut ditawarkan.

Perkara yang menjadi perkiraan ialah kemudahan pembelajaran dan komunikasi serta berdaya maju. Tun Razak Perdana Menteri Malaysia yang juga menjadi Canselor Pertama UKM memainkan peranan penting bersama Jawatankuasa Penaja UKM di dalam memilih tapak tetap UKM. Sehingga bulan Januari 1972 berita tersebar bahawa `Bangi` satu kawasan hijau di Hulu Langat tidak jauh dari Kajang menjadi lokasi pilihan, iaitu kawasan yang sebahaginnya masih hutan dara, manakala kawasan berdekatan dengannya yang merupakan kawasan kelapa sawit dan getah dipilih bagi membangunkan Bandar sebagai pemangkin bagi kemajuan UKM. Tanah seluas 2,300 ekar dikenal pasti bagi dijadikan Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia.

Oleh kerana Bangi adalah di bawah negeri Selangor, maka rundingan perlu dilakukan dengan kerajaan Negeri Selangor yang sultan Selangor pada masa itu ialah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Menteri Besarnya ialah Dato` Harun Idris. Lantaran itu Tun Razak selaku Canselor UKM yang juga Perdana Menteri Malaysia turun melawat ke kawasan yang dicadangkan bagi Kampus UKM Bangi, diiringi oleh Y.A.B. Dato` Harun Idris Menteri Besar Selangor dan Dato`Dr. Anuwar Mahmud selaku Naib Canselor UKM.  Berikutnya D.Y.M.M. Sultan Selangor Tuanku Sultan Salahuddin Andul Aziz Shah turun melawat Kampus UKM di Bangi dengan diiringi Dato` Dr. Anwar Mahmud Naib Canselor UKM, Profesor Dr. Ghazali Abdul Rahman Timbalan Naib Canselor UKM dan pegawai-pegawai.

Pemilihan Bangi sebagai Kampus UKM mencetus ilham kepada Penulis dengan mengimaginasi bahawa, Bangi berhutan dara, bagai gadis bakal dipinang oleh Tun Perak – Negarawan Empayar Melaka (Tun Razak) bapa bagi wira (pejuang-pejuang bagi menubuhkan UKM). Kata Penulis dalam puisi bertajuk:

Bangi dan Varsiti

Bangi
Hari ini kau begitu wangi
Berita Tun Perak menghantar tanda untuk wira
Tersebar seluruh negera
Belanja pinangannya 40 juta.

Bermaksud kos bagi mendirikan kampus UKM pada peringkat permulaan ialah RM40 juta nilai pada masa itu

Sejak wira cukup usia
Lama udah kembaranya
Merempuh rawa menjejak bara
Kini gunung cita
Bermusim ditatang tangan-tangan
Tiba ke puncak asasnya diletak

Merujuk kepada perjuangan bagi mendirikan UKM sejak dari 1917 sebagaimana disuarakan oleh Za`ba, membawa kepada Abdul Kadir Adabi pada tahun 1923 menulis memorandum kepada Sultan Kelantan agar ,mendirikan universiti yang menggunakan bahasa Melayu dan antara 1930an hingga 1940an Kesatuan Persatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS) melalui lidah rasminya Majalah Guru mendesak agar didirikan pengajian tinggi berbahasa Melayu dan pada 1946 KPGMS yang Za`ba sebagai Ketuanya merangkakan dasar pelajaran yang membolehkan pelajar-pelajar menyambung pengajian berbahasa Melayu hingga ke peringkat universiti. Semua cadangan tidak diambil peduli oleh pihak Penjajah British pada masa itu. Pihak British menyusun Dasar Pelajaran dikenali dengan Dasar Pelajaran Barnes (1951), tetapi tidak mengambil kira cadangan-cadangan mewujudkan pengajian tinggi berbahasa Melayu. (Mohd. Ali Kamaruddin, UKM Dari Lembaga Melayu ke Lembah Pantai, dlm. Citra Cemerlang 30 Tahun UKM, Penerbit UKM, 2000: 31- 37).

Penyata Razak (1956) adalah dasar pelajaran kebangsaan yang diperjuang oleh pejuang-pejuang bahasa Kebangsaan dan Universiti kebangsaan yang dengan susah payah beserta dengan dukungan rakyat, maka akhirnya UKM dapat direalisasikan dengan terdirinya pada 18 Mei1970 di kampus Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur dan kini meminang kampus tetapnya di Bangi.


Perpindahan dan perasmian kampus UKM di Bangi dialegorikan oleh Penulis sebagai Hari Perkahwinan Wira. Bagi keraian dijemput tokoh-tokoh pujangga klasik silam. Tokoh Nusantara, Negeri Cina dan pelayar-pelayar mayor lautan yang tiba di Nusantara. Mereka diberi penghormatan dijemput ke pembukaan UKM dan Kampus rasminya. Kata Penulis:

Perkahwinan anak sulung ini
Khabarnya bapak Tun Perak
Mengedar jemputan besar-besaran
Dharmakirti Atisha Pujangga-pujangga Nalanda
Empu Kanwa Prapancha Gajah Mada
Fa Hsien I-tsing Cheng Ho
Battutah Magellan dan Marco Polo
Akan sama menepung tawar merenjis mawar.

Bagi majlis perkahwinan (Keilmuan) yang dihadiri tokoh-tokoh antarabangsa zaman klasik dan kini sudah tentu memerlukan tenaga besar. Kata Penulis:

Sebaik meletak kerja
Sanak saudara
Dari Pasai Melaka Acheh dan Riau
Berada di sini
Imamnya HAMZAH FANSURI !

Mereka dari kawasan yang menegakkan bahasa Melayu. Penulis terpengaruh dengan pemikiran Profesor Dr. Syed Naquib al-Attas yang menghujahkan bahawa Hamzah Fansuri adalah tokoh memodenkan bahasa Melayu. Dan harapan Penulis:

Bangi dan Varsiti
Hrapan pribumi
Darimu terpancar seri
Generasi ke generasi.

Universiti Kebangsaan Malaysia,
Januari 1972.
(Madu Ilmu, 1999: 126).

Kampus Bangi sememangnya mulai diteroka dan pembangunan fizikalnya berlaku pada tahun 1975, serentak dengan itu PKNS – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor yang pejabat operasinya di Taman Mesra Kajang membangunkan Bandar Baru Bangi. Selepas dua tahun pembangunan fizikal dilakukan, maka Kampus Bangi dan Bandar Baru Bangi bersedia menerima penghuni yang meminangnya sebelum ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment