BBB, 06 Rajab 1435 = 06 Mei 2014 (Selasa):
Jika T. Alias Taib setakat ini adalah Penyair Moden
Terkemuka Terengganu, maka saya tidak meragui bahawa dari kalangan wanita,
setakat ini, maka Nor Aini Muhammad (Lahir 30 Januari 1949 di Pulau Duyong,
Kuala Terengganu) Tokoh Terkemuka Penyair Moden Wanita di Terengganu. Nor Aini
berkelulusan Sijil Thanawi (Sembilan) & SPM Sekolah Agama Menengah Sultan
Zainal Abidin (1968). Sebelumnya Nor Aini lulus di Sekolah Agama Ibtidai (Lima ) Madrasah
al-Khairiah, Gong Kapas, Kuala Terengganu.
Menulis sejak di Sekolah Menengah dan mengikuti kegiatan
Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) yang antaranya mendapat bimbingan T.Alias
Taib yang pernah turut menganggotai AJK Pelita. Puisi pertamanya yang mendapat
tempat dalam penerbitan (Mastika, Disember 1967) berjudul `Kepada Gadis Yang
Tempang`. Kata Nor Aini:
Kepada Gadis Yang Tempang
1
Ketempanganmu sebenarnya
Bukan sebuah kecacatan
Kerana suara batinmu udah menampung
Segala kemuliaan segala kemuliaan
Dari mereka yang cukup anggota
Dengan kesempurnaan dengan kesempurnaan.
….
II
Jika melangkah Dewan Tunku Canselor
Engkau dan kakimu nan sebelah
Bakal terpancar sinar
….
111
Ketempangan sebenarnya
Bukan sebuah kecacatan
Kerana semata-mata perasangka.
Gong Kapas,
Kuala Terengganu (Mastika, Disember 1967).
Nor Aini Muhammad, Perjalanan Mencari Kekasih, Dewan Bahasa
dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996: 63).
Dengan `breakthrough` puisi ini, menjadi katalis bagi Nor
Aini mempertingkatkan azam menulis puisi dan puisi-puisinya mulai mendapat
tempat di dalam penerbitan-penerbitan terkenal seperti di dalam Dewan
Masyarakat, Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Mastika, Wanita dan di dalam
akhbar-akhbar seperti Berita Minggu, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia juga
dalam antologi-antologi bersama. Nor Aini menimba ilham dari alam keliling dan
pengalaman seharian yang digarap secara matang yang dicernakan dengan jiwa
kewanitaan yang menyentuh perasaan. Sebagaimana dia simpati dengan Gadis Yang
Tempang, begitulah simpatinya:
Kepada Anak Piatu
….
Usah dikesali malang
tiba
Bukan hidup tanpa cubaan
Bukan dunia tanpa penderitaan
Selagi ombak mengejar pantai
Yakinlah
Pasir di muara terus berubah.
…
Gong Kapas,
8 Mei 1968.
(Perjalanan Mencari Kekasih, 1996: 4).
Nor Aini tersentuh dengan suasana dan kehidupan masyarakat
di sekeliling. Dia mempuisikan tentang masyarakat di kampungnya `Nadi Kampungku
(hlm. 5-6, 1968), kehidupan petani `Senyum Padi` (10, 1969), tentang penyu di
Rantau Abang `Episod Penyu B. 6274 (20, 1971), tentang musim Tengkujuh
`Disember Telah Datang` (22-23, 1973), tentang laut (24-25, 1973), Perempuan
Dengan Ombak (75, 1972.). Dekad 1970an adalah zaman prolific Noraini. Jiwanya
peka dan mudah tersentuh dengan suasana diri dan alam sekelilingnya. Pada awal
dekad ini Nor Aini memenangi Hadiah sastera Malaysia 1971. Dia membicarakan
tentang kepahitan hidup seorang Ummi:
Mengerti
Ya, aku mengerti kini, ummi
Kau hirup sarbat kasih
Dari piala hati seorang lelaki
Dalam mangkuk madu maha pahit
Kau telan jua
Atas nama kesetiaan.
Ya aku mengerti kini, ummi !
Kau kecap nikmat perkahwinan
Dengan lidah berdarah
Kau harungi jua
Sungai racun yang menyeksa
Seluruh hatijiwamu
Untuk sebuah penghidupan abadi.
Ya, aku mengerti kini, ummi !
Pengorbananmu
Adalah untuk putera puterimu
Yang bakal menempuh belantara hidup
Kerelaanmu adalah untuk sebuah kasih paling bersih
Pun nafasmu lemas dalam air mata
Sepanjang hayat.
Ya, aku mengerti kini, ummi
Lelaki itu
Adalah kekasih yang paling kau kasihi
Adalah musuh yang paling kau benci.
Ya, aku mengerti kini, ummi.
Gong Kapas, Kuala Terengganu
Januari 1971.
Sebagai hidup wanita normal. Tiba waktu Nor Aini juga
berumah tangga. Beliau dilamar – bertunang `Ahai, Malam Indah !` (40, 1969) dan
berkahwin (1970). Selepas menempuhi zaman perkahwinan, zaman prolific Nor Aini
makin menurun, kerana menghadapi tugas rumah tangga. Nor Aini bersama suaminya
dikurniai 6 orang anak. Bayangkan kesebokan tugasnya menjaga bagi membesar dan
mendidik anak-anaknya agar menjadi orang yang berguna. Lebih malang dan takdir, suami dikasihinya
meninggal mengejut (1983) dalam usia muda. Nor Aini menjadi bapa dan ibu bagi
anak-anaknya dan sudah kurang menulis, tapi dari sebuah puisinya merakamkan kesayuan
jiwanya menempuh hidup dalam membesarkan anak-anak:
Pendakian
- Kenangan 2 musim perginya Allahyarham suamiku –
Sewaktu kita mula berpisah
Di kaki bukit ini
Aku bagai tiada percaya
Bisa mendaki sendiri
Dalam perjalanan ke puncaknya.
Antara titik-titik hujan
Yang menitis atas rambutku
Kurasa angin bukit
Yang sejuk
Dan kadangkala teramat dingin
Mengusap wajah dan seluruh tubuhku
Tapi sinar mentari
Yang berkilau lembut di celah awan
Bersatu dalam redup cahaya
Dari mata anak-anak kita
Memberiku kekuatan
Untuk terus melangkah
Membelah dada bukit yang berliku
Kadangkala tajam menjunam
Kadangkala lebar menghampar.
….
Bukit Frazer
Disember 1984.
(Perjalanan Mencari Kekasih, 1996: 56).
Nor Aini sebagai ibu tunggal menghadapi kepahitan hidup dan
kesedihan. Tapi mereka sekeluarga tetap kekal di kampung halaman di Gong Kapas
dibantu oleh ibu dan adik beradik. Tapi Nor Aini walaupun sebok dengan
anak-anak, namun merasa sepi dari kasih suami. Ini dapat diselami dari ungkapan Nor Aini:
Usah Ditanya
1
Usah ditanya
Mengapa aku sendiri
Di jalanan ini
Kerana aku bukan aku
Yang pernah kau temui sebelumnya
Aku kini pengembara asing
Yang baru sampai
Di sebuah pelabuhan sepi.
Tiada di sini teman
Untuk kuceritakan cerita ria
Tiada di sini sahabat
Untuk kucurahkan dukalara
Segala-galanya
Kutanggung sendiri.
….
Gong Kapas, 26 Mac 1986.
(Perjalanan Mencar Kekasih, 1996: 58)
Bagi mengisi kesepian, tidak lain dari mendekati Tuhan.
Inilah dimaksudkan:
`Perjalanan Mencari Kekasih` yang dimaksudkan oleh Nor Aini.
Beliau mempuisikan tentang Iman:
Iman
…
Suatu kepercayaan
Yang bermastautin di hati
Yang bertauhidkan suatu zat.
….
Iman
Adalah kandil bernyala
Dari langit
Yang menerangi gua hati
Yang gelap
Melalui pintu iradat
Tuhan.
(Perjalanan Mencari Kekasih, 1996: 86).
Dari merindui suami diperkukuhkan dengan merindui Ilahi.
Bagi menemui Kekasih Nor Aini menunaikan Haji. Kata Nor Aini ketika berlari
antara Safa dan Marwah:
Pertemuan
Ketika berlari
Antara Safa-Marwah
Kurasa diriku bersamamu
Hajar,
Mengisi ketabahan dan tanggungjawab
Yang diamanahkan.
….
Masjidil Haram,
Ogos 1987.
(Perjalanan Mencari Kekasih, 1996: 90).
Ketika berdepan dengan Ka`bah terbetik ilhamnya:
Perjalanan Mencari Kekasih (i)
Seketika istirahah
Dalam perjalanan yang panjang
Ku berteduh di pintumu
Baitul `Atiq
Sekadar mencari diriku
Yang hilang selama ini
Dalam laut kehidupan duniawi yang tiada pantainya.
….
(Ogos, 1987).
Perjalanan Mencari Kekasih, 1996: 91).
Dan dalam puisinya seterusnya kata Nor Aini:
Perjalanan Mencari Kekasih (II)
Aku berjalan di dalam kabus
Mencari-Mu
Bayangnya kelihatan
Wajahnya tak nyata
Namun hatiku mengatakan
Engkau pasti ada
Semakin lama
Mencari dan menemui
Kebesaran-Mu
Semakin kukenal
Diriku
Yang buta dan bisu.
….
Kekasih
Kutunggu saat kita dipertemukan
Dalam rindu yang mendalam.
November 1989.
(Perjalanan Mencari Kekasih, 1996: 93-94).
Begitulah kecamuk rindu seorang Nor Aini dari kematian suami
yang dicintai, biarpun anak-anak mengisi kekosongan, tapi sepi jiwa tiada
teratasi. Dia mencari cinta hakiki. Dengan penemuan semoga mententeram jiwanya
yang membawa kepada pertemuan dengan suaminya disyurga. Kita terpesona dengan
kehalusan jiwa dan keindahan pengucapan rasa Nor Aini. Lebih dari itu kita
mengkagumi kecekalan jiwa Nor Aini – Episod ujian Tuhan terhadap hamba yang
beriman. Semoga Nor Aini diberi ketenteraman dan ketabahan berterusan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment