May 26, 2014

Dekad Pertama UKM, Mula Mendaftar Di Kampus Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur

-->
BBB, 25 Rajab 1435 = 25 Mei 2014 (Ahad):

Bagi generasi baru UKM dan masyarakat awam, mungkin tidak menyedari, bahawa kampus UKM pada peringkat permulaan, bukannya di Bangi seperti sekarang ini – selain dari Fakulti Perubatan di Cheras selepas penubuhannya (1974). UKM pada peringkat awalnya menggunakan kampus Maktab Perguruan di Jalan Pantai, berdekatan dengan Universiti Malaya, UKM menggunakan kampus di sini selama 7 tahun 1970-1977 sebelum berpindah ke Bangi pada akhir tahun 1977.

                                              Tun Abdullah Salleh Pendaftar Pertama UKM
Rasional mengapa dipilih kampus dekat dengan Universiti Malaya, ialah kerana pada peringkat permulaan UKM ditubuhkan tidak cukup pensyarah. Setengah pensyarah, terutama bidang Sains terpaksa dipinjam tenaga dari beberapa universiti dari Indonesia. Dengan dekat dengan universiti Malaya memudahkan pensyarah sambilan dari Universiti Malaya datang mengajar di UKM. Sememangnya sebahagian besar dari tenaga pengajar seperti di Fakulti Sastera mendapat tenaga pensyarah dari Universiti Malaya. Perkara yang penting, universiti memerlukan perpustakaan yang lengkap bagi tempat rujukan para pelajar. Pada permulaan UKM dibuka, perpustakaannya amat kecil di anjung bawah bangunan utamanya dengan buku-buku terhad. Melalui rundingan pihak UKM dengan Universiti Malaya pelajar-pelajar UKM mendaftar di Perpustakaan Universiti Malaya selepas mendaftar di UKM. Mereka menggunakan perpustakaan di sana dan mempunyai kelayakan meminjam buku di sana sebagaimana pelajar di Universiti Malaya. Penulis masih ingat semasa mula mendafatr di Perpustakaan Universiti Malaya Profesor Ungku Aziz Naib Canselor Universiti Malaya sendiri menyambut kami dan memberi taklimat dan menunjukkan kami tempat-tempat penting. Kami amat mengkagumi Profesor Ungku Aziz dengan wajah dan watak intelektualnya. Sebagai universiti baharu Persatuan Mahasiswa UKM dan pelajar banyak mengikut budaya pelajar Universiti Malaya sebelum membina identiti sendiri, apa lagi sebahagian kolej kediaman di UKM ditawarkan kepada pelajar universiti Malaya mendiami di Kolej Pertama UKM. Bahkan sistem pengajian di UKM pada peringkat awal mengikut sistem penggal Universiti Malaya sebelum menggunakan sistem semester. Kuala Lumpur sebenarnya banyak menyediakan kemudahan bagi pelajar dan tenaga pengajar berbanding dengan tempat-tempat yang lain. Lantaran kepentingan di atas, maka sebab itulah kampus UKM tidak dipilih di tempat jauh dari Kuala Lumpur seperti pernah ditawarkan ke Melaka, Terengganu dan lain-lain.


Penulis belajar di kampus Jalan Pantai hingga Ijazah pertama dan membuat Ijazah Sarjana. Bila berpindah ke Bangi Penulis sudah berjawatan pensyarah. Puisi Penulis dalam `Madu Ilmu` bagi dekad pertama UKM adalah lebih dari separuh (87 puisi) daripada keseluruhan puisi (144 buah) adalah dihasilkan semasa di Jalan Pantai. Tiga saja dalam dekad pertama dihasilkan di kampus Bangi. Ini bererti semasa Penulis sebagai mahasiswa ijazah pertama adalah tempoh paling kreatif menghasilkan puisi. Sedangkan semasa di Bangi (akhir 1977-1999) hanya 57 puisi sahaja dihasilkan bagi kumpulan Madu Ilmu. Puisi-puisi lain dihimpunkan dalam kumpulan puisi Wajah Diri (1995) dan Puncak Rindu (2013).

Dalam masa sepuluh tahun (satu dekad), banyak peristiwa yang berkait dengan UKM, khususnya dari perspektif Penulis berlaku. Peristiwa berkenaan adalah peristiwa yang berlaku semasa kampus di Jalan Pantai Baru. Walaupun UKM secara rasmi dibuka pada 18 Mei 1970, tetapi pelajar-pelajar diminta hadir lebih awal dari tarikh itu untuk pendaftaran. Penulis dengan beberapa kawan tiba ke Kampus Jalan Pantai pada 14 Mei 1970 dan mendaftar di Kolej Pertama UKM, bangunan 4 tingkat. Penulis merakamkan dalam puisi pada hari pertama tiba (fragmen):


Hari Pertma Di Kampus Universiti

Dari KT ke KL
Daki mendaki turun menuruni
Ku lempar pandangan ke gaung curam
Terasa dalamnya kesan perpisahan.

Jam dua – empat belas Mei
Pertama kali melangkah ke kampus Universiti
Melihat binaan tinggi meninggi
Dengan suatu nekad
Mau dakinya tingkat ke tingkat

Di pncak menaranya
Ku dongak kampung halamanku
Sedang anak isteri di sudut hatiku
Dengan wajah berselubung rindu.
Universiti Kebangsaan Malaysia
14 Mei 1970.
(Madu Ilmu, 1999: 165).

Bagi penulis yang tidak pernah berpisah dengan isteri dan sudah mempunyai 2 anak pada masa itu perpisahan dengan mereka buat pertama kali begitu memilukan. Itulah yang tergambar di dalam fragmen puisi di atas

Walaupun UKM didirikan atas desakan dan kemahuan rakyat, tetapi dalam masa yang sama ada pandangan meragukan terhadap UKM, terutama tentang kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa perantaran di universiti. Penulis mencatat dalam puisi berhubung dengan UKM ini:

Siswa Pertama Di Universiti Kebangsaan

Siswa pertama di Universiti Kebangsaan
Campuran dari anak tani anak nelayan
Melangkah keraguan para petualang.

Peduli pada prasangka anti nasional
Mari bergerak dalam satu barisan
Mengangkat tangan sumpah setia
Menjunjung cita murni bangsa
Melaksana dasar pelajaran Negara.
Universiti Kebangsaan Malaysia,
17 Mei 1970.
(Madu Ilmu, 1999: 164).

Walaupun pada peringkat permulaan budaya Universiti Malaya banyak ditiru oleh UKM, tapi dari segi kursusnya UKM menamakan kursus yang ditawarkan adalah menurut `sistem liberal` Bermaksud, tiap pelajar dari satu fakulti mesti dan boleh mengikuti kursus pengajian yang ditentukan dari Fakulti yang lain dengan jumlah unit dihadkan. Contoh pelajar Fakulti Sastera diwajib dan boleh mengambil kursus dari Fakulti Sains atau Islam yang ditentukan, begitulah dari Fakulti Sains, Islam dan Sastera dikehendaki mengambil kursus dari Fakulti lain dari Fakultinya dalam jumlah unit terhad. Semua pelajar diwajib mengambil kursus Sains dan Metamatik (termasuk Statistik) dan juga bahasa Inggeris. Inilah yang menakutkan Penulis, terutama kursus matematik dan statistik. Banyak masa terpaksa ditumpukan kepada sains dan matematik, apa lagi Penulis dan beberapa kawan memimpin Persatuan Mahasiswa UKM yang sebahagian masa terpaksa ditumpukan kepada kegiatan PMUKM. Ketakutan ini terakam dalam puisi Penulis:

Huruf F

Kawan
Dalam bergiat ini
Petang pagi
Antara rancangan demi rancangan
Kadang tuang kuliah oleh kesebokan
Aku bimbang.

Aku bimbang
Pada satu abjad
Yang kukenalnya
Sejak sekolah atap
Berbentuk cakar menggaru hatiku
Atau spanner memulas benakku.

Kerana huruf F
Bahana meruntuh segala harapan
Tapi gelisahku
Aku tidak mungkin menumpu
Seluruh waktuku untuk buku
Sedang di luar
Ruam-ruam panas mengganggu

Tapi kawan
Dalam kebencian ini
Aku terpaksa patuh
Pada nilai usang
Antara cita dan bimbang.

Pantai Baru
1970/71.

Sudah tentulah perlu pandai menjaga dan membahagi waktu, jangan sampai melibatkan diri dalam kegiatan mahasiswa, menyebabkan ketiggalan dalam pelajaran, apa lagi jangan sampai gagal – amat membimbang dan menakutkan.

Menilai kepada kursus-kursus wajib seperti sains, matematik – termasuk statistic dan bahasa Inggeris, dapatlah dikatakan experiment ini separuh gagal. Apa yang dikatakan kursus sains sebenarnya bukan sains yang memerlukan kita ke makmal, tetapi sebenarnya `sejarah sains` yang bagi penulis cara yang disampaikan sama dengan belajar sejarah dan boleh disampaikan oleh pensyarah yang bukan dari aliran sains. Jadi ianya tidak memberi kesan dan manfaat sebagai keilmuan sains sebenarnya. Adapun kursus matematik dan statistic, walaupun bagi Penulis amat payah, kursus yang disampaikan oleh Mokhtar Bidin dan saudara Nasir Lonjong (dari ITM) amat bermanfaat bagi mahasiswa dan membantu bagi kerja-kerja kursus yang lain.

Masa yang banyak dihadapi oleh setiap mahasiswa menerima kursus beberapa kali setiap minggu ialah bahasa Inggeris. Kami menerima kursus dan tutorial dari beberapa orang guru bergilir-gilir seperti Puan Rohani, Sharifah Zainah, Puan Kaloo dan Mr. Basil. Kursus ini dan banyaknya masa diberi dan diikuti setiap semester hingga ke akhir tahun pengajian adalah wajar, tetapi kesannya secara maksimum – pada masa itu dan mungkin kini tidak dicapai sepenuhnya. Maksud Penulis pelajar sepatutnya bukan saja setakat dapat memahami teks bahasa Inggeris, tetapi seharusnya dapat bercakap, berdialog, berbahas dan mengarang serta menulis dalam bahasa Inggeris secara akademik tidak dapat dicapai.

Sebahagian dari experiment di atas diakui kurang berjaya, sebab itu mewajibkan kursus sains dan matematik ditarik balik, tempatnya diganti dengan Tamadun Islam, juga kursus ini dikritik dan akhirnya digantikan dengan Kenegaraan Malaysia yang di dalamnya banyak boleh dimasukkan perkara releven yang boleh disampaikan di dalam kursus. Kursus ini diikuti oleh semua pelajar dari semua fakulti dan Penulis sendiri pernah membantu bahagian Pengajian Umum UKM dan menyampaikan kuliah berkenaan hingga ke cawangan UKM di Sabah (kini Universiti Malaysia Sabah) dan Fakulti Perubatan bersebelahan Hospital Kuala Lumpur (GH). Penulis tidak mengetahui perkembangan kini dan berharap semuanya lebih baik.

Sekian.

No comments:

Post a Comment