May 20, 2014

Halatuju UKM Sempena 44 Tahun Usia

-->
UKM, 19 Rajab 1435 = 19 Mei 2014 (Isnin):

Semalam (Ahad 18 Mei) genap 44 tahun UKM, pagi ini sambutan bersifat kekeluargaan diadakan di Persada UKM (dulu Foyer) dengan dihadiri oleh Prof. Emeritus Dato` Dr. Mohamad Zawawi bin Ismail Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Dato` Dr. Noor Azlan Ghazali Naib Canselor UKM, Dato` Dr Anuar Ali Pengerusi Open Universiti yang juga Mantan Naib Canselor UKM, Tan Sri Dato` Alimuddin Pengerusi Eksekutif Yayasan Guru Malaysia, Y.B. Dr. Che` Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, professor-profesor, ahli-ahli lembaga, Tenaga-tenaga pengajar, alumni-alumni, pegawai-pegawai tadbir dan jemputan-jemputan memenuhi ruang Persada UKM.


Pembukaan majlis bermula dengan lagu Negaraku & Varsiti Kita serta doa dan puncaknya Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato` Dr. Mohamad Zawawi Ismail melafazkan Sambutan 44 Tahun UKM serentak dengan Pelancaran 44 Buku Terbitan UKM dan Penjenamaan semula Foyer UKM kepada `Persada UKM`. Pada masa yang sama ialah ketibaan Kayuhan Berbasikal 44 peserta yang bertolak ke Putrajaya jam 7.20 pagi dan tiba kembali ke UKM setelah berkayuh selama 2 jam 44 minit. Juga diadakan acara berbalas pantun 44 kerat pada akhir majlis sambutan.


Dalam ucapannya menggaris masa depan UKM Ybhg. Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali Naib Canselor UKM menyebut setelah 44 tahun UKM telah mengeluarkan graduan seramai 163,000 orang dengan pelajar semasa kini 22,000 orang. Kelahiran UKM ialah hasil dari Mesyuarat Raja-Raja 1903 dalam mana Yang Dipertuan Negeri Sembilan menekankan perlu adanya sebuah universiti di Negara ini dan ianya menjadi aspirasi perjuangan rakyat selepas kemerdekaan termasuk petani dan boroh hinggalah UKM lahir pada tahun 1970. (Hari ini murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Tumpat Kelantan dijemput sama  ke Majlis Sambutan sebagai mengenang jasa Sekolah berkenaan telah menyumbangkan derma sebanyak RM3.50 bagi mendirikan UKM dulu). Menurut Naib Canselor UKM adalah aspirasi rakyat hendaklah menjadi pembimbing kepada kecemerlangan. Prof. Datuk Dr. Noor Azlan memaklumkan UKM berada dari segi ranking dalam lingkungan 200 universiti terbaik dunia. Tapi ianya tidak bermakna kalau tidak bersifat kontektual dengan masyarakat. UKM seharusnya membawa pendekatan berbeza dari universiti-universiti lain dengan mempunyai identiti dan tidak bersifat komoditi. Naib Canselor UKM itu lantas menggaris 6 pendekatan di dalam membina masa depan UKM.


1)      Menghasil dan meningkatkan graduan bernilai tinggi dengan target 50% pelajarnya pada peringkat ijazah lanjutan dan 50% pra-siswazah.
2)      Mempunyai hubungan strategic dengan masyarakat keliling. UKM berada di lembah ilmu Bangi-Kajang-Serdang, dengan cara kerjasama UKM mempunyai ruang untuk meningkatkan prestasi dari segi kemasyarakatan dan keilmuan.
3)      Berharap agar kakitangan berjumlah 10,000 dan tenaga pengajar 2,200 bersifat inovatif dan kreatif di dalam meningkatkan prestasi UKM.
4)      Menjana sumber kewangan universiti. Sumber dari kerajaan makin berkurangan. UKM beroperasi dengan RM120 juta setahun, penyelidikan juga dikurangkan dari RM100 juta kepada RM50 juta. Sebab itu segala asset UKM yang boleh menjanakan pendapatan perlu digerakkan. UKM mempunyai 15% tenaga professional dan ada 300 orang professor. Diharap dengan kepakaran mereka UKM dapat menjanakan kewangan lebih dari RM120 juta setahun.
5)      Menyediakan pra-sarana ilmu yang kondusif. Beliau berharap 163,000 alumni dapat mebantu sama meningkatkan pra-sarana di universiti.
6)      Merealisasikan keberhasilan dan mencabar kelaziman. Beliau tidak mau warga UKM akan menjadi lalai dan lupa dengan kebiasaan dan tidak lagi berdaya maju, tetapi leka dengan kebiasaan hingga menjadi mundur dan tiada perubahan. Tiap tenaga perlu berdaya maju, kreatif dan inovatif sama menggerak UKM ke hadapan.


Sebelum daripada itu seramai 6 orang tenaga akademik menyampaikan ucapan ringkas tentang UKM menurut bidang masing-masing, iaitu:

a)      Profesor Dr. Mohd Yusof Othman (Pengarah Institut Islam Hadhari)

Membicarakan tentang kemajuan Islam dalam berbagai-bagai bidang dengan tokoh-tokohnya yang memberi cahaya kepada Eropah. Ilmu mengangkat darjat umat dan membina Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur.

b)      Prof Dr. Hashimah Jalaluddin (Pengarah ATMA)
Membicarakan peranan bahasa Melayu yang menjadi bahasa ilmiah di UKM. Setakat ini seramai 1082 yang berjaya pada peringkat Ph. D., manakala 164 Syarahan Perdana telah diadakan

c)      Prof. Emeritus Dato` Dr. Mohd Ikram (Mantan Naib Canselor UKM)

Membicarakan tentang ketokohan Za`ba dalam bidang bahasa yang kebetulan menjadi Atuk kepada Dr. Mohd. Ikram. Za`ba sempat dikurniakan Ijazah Dr. Persuratan oleh UKM pada 23 Jun 1973. Sebelumnya pada Kongres Bahasa di Johor Bharu Za`ba dikurnikan  gelaran Pendita.

d)     Prof. Madya Dr. Marlina bt. Ma`aruf

Beliau membicarakan ketokohan Hamka yang menghasikan sebanyak 164 buku dalam berbagai bidang. UKM menganugerahkan Hamka Dr. Falsafah 1974

e)      Prof Dr. Johanus Salim

Membicarakan tentang UKM dan inovasi dan harta intelek. Setakat ini  14 sudah di patternkan

f)       Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh di ATMA

Mengimbau pada peringkat awal UKM ditubuhkan. Menyebut tentang pengajaran yang beliau terlibat - mengajar Kesusasteraan Inggeris yang pelajar-pelajar berkemampuan mengikutinya.

Sesungguhnya gemblengan tenaga dari berbagai pihak UKM mencapai kejayaan yang dibanggakan . Namun ruang cabaran lebih luas menunggu menuntut komitmen yang lebih tinggi dari semua pihak bagi mencapai lebih kejayaan

Sekian.

No comments:

Post a Comment