May 25, 2014

Pandangan Penulis Tentang UKM Dekad Demi Dekad - Selama Lima Dekad

-->
BBB: 24 Rajab 1435 = 24 Mei 2004 (Sabtu):

Selepas menerbitkan puisi berjudul `UKM 44 Tahun Usia Kukunjunginya Selepas 15 Tahun Bersara: Universiti Masih Tercari Identiti ?`, pagi ini, puisi bertarikh 19 Rajab 1435 bersamaan 19 Mei 2014, hari sambutan bagi mengingati 44 tahun usia UKM, Penulis meneliti puisi-puisi Penulis tentang UKM berjumlah 33 buah dari 144 buah yang terkumpul dalam kumpulan puisi Penulis berjudul `Madu Ilmu` (1999), Penulis dapati bahawa setiap dekad perkembangan UKM Penulis merakamkan dengan puisi. Penulis meneliti apakah pandangan Penulis tentang UKM bagi setiap dekad perkembangan. Pandangan seorang yang sama terpercik dengan hangat perjuangan mendirikan UKM dari awal dan dapat menyambung pengajian di UKM selaku seorang `Anak Sulung` dan `Peneroka UKM` yang kemudian lulus dengan baik dan menyambung pengajian di UKM seterusnya menjadi tenaga pengajar di UKM hinggalah bersara dari UKM  (1999). Mungkin pembaca berminat dan dapat melihat dan menilai pandangan Penulis dekad demi dekad perkembangan UKM. Untuk lebih jelas Penulis perturunkan puisi yang merakamkan dekad demi dekad perkembangan UKM

,
                  
   

Penulis selaku guru darjah bersama murid-murid
Sekolah Agama Menengah Al-Ma`arif, Kg. Raja
Besut, Terengganu




1)      Universiti Kebangsaan (hlm. 168).
(Puisi terakhir dalam Kumpulan Madu Ilmu terakam pada 16 September 1968 di Kg. Raja, Besut, Terengganu semasa Penulis berkhidmat sebagai guru di sana. Puisi disusun di dalam kumpulan Madu Ilmu secara kronologi terbalik, bermula dengan yang terbaru dan berakhir dengan yang terlama).

2)      Universiti Kebangsaan Malaysia (Sempena 10 Tahun Usia), hlm. 73-74.

3)      Setelah Dua Dekad Berlalu Aku Masih Mencarimu (Sempena 20 Tahun UKM), hlm. 19-20.

4)      Universiti Kebangsaan Malaysia Menjejak Ke Tiga Dekad Usia – hlm. 1-2.

5)      UKM 44 Tahun Usia Kukunjunginya Selepas 15 Tahun Bersara: Universiti Masih Tercari Identiti ? – Terbit dalam blog ini 24 Rajab 1435 = 24 Mei 2014. Puisi bertarikh 19 Rajab 1435 = 19 Mei 2014. Hari Sambutan Sempena 44 Tahun UKM di UKM.

Sebagaimana Penulis sebut berulangkali, bahawa Penulis menulis sejak 1960an ketika Penulis belajar di Madrasah Sultan Zainal Abdin (Thanawi) di Batu Buruk Kuala Terengganu (1958-1962).


 Gambar sebagai guru bersama guru-guru (barisan hadapan) dan murid-murid di Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, Dungun selepas selesai pementasan sempena satu sambutan
 

Semangat menulis ini berterusan semasa Penulis menjadi guru Sekolah agama menengah (Sekolah Arab) bermula di Sekolah Arab Al-Ma`arif di Kg. Raja Besut (1962-1963) Sekolah Perempuan.
Kemudian bertukar ke Sekolah Arab Sultan Ismail Dungun (1963-65) dan ditukar kembali ke Sekolah Al-Ma`arif setelah berkahwin – Tukar bersama isteri (1965-1970). Dalam masa bekerja ini penulis menulis sambil belajar bersendirian, di samping mengikuti kelas lanjutan hingga peringkat STPM. Dalam tempoh 1960-1970 banyak tulisan, terutama puisi telah dihasilkan dan dihantar ke pelbagai penerbitan – akhbar dan majalah terkenal tanahair, meskipun tidak mendapat tempat. Setengahnya sekadar memberi jawapan terima dan terima kasih (DBP, Penerbit Haji Muhammad Abdul Rahman, Marang dan Sinaran Brothers, Pulau Pinang).


Bergambar sebagai pelajar bersama guru-guru dan pelajar-pelajar di Sekolah Menengah (Thanawi) Sekolah Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Perlu disebut pada akhir 1960an, khususnya 1967-1969, suasana politik tanahair agak hangat dan tegang dengan isu yang menyentuh kaum. Antara isu golongan Pencinta bahasa Kebangsaan (Melayu) berasaskan Penyata Razak menuntut UKM didirikan dan dalam masa yang sama juga timbul tuntutan agar Kolej Tengku Abdul Rahman (KTAR) juga didirikan. Kehangatan ini turut memberi kesan dan ilham kepada Penulis menggubah puisi berjudul:

Universiti Kebangsaan

Jiwa bumiputra
Sekian lama membara
Menyimpan hasrat terpendam
Dibedung suasana
Tiba-tiba pecah
Digegar
Tuntutan KTAR.

Suatu permintaan gagah
Keluar mencurah-curah
Universiti Kebangsaan
Mesti didirikan
Dasar pelajaran kebangsaan
Perlu dihormati
Bumiputra bergerak
Tegak mendesak
Dengan hasrat
Akhirnya diumum pasti
Universiti Kebangsaan
Rasmi didirikan.

Universiti Kebangsaan
Anak kandungan
Hasil cinta anak watan.

Kg. Raja, Besut
16 September 1968.
(Shafie Abu Bakar, Madu Ilmu, Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1999: 168).

Hasil perjuangan bagi mendirikan UKM akhirnya berjaya, bermula dengan kampus sementara di Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur, tidak jauh daripada Universiti Malaya. UKM bermula pengajian dengan rasminya pada 18 Mei 1970 dengan tiga fakulti, iaitu Fakulti Sains, Sastera dan Pengajian Islam yang kesemua mahasiswa pada peringkat permulaan ialah 197 orang.

Pada hari perasmian ini Penulis mencatat:

Sumpah Mahasiswa

18 Mei
Di dewan Universiti
Kami siswa pertama
Tegak berdiri di depan bapak menteri
Melafaz ikrar mahasiswa
Mengangkat tangan ke muka
Penuh setia.

Bahawa kami mahasiswa pertama
Patuh pada tata susila
Nilai budi tonggak Universiti
Sanggup melayari bahtera
Di laut ilmu tiada tepi
Memetik biji-biji mutiara
Hiasan dada bangsa.

Berderap duduk para siswa
Lalu gugur manik-manik air mata
Pecahan rasa runtuh dari dada
Terharu pada sejarah tertinta.

Dewan, Universiti Kebangsaan Malaysia
18 Mei 1970.

Sebagai orang muda pada masa itu Penulis sama bersemangat meyokong dan memperjuangkan bahawa UKM perlu didirikan. Penulis bernasib baik kerana terpilih sebagai mahasiswa sulung/peneroka UKM dan begitu `excited` berpeluang mencipta sejarah mengangkat sumpah sebagai `Mahasiswa Pertama` UKM. Penulis juga bersyukur dengan minat Penulis menulis, maka Penulis dapat mencatat saat sejarah ini ke dalam gubahan puisi (Puisi terbit dalam Dewan Masyarakat Februari 1971, hlm. 50).

Sekian.

No comments:

Post a Comment