May 23, 2014

Karangan Gaya Hadith

-->
BBB, 22 Rajab 1435 = 22 Mei 2014 (Khamis):

Keilmuan Hadith telah diperkatakan tiba kepada peringkat kematangannya pada abad ke 3H., iaitu dengan kelahiran kitab-kitab Hadith Sahih Bukhari, Muslim, Tirmidhi, Ibn Majah, Nasai, Abu Daud dan lain-lain. Gaya Hadith yang mantap ini mempengaruhi karangan keilmuan Islam. Gaya hadith dijadikan contoh bagi karangan keilmuan ialah kerana gaya Hadith membuktikan kebenaran dengan adanya rawi-rawi yang thiqah dan bertalian, apalagi jika satu-satu Hadith itu mempunyai banyak sanad yang menjadikan Hadith itu bertaraf sahih dan masyhur.


Lantaran itu ada pengarang yang mengambil kaedah gaya Hadith dan menyusun karangan bagi kitabnya. Maksud kaedah yang diambil, bahawa dalam karangannya ditampilkan maklumat secara Hadith dengan ada matan dan rawi bersanad bersilsilah bagi membuktikan kebenaran maklumat yang disampaikan. Sebagai contoh Muhammad bin Ishak bin Yasar (85-151H.) mengarang kitab yang dia beri judul Kitab al-Mabda` wa al-Mab`ath wa al-Maghazi yang kemudian kitab yang ditahqiq dan dita`liq (1401/1981) oleh Muhammad Hamidullah selepas nakhahnya diketemui di Universiti Sorborn, Perancis ini lebih dikenali dengan judul Sirah Ibn Ishaq. Kitab ini adalah kitab Sejarah Rasulullah s.a.w. dan peristiwa-peristiwa berkait dengan Baginda. Kitab ini adalah kitab sejarah tertua mengenai Rasulullah s.a.w. Tulisan ini tidak bermaksud membicarakan sejarah atau Sirah Nabi s.a.w., tetapi mau menunjukkan bahawa fakta-fakta yang dikemukakan di dalam kitabnya adalah dipersembahkan dengan bermatan dan bersanad sebagai Hadith yang tentulah bertujuan menunjukkan apa yang dimaklumkan adalah diterima secara mutawatir dan maklumat adalah benar. Misalnya bagaimana Abdul Muttalib mengambil tindakan menggali telaga Zamzam yang sudah tertimbus, maka dikatakan:
``Bercakap kepadalku oleh Ahmad, katanya bercakap kepadaku oleh Yunus daripada Muhammad bin Ishak, berkata: Ketika Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdi Manaf tidur di dalam Hijir di sisi Ka`bah dia bermimpi disuruh menggali Zamzam dan seterusnya yang membawa kepada Abdul Muttalib dan pekerja-pekerja menggali Telaga Zamzam.``
``Muhammad bin Ishak,  Sirah Ibn Ishak, Tahqiq wa Ta`liq Muhammad Hamidullah, Penerbit ?, Tempat ?, 1401/1981: 2).

Demikianlah setiap butir maklumat dikemukakan secara Gaya Hadith. Contoh Tentang Perkahwinan Abdullah bin Abdul Muttalib:
``Berkata kepada kami Ahmad bin `Abd al-Jabbar, berkata kepada kami Yunus daripada Ibn Ishak, ``Kemudian berlalu Abdul Muttalib mengambil tangan Abdullah dan dia berlalu sebagaimana mereka sangka ke atas pembesar-pembesar Bani Asad bin `Abd al-`Aziy bin Qusa. Dia berada dekat Ka`bah …
Maka dikahwinkan Aminah bt. Wahab bin `Abd Manaf bin Zahrah. Dia adalah semulia-mulia perempuan di kalangan Quraisy dari segi nasab dan kedudukan …
(Sirah Ibn Ishak, 1401/1981: 19).

Mengenai kelahiran Rasulullah s.a.w. Berkata kepada kami Ahmad bin `Abdul Jabbar, berkata kepada kami Yunus bin Bikafri daripada Ibn Ishak berkata, bercakap kepadaku  Al-Muttalib bin Abdullah bin Qabas daripada anaknya daripada datuknya Qabas bin Mudrimah berkata: Aku dilahirkan dan juga Rasulullah s.a.w. pada Tahun Gajah
(Sirah Ibn Ishak, 1401/1981: 25).

Demikianlah setiap aspek sejrah disertakan dengan rawi, sanad dan matan bertujuan membuktikan kebenaran fakta, Tentulah karangan-karangan gaya Hadith yang setebal 395 hlm. ini sebahagian besar dari karangan mengandungi aspek-aspek rawi dan sanad. Ini jelas membuktikan yang Ibn Ishak yang hidup hingga ke pertengahan abad ke 2H. dalam mana ilmu Hadith sedang berkembang, turut terpengaruh dengan gaya Hadith dalam karangannya yang berhubung dengan Sirah Rasulullah s.a.w.


Gaya Hadith juga digunkan oleh pengarang antaranya oleh al-Harith bin Asad al-Muhasibi (m. 243H.) Sufi yang paling awal memperkatakan tentang tasawuf. Ternyata kitab terkenalnya Al-Ri`ayat Li Huquq Allah dipersembahkan secara gaya Hadith (Berkata …), tetapi tidak disertai dengan rawinya kerana panjang dan mengganggu kelicinan karangan. Difahamkan ungkapan Al-Muhasibi tentang aspek tasawuf dicatat oleh murid-muridnya yang dihimpunkan menjadi kitab. Contoh mengenai Tentang Menjaga Hak-Hak Allah dan Mendirikannya:;

Berkata Harith rahimahu Allah. Adapun apa yang engkau soal  tentang al-Ri`ayah li Huquq Allah `Azza wa Jalla dan mendirikannya. Sesungguhnya engkau telah menyoal tentang suatu perkara yang besar yang menjadi umum pada ahli zaman engkau dari segi ketaatan. Dia adalah perkara yang diperintah Allah kepada para nabiNya dan mereka yang dikasihi kerana mereka menjaga janjinya dan menjaga wasiatnya.

(Al-Muhasibi, Al-Ri`ayat Li Huquq Allah, Dar al-Kutub al-Hadithat, Misr, 1390/1970: 37).

Demikianlah pendekatan dalam karangan Al-Ri`ayat oleh al-Muhasibi yang setebal 630 halaman.

Karangan menurut gaya Hadith ini juga merupakan pendekatan karangan Al-Luma` - oleh Abu Nasr al-Sarraj (m. 378H.), iaitu sebuah karangan tasawuf. Dalam pendekatan karangannya ini menunjukkan kalangan murid yang mengikuti pengajaran tasawuf yang disampaikan oleh Abu Nasr al-Sarraj dan murid berkenaan mengutip pengajaran sebagai meriwayatkan Hadith (tapi tanpa sanad panjang - bersilsilah). Contoh tentang Tauhid:

``Berkata Shaykh rahimahu Allah: Sampai kepadaku daripada Yusof bin Hussain al-Razi rahimahu Allah bahawasanya dia berkata, Berdiri seorang lelaki di hadapan Dhu al-Nun al-Misri rahimahu Allat Ta`ala, ``Khabarkan daku tentang tauhid, apa dia ? Dia berkata,
Engkau mengetahui bahawa Qudrat Allah Ta`ala pada segala sesuatu tidak bercampur, perbuatanNya bagi sesuatu tanpa ilaj dan illah tiap-tiap sesuatu perbuatanNya dan tiada `illah dengan perbuatanNya, tidak ada di langit tinggi dan di bumi rendah Pentadbir lain daripada Allah, apa jua engkau tasawwur di dalam waham engkau, maka Allah T`a`ala berlainan dari demikian.
(Abu Nasr al-Sarraj, Al-Luma`, Misr, Dar al-Kutub al-Hadithat, 1380/1960: 49).

Jelas bahawa Hadith sebagai satu keilmuan berkembang dalam Islam dan mempunyai pendekatan keilmiahan yang tersendiri. Kaedah yang bersifat ilmiah dengan rawi dan sanad ini, turut menjadi kaedah di dalam pendekatan tulisan dan keilmuan. Kaedah ilmiah dengan penyertaan matan, rawi dan silsilah berkesinambungan itu dikembangkan lagi penggunaan seperti kaedah rujukan kaki atau rujukan dalaman yang kaedah sedemikian diterima sebagai pendekatan bersifat ilmiah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment